Sunday 8 January 2017

TERPAKSA PINJAM ISTERI KAWAN

Akibat kongsi atau pinjam isteri kawan memang buruk. Jadi, jangan lakukan perbuatan pelik yang tidak mendatangkan kebaikan langsung.   

Kisah filem Anak Bapa memang penuh pengajaran. Walaupun ia lebih kepada cerita komidi, hakikatnya sarat dengan pengajaran dan yang tersirat. Kisah Harun, Salleh, Datuk Mahfis, Halimah, Normah dan Idah diolak dengan baik sekali.

Rasa cinta Normah yang tidak dibalas oleh Harun dipaparkan dengan mendatar dan lawak. Normah yang sebenarnya tertarik dengan Hurun disebabkan kekayaan atau jawatannya, telah ditolak permintaannya untuk bersuamikan Harun.

Harun yang berhutang dengan Normah dan ceti menghadapi masalah untuk membayarnya. Maka, dicari ikhtiar meminta wang dengan bapanya, Datuk Mahfis dengan alasan untuk berkahwin.  

Hakikatnya, wang yang diterima itu digunakan untuk membayar hutang. Alasan bohong sunat dan harta bapanya sendiri. 

Datuk Mahfis yang tinggal di Johor Bharu, datang ke Kuala Lumpur di mana tempat Harun tinggal dengan alasan untuk bertemu menantu dan melihat perniagaan diuruskan Harun.  

Maka, Harun terpaksa mencari seseorang yang boleh berlakon sebagai isterinya. Idah, isteri Salleh terpaksa menjadi isteri olok-olok Harun. Salleh adalah pemandu merangkap kawan karib kepada Harun. Atas dasar kawan, Salleh terpaksa merelakan isterinya dipinjamkan kepada Harun.

Rahsia Harun terbongkar apabila Normah yang diupah seribu ringgit mendedahkan perkara sebenar, apabila cek yang diterima dari Harun adalah cek kosong.  

Untuk mencari kebenaran, Datuk Mahfis mengadakan mahkamah. Dalam kenyataan, pembelaan Harun menyatakan gaji seribu ringgit sebulan yang diterima tidak cukup kerana setiap kali pergi kelab malam dia membelanjakan sebanyak 50 ringgit.

Harun didapati tidak bersalah, dan kesalahan ditujukan pula kepada Normah. Sebagai denda, Normah dikehendaki kahwin dengan Datuk Mahfis.

Pengajaran dari Anak Bapa amat jelas. Pertamanya, cinta Normah kepada Harun lebih kepada kebendaan. Sebab itu, dia tidak membantah, bahkan bergembira apabila dijatuhkan 'hukuman' berkahwin dengan Datuk Mahfis.  

Walaupun telah tua, tentunya harta Datuk Mahfis lebih bermakna. Datuk Mahfis yang miang ambil kesempatan atau sikap Normah yang pentingkan kebendaan. 

Sikap Harun yang suka ke kelab malam, tentunya melibatkan minum arak dan perempuan. Belanja untuk kedua-duanya mahal. Gaji yang banyak dihabiskan begitu saja.  

Banyak golongan muda kaya dan pegawai ekslusif jatuh bankrap disebabkan arak dan hiburan dengan perempuan. Arak, judi dan seks banyak merosakkan kehidupan manusia yang inginkan kepuasan.

Tindakan berhutang memang banyak menimbulkan masalah. Disebabkan hendak menjelaskan hutang, banyak orang terpaksa menipu dan melakukan perbuatan salah lain, termasuk melakukan rasuah semata-mata untuk mendapatkan duit untuk membayar hutang. 

Elak berhutang kepada perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Jauhkan diri daripada amalan berhutang kerana kita akan menjadi hamba kepada hutang.

Tindakan Salleh yang sanggup meminjamkan isterinya Idah atas dasar menyelamatkan kawan yang juga menjadi bosnya termasuk dalam perbuatan dayus.  

Isteri tidak boleh dikongsi walaupun sekadar olok-olok. Isteri hak mutlak suami. Suami pula perlu mempertahankan kesucian isteri dalam apa cara sekalipun.