Thursday 29 December 2016

KEBAIKAN GUNA BAJA ORGANIK

Penggunaan baja kimia sememangnya tidak elok untuk kesihatan dan alam sekitar. Sebagai ganti baja kimia elok digunakan baja organik sebagai alternatif untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik.

Hasil tanaman dari baja organik lebih baik untuk kesihatan kerana tiada kimia yang terkandung dalam tanaman tersebut dan dapat mengelakan kita daripada bahaya kanser.

Di pasaran sayur-sayuran yang ditanam secara organik lebih mahal dari sayuran biasa kerana kandungan mineral semula jadi dalam sayuran tersebut lebih tinggi dari sayur yang ditanam dengan baja kimia.

Kita juga dapat menyelamatkan alam sekitar dengan penggunan baja organik ini. Biasanya kandungan yang berada dalam baja organik adalah Nitrogen, Kalsium, Phosphate dan beberapa lagi mineral yang baik untuk tubuh badan kita.

Baja organik sekarang ini banyak di pasaran. Baja organik di pasaran biasanya diproses daripada sisa najis ternakan.  

Cara itu dapat meningkatkan pendapatan penternak yang bukan saja hasil dari haiwan seperti daging dan telur, tetapi juga najis dijadikan baja organik.

Selain dibeli, baja organik juga boleh didapati di persekitaran tempat tinggal atau diproses sendiri. Selain najis haiwan, sisa makanan boleh dijadikan sebagai baja organik melalui proses ringkas.

Proses membuat baja organik daripada sisa-sisa makanan seperti nasi, ikan, sisa sayuran dan segala bahan yang bersifat organik yang kita selalu buang adalah ringkas.  

Perlukan tong sampah berpenutup. Masukan 20 % tanah dalam tong tersebut. Seterusnya masukkan sisa makanan atau bahan lain yang boleh remput atau hancur. Gaulkan. Peram bahan-bahan tadi sehingga 14 hari atau lebih.  

Anda juga boleh buat cara lain asalkan bahan sisa itu reput atau mengeluarkan air yang boleh dijadikan baja.  

Lebih mudah ialah tanam bahan-bahan itu di dalam tanah. Ini termasuklah najis ternakan, rumput, daun dan sebagainya.

Baja organik adalah mesra alam iaitu baja yang tidak mengandungi bahan kimia. Ia merupakan unsur mineral semulajadi yang diperlukan untuk kesuburan tanah dan memulihkan tanah mati.

Penggunaan baja kimia secara terus menerus tanpa di imbangi dengan menggunakan baja organik telah terbukti mengakibatkan terjadinya kerosakan tanah baik dari sifat fizik, kimia mahupun biologi tanah.

Dengan menggunakan baja organik, kerosakan tanah dapat diperbaiki dan dikembalikan sifat kesuburannya di samping meningkatkan produktiviti pertanian.  

Baja organik sesuai untuk semua jenis tanaman. Proses penghasilan baja yang 100% semulajadi. Selain itu ia selamat digunakan dan tidak membawa sebarang kesan apabila digunakan secara berlebihan.

KENAPA AIR LAUT MASIN

Pernah terfikir kenapa air laut masin? Sebenarnya, semua jenis air termasuk air hujan, mengandungi kimia pelarut yang dipanggil garam. Tetapi bukan semua air mempunyai rasa masin. 

Para saintis menganggarkan bahawa laut mengandungi lebih kurang 50 kuadrilion ton bahan-bahan pelarut.

Sekiranya garam di laut boleh dikeluarkan, ia dapat membentuk sebuah permukaan tanah yang besar daripada yang sedia ada. Permukaan garam itu nanti boleh mencapai ketebalan kira-kira 500 kaki dan ketinggian yang sama dengan bangunan yang mempunyai 40 tingkat.

Air laut diklasifikasikan sebagai pepejal larut dalam cecair yang sangat lemah. Kebanyakan garam dalam laut wujud akibat proses pemecahan batu-batu igneus yang disebabkan oleh cuaca dan hakisan. 

Bahan-bahan mineral ini akan dibawa ke laut apabila hujan turun. Terdapat juga garam secara semulajadi di lantai laut akibat proses pereputan. Sumber-sumber lain adalah daripada sisa-sisa letupan gunung berapi.

Sungai Mississipi, Amazon dan Yukon akan mengalir ke Teluk Mexico, lautan Atlantik dan Pasifik yang dipercayai mempunyai tahap kemasinan yang tinggi. Kenapa air laut tidak seperti air sungai? Tahap kemasinan laut adalah disebabkan beberapa pengaruh dan proses.

Pada permulaannya laut tidaklah begitu masin tetapi apabila hujan pertama melanda dunia lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu menyebabkan proses pemecahan batu-batan. 

Kemudian batu-batan ini terus diangkut ke sungai dan laut oleh aliran hujan dan menyebabkan tahap kemasinan air laut bertambah.

Sungai yang mengalir dari Amerika Syarikat dipercayai membawa bahan-bahan pelarut sebanyak 225 juta tan ke dalam laut. Kiraan terbaru juga menunjukkan kira-kira enam tan dari Australia dan 120 tan dari Eropah yang mengalirkan bahan pelarut.

Ini bermakna sungai akan membawa empat bilion tan garam pelarut ke dalam laut. Laut juga menerima jumlah garam pelarut yang sama daripada proses-proses semulajadi yang berlaku di dasarnya. Laut mengalami kekurangan bahan-bahan mineral. Tetapi laut akan sentiasa menerima bilangan input dan output secara seimbang.

Para saintis telah menjalankan kajian ke atas air laut lebih berkurun lama dahulu, tetapi masih tidak memahami tentang kandungan bahan kimia yang terkandung dalam laut. Ini kemungkinan daripada kurangnya kaedah yang tepat dan prosedur untuk mengukur juzuk air laut.

Masalah yang dihadapi oleh para saintis ialah saiz laut meliputi lebih 70% permukaan bumi. Manakala kandungan bahan kimia semulajadi air laut juga mempengaruhi juzuk air laut.

Sebanyak 72 elemen kimia telah dijumpai dalam air laut, tetapi dalam bilangan yang kecil sahaja. Elemen-elemen ini bergabung dalam pelbagai bentuk unsur yang mudah larut di lantai lautan. Bahan yang mendap daripada larutan juga mempunyai kaitan dengan perubahan kemasinan laut.

Ahli jurutera marin melaporkan tahap kemasinan dan larutan kimia dalam air laut terdiri daripada klorida, sodium dan magnesium. Tahap kemasinan diukur dengan simbol o/oo. Tahap kemasinan laut akan berubah mengikut peredaran masa dan mengambil masa yang lama. 

Fenomena ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti pencairan ais, pengaliran air sungai, proses sejatan, hujan, salji, angin, arus ombak dan perubahan laut apabila berlaku pencampuran garam secara melintang dan menegak.

Laut Merah dan Teluk Parsi mempunyai jumlah kemasinan yang paling tinggi kira-kira 40 o/oo, di mana kadar proses sejatannya amat tinggi. Lautan Atlantik Utara juga mempunyai tahap kemasinan yang agak tinggi kira-kira 37.9 o/oo.

Antara bahagian yang paling masin di Atlantik Utara adalah lautan Sargasso yang terletak di Pulau Canary. Laut Sargasso merupakan kawasan yang mempunyai rumpai laut terapung di permukaan laut dikenali sebagai “sargassum”.

Laut ini mendapat nama sempena rumpai laut terapung itu. Tahap kemasinan laut Sargasso adalah berpunca daripada suhu air terlalu tinggi kira-kira 83F. Suhu tinggi akan menyebabkan kadar proses penyejatan yang tinggi kerana tidak ada aliran air biasa.

Kemasinan paling rendah hanya terdapat di lautan Antartik dan Artik. Lautan Baltik pula mempunyai tahap kemasinan kira-kira 5 hingga 15 o/oo. 

Manakala tahap kemasinan Laut Hitam pula adalah lebih kurang 20 o/oo. Tahap kemasinan perairan Miami, Florida akan berubah daripada 34.8 o/oo pada bulan Oktober dan meningkat ke 36.4 o/oo pada bulan Mei dan Jun.

Kadang-kadang air sungai akan mengalir dan bercampur dengan air laut. Ini ditunjukkan dalam pengumpulan data daripada kajian yang dijalankan di Sungai Columbia. Dengan menggunakan penyurih radioaktif, saintis daripada Universiti Oregon dapat mengesan jumlah aliran air sungai ke laut.

Kawasan perairan laut terbuka bebas daripada pengaruh permukaan tanah. Biasanya jumlah kandungan garam adalah kira-kira 33 o/oo hingga 38 o/oo. Purata tahap kemasinan air laut pula kira-kira 35 o/oo. Purata tahap kemasinan diperoleh pada tahun 1884 oleh William Di Eemar yang menjalankan kajian analisis kimia dengan mengambil 77 sampel air laut di seluruh bahagian dunia.

Hidupan laut juga memainkan peranan penting dalam laut. Laut bukan sahaja agen garam tetapi juga bertindak sebagai pembekal bekalan gas oksigen kepada hidupan laut. Contohnya tiram, kerang, dan kepah mendapat kalsium daripada laut untuk membentuk rangka dan kulit. 


Hidupan laut seperti ketam, udang, udang kara dan tetirip memerlukan sejumlah besar garam galian untuk membina badan. Terumbu karang dibentuk dengan bantuan kalsium karbonat lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu. Plankton juga memerlukan kandungan mineral laut untuk hidup dengan subur.

Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? 

Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.

Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah SWT melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi." (Al-Furqan : 53)

Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?" (Al-Waqiah: 68-70)

Rasulullah SAW bersabda tentang laut: "Ianya thohur (suci dan mensucikan) airnya dan halal bangkai (di dalam) nya."  (Hadis riwayat Ahmad, Malik, Ibnu Khuzaimah dan At Tirmidzi - Shahih) 

Allah SWT menjadikan air laut sangat masin hingga terasa pahit, untuk menyempurnakan kemaslahatan kehidupan di muka Bumi, baik manusia mahupun haiwan.  Air laut itu diam tidak mengalir dan banyak haiwannya. Banyak pula yang mati di laut dan tidak perlu dikuburkan.

Sekiranya air laut itu manis (atau tawar) tentu ia akan menjadi busuk kerana kematian berbagai macam haiwan di dalamnya, sehingga akan mengotori udara di seluruh dunia.

Maka telah ada ketetapan hikmah Allah yang menjadikan air laut itu masin. Sekiranya berbagai macam bangkai, yang busuk dan mati di alam ini dilemparkan ke laut, maka tak akan mampu mengubah keadaannya sedikit pun semenjak ia diciptakan sampai kelak Allah menghancurkan alam ini.

Mandi di laut bermanfaat untuk merawat berbagai macam penyakit kulitTapi meminum air laut sangat berbahaya bagi tubuh luar mahupun dalam, kerana ia mengganggu perut, menguruskan dan menimbulkan gatal-gatal serta membuat haus. 

Siapa yang terpaksa harus meminumnya, maka ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangi kesan negatifnya, di antaranya ialah dengan cara pengeluapan. 

Cara lain ialah dengan menggali lubang yang lebar di tepi pantai atau dekat penampungan air laut di tanah, air laut meresap masuk ke dalam lubang itu, lalu buat lubang kedua agar air meresap masuk ke dalamnya, lalu buatkan lagi lubang ketiga agar air meresap masuk ke dalamnya, hingga air laut itu benar-benar menjadi tawar.  

Air laut mengandungi kira-kira 35,000 ppm (parts per million) garam. Ianya sama dengan 35 gram garam per satu liter air. Manakala air tawar mengandungi 1,000 ppm garam.

Sejarah bubur asyura

Muharam dipanggil bulan asyura, sura atau bubur asyura. Paling banyak orang buat sura pada 10 Muharam. Sejarah bubur memperingati hari Nabi Allah Nuh selamat mendarat setelah 40 hari mengharungi bah (banjir) besar melanda. 

Diceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh berlabuh di bukit Juudi pada ‘Hari Asyura’. Sesampainya di daratan Nabi Nuh bertanya kepada pada umatnya: “Masih adakah bekalan pelayaran yang tinggal untuk dimakan?” Kemudian mereka menjawab: “Ada ya Nabi”. 

Berkatalah Baginda pada pengikutnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Baruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak.

Maka berkatalah Nabi Nuh: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. 

Maka terciptalah satu santapan yang lazat. Itulah Bubur ‘Asyura’. Kemudian Nabi Nuh memerintahkan untuk diagih-agihkan kepada semua yang ada.

Berdasarkan kepada kisah inilah kita mengenali Bubur Asyura, iaitu bubur yang dibuat untuk menghormati ‘Hari Asyura’ yang diterjemahkan menjadi ‘bubur untuk kesejahteraan’Bubur Asyura merupakan perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh Allah SWT.

Namun, sebenarnya tidak ada tarikh ditetap untuk buat sura. Bila-bila masa pun boleh. Tidak ada masa sunat, makruh atau haram. Apa yang penting kita dapat membuatnya dan merasai kenikmatan sura yang biasanya tidak ada pada masa-masa lain.

Cara tegur pemimpin

Manusia hidup dalam masyarakat atau berkelompok yang mana akan ada di antara mereka dipilih sebagai pemimpin. Kewujudan pimpinan penting sebagai tempat rujukan dan menentukan sesuatu yang diperlukan oleh masyarakat.

Islam amat mementingkan aspek kepimpinan. Tanpa wujudnya pemimpin, kepentingan rakyat tidak akan mampu ditadbir dengan baik. Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan yang kuat akan menindas kaum yang lemah.


Justeru, urusan kepimpinan merupakan salah satu dasar utama dalam Islam. Maka itu, jika ada dua orang dalam satu kelompok atau kumpulan, maka salah satu perlu dilantik sebagai pemimpin. Dalam sebuah keluarga, suami menjadi pemimpin kepada isteri, biarpun mereka hanya berdua.


Firman Allah SWT: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa". (Surah an-Nur, ayat 55)


Lantaran itu Islam telah meletakkan beberapa dasar yang penting tentang bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin yang berkuasa demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat di sesebuah negara Islam. Tidak ada ertinya jika ada pemimpin, tetapi tidak dipatuhi atau ditaati.


Justeru, kepentingan mentaati pemimpin dijelaskan atau dirangkaikan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu". (Surah an-Nisa, ayat 59)


Namun dalam memberi ketaatan kepada pemimpin ada batasannya. Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang berunsur maksiat atau ingkar kepada perintah Allah SWT.


Sabda Rasulullah SAW: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat". (Hadis riwayat Bukhari).


Namun sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, yang diingkari hanyalah perbuatan tersebut akan tetapi kesetiaan kepada pemimpin itu tetap perlu diteruskan. Ketaatan terhadap pemimpin berkenaan perlu diteruskan dalam hal-hal lain.


Sabda Rasulullah SAW: "Ketahuilah!  Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)". (Hadis riwayat Muslim)


Jelas sekali ketaatan terhadap pemimpin satu perkara penting. Ia bagi memastikan urusan kepimpinan yang melibatkan masyarakat, lebih-lebih dalam urusan keselamatan berjalan lancar.


Sekiranya pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara yang baik berbekalkan niat hanya untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif-motif yang lain.


Di dalam Musnad Ahmad telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah menyenaraikan tiga perkara yang Allah SWT redai untuk diamalkan bagi hamba-hamba-Nya yang mana salah satu darinya adalah: "Kalian menasihati orang-orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan kalian."


Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka di atas pentas-pentas, dengan kata-kata berbentuk cacian dan menghina atau dengan tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin tersebut.


Hendaklah kita sedari bahawa pemimpin adalah manusia biasa yang adakalanya melakukan kesilapan dalam menguruskan pentadbiran sesebuah negara.


Namun sekiranya seseorang pemimpin itu melakukan sesuatu kesilapan ia bukan bererti kita dibenarkan untuk mencelanya secara terbuka tetapi hendaklah kita menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara yang penuh hikmah.


Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat berpeluang menyingkir dan mengangkat seseorang pemimpin melalui pilihanraya. Itulah cara yang telah ditetapkan di Malaysia dalam urusan memilih pemimpin.


Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umatnya tentang cara untuk menasihati pemimpin melalui sabda Baginda: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat tersebut) maka itulah yang diharap-harapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat tersebut) telah melaksanakan tanggungjawabnya". - (Hadis riwayat Ahmad)


Menerusi prinsip itu bukan bermakna umat Islam hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin.


Terdapat saluran yang boleh digunakan untuk menghalang seseorang pemimpin daripada melakukan kesalahan. Namun, yang penting kesalahan itu biarlah benar-benar dilakukan dan bukannya hanya fitnah atau persepsi semata-mata.


Kemaksiatan serta kezaliman tersebut tetap perlu diingkari. Maka diperjelaskan secara umum kepada masyarakat bahawa perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan syarak dan terlarang.


Hanya pengingkaran terhadap kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin itu tetap perlu mengikut tatacara yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana telah diperjelaskan.


Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi telah meramalkan bahawa pada masa mendatang akan wujud pemimpin yang mentadbir dengan tidak mengikuti ajaran-ajaran baginda namun baginda tetap menyuruh umat Islam untuk taat kepada pemimpin tersebut selagi dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda-tanda yang jelas bahawa dia telah kafir.


Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia telah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Para sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (sahaja) dengan pedang? Baginda menjawab: "Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian". (Hadis riwayat Muslim)


Mentaati pemimpin penting demi mencapai kestabilan politik dan kesatuan umat yang merupakan faktor penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni musuh. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan musuh-musuh Allah.

Manfaat kebaikan halba

Manfaat kebaikan khasiat herba halba atau fenugreek telah digunakan untuk kesihatan sejak zaman kuno. Kegunaan halba antara lain mengaktifkan organ pembiakan. Amalan tabib China menggunakan halba merawat mati pucuk.

Halba antara ubatan tertua di dunia dan digunakan oleh Al-Abqirad (Hippocrates) iaitu bapa perubatan Yunani. 

Untuk memaksimakan penggunaan halba bagi tujuan perubatan, ia boleh dijadikan sebagai teh, yakni halba dipanaskan di dalam air dan diminum. Minum air rebusan halba dan biji halba yang telah lembut itu.

Halba juga boleh dimakan 'mentah' atau dimakan terus, tetapi sedikit keras. Halba juga boleh digoreng tanpa minyak dan disimpan untuk digunakan sedikit-sedikit dengan dicampur air panas.

Memang amat baik diamalkan pengambilan halba setiap hari atau pada masa-masa lain. Harga halba dikira agak murah dan mudah disimpan. Boleh digunakan untuk pelbagai menu masakan dan dijadikan perisa minuman.

Halba kaya dengan serat, protin, karbohidrat, zat besi, mangan dan magnesium. 

Antara manfaat mengamalkan halba ialah:
- Melancarkan haid.
- Menghilangkan kembung, sebu dan senak.
- Pencuci perut.
- Menguatkan jantung.
- Menghilangkan lender tekak.
- Melegakan sakit kepala.
- Membuang angin.
- Menyembuhkan buasir.
- Senggugut.
- Merangsang rahim.
- Mengelak kegemukan.
- Mengurangkan berat badan.
- Mengawal kencing manis.
- Radang kulit dan bisul.
- Meningkatkan nafsu seksual.
- Tingkat daya kecerdasan otak.
- Tingkat daya kercergasan fizikal.
- Menambah susu badan ibu.
- Menguatkan tulang.
- Menurunkan kolestrol.

Cara pengambilan:

Teh halba:
- Dua sudu besar halba.
- Direndam dalam air panas.
- Minum air rendaman (teh halba) itu apabila sejuk.
- Boleh diulang tambah air sehingga tawar.
- Makan halba apabila telah lembut.
- Boleh juga direbus sehingga lembut dan terus makan halba bersama airnya.
 
Serbuk halba.
- Bacuh dalam air suam dan terus minum. 

Sifat penyokong demostrasi

Beberapa golongan yang dipercayai menjadikan demonstrasi sebagai suatu kaedah menjatuhkan pemerintah sah yang dipilih oleh rakyat:

- Golongan sosialis komunis dan sekutunya
- Golongan revolusioner, militan, radikal dan sekutunya
- Golongan Khawarij, Syiah, Wahabbi dan sekutunya
- Golongan anti establishment, anti nasional dan sekutunya
- Golongan anti Islam dan sekutunya
- Golongan suka kepada aktiviti keganasan
- Golongan yang ingin perhatian murahan
- Golongan suka menyusahkan pihak lain
- Golongan diupah atau mendapat habuan melakukan perbuatan itu

Antara matlamat-matlamat awal yang ingin dicapai adalah membina mitos dan kepercayaan bahawa kerajaan memerintah memperalatkan pihak berkuasa keselamatan dan bertindak zalim terhadap para demonstran yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Selain dari itu golongan ini juga berharap agar media massa asing dan pro kepada perjuangan mereka memberikan gambaran dan imej negatif kepada pemerintah.

Maqasid syariah menatapkan sesuatu yang mendatangkan mudarat atau keburukan kepada orang ramai wajib dihentikan atau ia perbuatan haram.  

Sesungguhnya perbuatan berdomostrasi adalah sebahagian daripada serangan pemikiran yang dirancang dan disokong oleh Yahudi untuk meruntuhkan Islam. Sesiapa bersetongkol dengan Yahudi meruntuhkan Islam, maka dia telah melakukan dosa.

Mengapa perkara ini berlaku di negara Islam? Inilah cara dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan kuasa umat Islam. 

Mereka ingin melibat umat Islam berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Umat Islam akan lemah dan hilang arah jika berperang sesama sendiri.

Seluruh muslim mesti bersatu dan mengelak berpecah dalam menghadapi cabaran ditimbulkan bukan Islam. Berpegang dan terus mempertahankan agama. Jangan mudah percaya dengan dakyah musuh-musuh Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103)

Hakikat sebenarnya, protes dan demontrasi tidak mendatangkan apa-apa kesan kebaikan terhadap umat Islam. Banyak keburukan timbul akibat demostrasi.  

Setiap kali melakukan demostrasi, yang ruginya umat Islam sendiri. Banyak masa dan tenaga dihabiskan berdemostrasi, sedangkan ia tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada negara yang ditujukan bantahan itu.  

Semakin banyak demostrasi dilakukan, semakin buruk imej umat Islam. Perbuatan itu tidak ubah anjing menyalak bukit. Media Barat akan membuat liputan dari sudut negatif terhadap umat Islam. 

Berdemostrasi bukan cara menyelesaikan masalah. Malah amalan itu akan mendidik rakyat mengadakan demostrasi setiap kali ada perkara yang tidak puas hati, termasuk urusan dalam negara sendiri. 

Negara yang rakyatnya kerap mengadakan demostrasi, tidak kira apa tujuan, lebih banyak membawa keburukan. Tidak banyak demostrasi yang boleh dianggap berjaya mencapai matlamat. Hidup rakyat makin susah dan keadaan menjadi tidak tenteram.

Dalam sistem negara demokrasi, rakyat boleh menyatakan pandangan dan keinginan melalui wakil rakyat masing-masing. Bahkan, mereka sendiri boleh secara terus membuat aduan dan cadangan kepada kerajaan melalui pelbagai saluran yang disediakan. Pilih Islam pasti semua selamat.

Cara hayati kemerdekaan

Cara hayati kemerdekaan. Rakyat Malaysia diseru supaya menghayati pengertian sebenar Hari Kebangsaan, iaitu mengenai semangat cintakan negara dan bukannya tentang sama ada seseorang itu menyokong kerajaan atau pembangkang.

Rakyat Malaysia perlu bersatu atas semangat perpaduan walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik.

Kita mungkin tidak sependapat dalam politik tetapi di situlah percanggahan pendapat kita harus berakhir. Kita tidak harus melebarkan lagi jurang perselisihan dan mewujudkan dua kelompok rakyat Malaysia.

Kita kata kita rakyat Malaysia. Kita kata kita setia kepada negara kita. Kita kata kita sedia berkorban untuk negara. Kita mengaku dan mendakwa diri sebagai pejuang. Kita sanggup bersusah payah demi satu perjuangan.

Tetapi kita tidak bersedia untuk mengorbankan perbezaan politik hanya untuk sehari demi bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang bersatu merayakan Hari Kebangsaan.

Dalam sukan, rakyat Malaysia nampaknya boleh mengenepikan perbezaan etnik atas nama nasionalisme dan dapat mendukung semangat Malaysia, dan ia adalah semangat sama yang didukung bagi menyambut Hari Kebangsaan.

Marilah seluruh rakyat Malaysia mengembalikan semangat Hari Kebangsaan seperti sebelum ini, dan tidak menjadikan sambutan itu sebagai platform politik. Ingatlah, dalam peperangan pun ada genjatan senjata, tetapi mengapa politik kepartian berjalan tanpa sempadan masa sehingga mengganggu urusan kehidupan seharian.

Ini kerana sambutan Hari Kebangsaan berkisar kepada semangat cintakan negara dan bukannya membenci satu sama lain hanya kerana perbezaan politik. 

Ia berkaitan perpaduan dan semangat kekitaan seluruh warganegara.

Perpecahan satu petanda tidak baik kepada negara dan rakyat. Keadaan negara yang tidak aman akan menyebabkan pelabur tidak datang menanam modal di negara kita. Hal ini memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Politik itu perlu untuk menyuburkan demokrasi, tetapi ia perlu dihadkan kepada menyampaikan ideologi serta pendekatan pemerintahan yang digunapakai untuk menarik sokongan pengundi.  

Tetapi, jika berpolitik sehingga menyebabkan perpecahan dan keruntuhan keamanan negara, itu satu perbuatan melampau dan boleh dianggap sebagai petualang negara. 

Gambaran politik tidak sihat di Malaysia di luar negara menyebabkan pelabur tidak tertarik datang ke negara kita. Begitu juga dengan pelancong. Mereka ingin mencari destinasi yang selamat dan aman.

Tindakan mengadakan demostrasi dan gerakan menjatuhkan kerajaan memberi kesan negatif terhadap Malaysia oleh masyarakat antarabangsa. Bersatulah dan bersama menghayati semangat Sejati Sejiwa.