Thursday 26 July 2018

KOS TINGGI PUNCA PASANGAN LEWAT KAHWIN

Kenduri kahwin kini memerlukan kos yang tinggi. Trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar kad jemputan secara fizikal, namum sekarang melalui media sosial. Ke mana pergi adat budaya kita?

Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan.

Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah.

Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus? Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.

Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya.

Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.

Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka.

Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.

Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi.

Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.

Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat.

Tentunya ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000. Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000. Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000.

Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.

Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.

Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.

Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.

JANGAN PERMUDAHKAN SOAL TALAK

Kehidupan rumah tangga memang banyak dugaan. Masalah tiada kesefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, masalah penyakit, masalah kewangan, gagal menjalankan tanggungjawab dan sebagainya sering menyebabkan rumah tangga tidak berada dalam keadaan aman.

Islam menyarankan agar sebarang permasalahan dalam rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang ingin dikecapi melalui perkahwinan. 

Jika terdapat persengketaan antara suami dan isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami dan isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan. 

Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mestilah didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.    

Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami dan isteri seharusnya tiada rahsia merahsia, sama ada zahir mahupun batin, kecuali jika dikhutiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumahtangga yang dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa yang dicakapkan biarpun perkara yang benar.

Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Ada pepatah mengatakan, "Bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar yang mujarab."

Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri telah ‘panas’ dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh agar kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesain terbaik memandangkan wakil dianggap lebih matang dan berpengalaman dalam hal berkaitan.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, maka kirimkan hakam (jurupendamai) daripada keluarga lelaki dan perempuan. Jika kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan kebaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.” (Surah an-Nisa, ayat 35)

Ini bermakna suami dan isteri yang menghadapi masalah tidak boleh mengambil mudah dalam soal tersebut sehingga mengambil keputusan sendiri untuk bercerai. Tambahan lagi soal talak bukan boleh dibuat main-main maupun dilakukan secara bergurau.

Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, tetapi juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui media sosial. 

Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

Si isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Manakala suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang ‘mudah’ dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan uasaha ke arah itu. Islam membenarkan talak demi untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas tentang harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

Sesungguhnya, kebenaran suami mentalak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak. Anggaplah tidak wujud perkataan itu dan tidak mungkin ia akan terjadi dalam rumahtangga.

Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup. 

KAHWIN, CERAI GAYA HIDUP MASA KINI

Islam amat menggalakkan perkahwinan yang menyempurnakan keperluan tabie manusia yang memerlukan pasangan hidup. Manakala perceraian pula satu perkara halal yang paling dibenci. Perceraian berpunca kegagalan suami isteri melayari kehidupan berumahtangga seperti mana diharapkan.

Bilangan kes perceraian melibatkan pasangan Islam di Malaysia berada pada tahap 10 hingga 15 peratus. Peratusan tersebut dianggap tinggi, biarpun masih terkawal. Pun, timbul persoalan adalah kahwin, dan cerai sudah menjadi gaya hidup masakini?  

Antara punca perceraian di kalangan pasangan Islam di negara kita ialah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, pegangan agama yang rendah, campurtangan keluarga atau pihak ketiga, berbeza budaya, masalah seksual dan kerjaya.

Suatu dahulu, pasangan yang bercerai menanggung malu. Perasaan itu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Malah, perceraian dianggap sesauatu yang 'salah' dalam masyarakat. Sebab itu, pasangan suami isteri akan cuba sedaya mungkin mengelak daripada berlaku perceraian. Masalah dalam rumahtangga cuba diselesaikan secara bertolak ansur dan bijaksana. Keluarga akan campur tangar mendamaikan pasangan bermasalah agar tidak berakhir dengan perceraian.

Status duda dan janda bukan suatu yang baik pada pandangan masyarakat. Pandangan ini berdasarkan kepada bahawa perceraian berpunca sesuatu yang tidak baik mengenai duda atau janda itu. 

Keluarga yang perihatin tidak mudah menerima bakal ahli keluarga baru dari kalangan duda atau janda. Mereka akan menyelidik apakah punca perceraian yang lalu. Adakah perceraian lalu berpunca daripada sikap bakal menantunya itu. Ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku dalam perkahwinan baru nanti. 

Dengan kata lain, duda atau janda dipandang rendah bukan kerana status, tetapi sebab di sebalik mengapa status itu diperoleh. Suami tidak mungkin menceraikan isteri yang baik. Atau, suami yang baik tidak mungkin menceraikan isteri tanpa alasan yang munasabah.

Atas alasan itulah mengapa duda, lebih-lebih lagi janda sentiasa dipandang serong. Keluarga akan cuba menghalang anak teruna mengahwini janda. Pengalaman buruk janda itu tidak mahu berulang pula pada anak teruna yang belum penah mengalami pengalaman hidup berumahtangga.

Manakala duda pula akan disiasat lebih teliti terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkahwin dengan anak dara. Manalah tahu punca perceraian dahulu disebabkan sikap tidak baik duda itu. Sikap itu akan berulang pula bila berkahwin baru dan isterinya bakal menanggung nasib yang sama.

Senario itu berlaku pada suatu masa dahulu. Tetapi, nampaknya kes kahwin dan cerai seperti sudah seperti satu budaya dalam masyarakat kini. Pasangan yang bercerai tidak lagi menanggung perasaan malu. 

Kalau diperhatikan punca kes perceraian, banyak yang disebabkan perkara remeh, dan bahkan melucukan. Bayangkan soal sidai tuala mandi pun boleh jadi punca perceraian. Disebabkan dua biji mempelam muda juga ada yang menyebabkan perceraian pasangan yang telah berpuluh-puluh tahun berkahwin.

Sikap ego pasangan dikenal pasti mengapa mudah berlaku perceraian dalam masyarakat sekarang. Jika ada masalah dalam rumahtangga, masing-masing tidak 'takut' untuk bercerai. 

Si suami merasakan dia tidak menghadapi masalah untuk mencari pasangan baru. Mereka boleh mendapatkan isteri baru di kalangan anak dara yang lebih baik. Begitu juga dengan si isteri yang mengambil pendekatan tidak kisah jika selepas itu dia tidak bertemu jodoh lagi. 

Bahkan ramai berpegang kepada prinsip perceraian bukan penamat kehidupan. Malah ada yang lebih optimis mengatakan perceraian adalah permulaan untuk berubah mencapai yang lebih baik. Memang pemikiran itu amat libral dan keterlaluan bagi budaya masyarakat kita.

Kisah cerai ini turut mewarnai dunia selebriti terkenal negara. Satu demi satu pasangan terkenal bercerai atau dalam proses perceraian. Kisah percintaan dan perkahwinan mereka masih hangat diperkatakan, tiba-tiba timbul pula cerita keretakan rumahtangga. 

Sekarang ini ramai wanita yang mempunyai kerjaya yang baik. Mereka tidak lagi bergantung kepada lelaki untuk menyara hidup selepas perceraian. Bahkan, banyak hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri yang mampu menyara sepenuhnya perbelanjaan, kalaupun tanpa bantuan daripada bekas suami. 

Golongan yang memperjuangan kepentingan wanita pula seakan berjuang mempermudahkan soal perceraian. Kalau boleh, setiap permohonan cerai yang dikemukakan oleh si isteri perlu diluluskan segera. 

Banyak forum dan seminar yang membincangkan mengenai keadilan bagi si isteri merumuskan agar proses permohonan cerai dipermudahkan. Mahkamah Syariah dikatakan gagal melaksanakan tugas jika melambat-lambatkan proses perceraian. Mereka bukannya berjuang untuk mempertahankan isteri daripada dijatuhkan talak.

Mereka seakan berbangga berstatus Ibu Tunggal. Sekarang ini masyarakat jarang menggunakan perkataan janda bagi wanita yang bercerai hidup atau balu bagi bercerai mati. Lainlah jika mereka bercerai tanpa mempunyai anak. 

Biasanya masyarakat mudah simpati dengan gelaran ibu tunggal. Terdapat Persatuan Ibu Tunggal peringkat kebangsaan, negari, daerah dan kampung. Aktiviti persatuan mendapat sokongan masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri. Ada ruangan khas dalam majalah atau akhbar yang memfokoskan mengenai Ibu Tunggal yang berjaya.

Memang benar ramai ibu tunggal berjaya meneruskan hidup dengan sempurna bersama anak-anak. Malah ada yang menikmati kehidupan lebih berjaya selepas bergelar Ibu Tunggal. 

Ibu Tunggal biasanya berusaha lebih gigih dan menggunakan sepenuhnya peluang bebas kongkongan daripada suami untuk berjaya. Mereka ingin memastikan nasib anak-anak tidak terabai. Malah ramai yang ingin membuktikan kepada bekas suami bahawa mereka boleh berdikari dan kebahagiaan hidup bukan bergantung kepada lelaki.

Tetapi, apakah matlamat perkahwinan 'mesti' berakhir dengan perceraian. Jika perkahwinan diraikan sebagai hari paling gembira dan bersejarah, perceraian sepatutnya dianggap malapetaka paling besar.

Istilah perceraian sepatutnya tiada dalam kamus perkahwinan. Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha untuk mengekalkan rumahtangga gagal. Rakyat yang baik bermula dari keluarga yang bahagia. 

KEWAJIPAN SUAMI TERHADAP ISTERI

Kebahagiaan hidup keluarga bergantung kepada bagaimana suami memainkan peranan. Inilah cabaran paling besar bagi sesiapa bergelar suami. 

Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh suami terhadap isteri supaya keharmonian rumahtangga berterusan ialah menjaga adab bergaul, jangan menyakiti isteri, elak perasaan cemburu keterlaluan, berlaku adil dalam memberi nafkah, mendidik isteri tentang hukum agama, bijaksana, dan bersabar berdepan kerenah isteri.

Dalam soal pergaulan, suami hendaklah menunjukkan akhlak dan sikap yang baik kepada isteri. Hak isteri terhadap suami ialah mendapat layanan yang baik. Perlu diingatkan bahawa isteri bukan hamba atau orang suruhan suami.

Suami perlu melayan isteri dengan cara yang baik dan ditegah daripada mudah buruk sangka terhadap isteri. Apa yang difikirkan buruk itu mungkin ada kebaikan di sebaliknya.  

Firman Allah bermaksud: “Bergaullah mereka (isteri-isteri) itu dengan cara yang baik (maaruf). Jika kamu benci kepada mereka, mudah-mudahan sesuatu yang kamu benci itu dijadikan Allah padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa, ayat 19).

Semasa Rasulullah mengerjakan ibadat haji yang terakhir (Hajjatul Wida) sebelum baginda wafat, antara lain baginda menyentuh dalam ucapannya mengenai kehidupan suami isteri. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai umatku!  Kamu mempunyai hak-hak dan kewajipan-kewajipan yang tertentu kepada isteri-isteri kamu demikian pula isteri-isteri kamu, mereka adalah amanah Allah kepada kamu.  Maka hendaklah kamu menjaganya dengan cara yang baik.”  (Hadis riwayat Muslim).

Suami hendaklah menjauhkan perkara-perkara yang boleh menyinggung perasaan isteri, baik dalam sikap dan perbuatan maupun dalam percakapan atau apa-apa cara sekalipun. 

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang-orang yang paling baik akhlaknya dan orang-orang yang paling lemah lembut kepada isterinya.” (Hadis riwayat Tirmizi). 

Biarpun ada ayat al-Quran menjelaskan mengenai kebenaran suami memukul isteri, tindakan itu bertujuan menyedarkan tentang kesalahan yang telah dilakukan dengan pukulan yang amat ringan. Itupun, kebenaran itu hanya setelah isteri masih berdegil mengulangi perbuatan salah, sedangkan telah ditegur dan dinasihati berulang-ulang kali.   

Suami dituntut agar menyimpan perasaan cemburu terhadap isteri. Suami yang mempunyai perasaan cemburu bersikap waspada terhadap gerak geri isterinya.  Suami yang tidak menyimpan perasaan cemburu tergolong sebagai dayus.

  Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kecemburuan itu termasuk sebahagian daripada iman, midzak (membenarkan lelaki lain ke dalam rumah dan kemudian dibiarkan bersama isterinya) itu termasuk sifat munafik.”  (Hadis riwayat Bazar dan Baihaqi).

Perlunya ada perasaan cemburu bertujuan mengingatkan suami agar tidak terlalu memberi kebebasan kepada isteri dalam soal pergaulan, terutama dengan lelaki bukan mahram. Dengan cara itu dapat mengelak isteri terlanjur melakukan sesuatu perbuatan kemungkaran. 

Tetapi, cemburu suami perlu berpada-pada. Sebagai insan, isteri juga perlu kepada hubungan komunikasi dengan orang lain, terutama dengan ibu bapa, saudara mara, sesama perempuan dan orang lain yang ada keperluan mengikut batasan ditetapkan agama.

Suami perlu adil dalam memberi nafkah ialah memberi apa yang sepatutnya mengikut kemampuan dan keperluan. Adalah menjadi tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isterinya secara sukarela dan berhemah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu” (Hadis riwayat Abu Daud).

Satu tanggungjawab yang sering dilupai suami terhadap isteri ialah mendidik dan mengajar isteri tentang hukum agama. Tanggungjawab ini bertambah berat jika isteri jahil dalam soal agama.   

Perkara yang paling penting dipastikan agar isteri mengetahuinya ialah tentang pengetahuan yang wajib (fardu ain) seperti sembahyang, serta hal yang berkaitan secara langsung dengan perempuan seperti tentang haid, nifas, mandi wajib dan batasan pergaulan. 

Sekiranya suami juga tidak mengetahuinya, maka suami terlebih dahulu perlu belajar dan kemudian mengajarkannya kepada isteri. Jika suami tidak berdaya mempelajarinya, maka suami perlu mencarikan guru atau tempat yang membolehkan isterinya belajar.

Jika timbul perasaan tidak senang hati dengan kerenah isteri, hendaklah suami menegurnya dengan bijaksana. Suami hendaklah menjelaskan apa yang diingini dan apa yang tidak disukai agar isteri dapat menurutinya.

Sekiranya isteri tidak mahu mematuhinya, maka suami patut bertolak ansur dengan kehendak isteri, jika ia tidak melibatkan perbuatan yang dilarang oleh agama. Suami tidak boleh terlalu mengikut perasaan atas alasan menjadi haknya menentukan apa yang diingini.  

Menurut Imam Ghazali, sifat sabar dengan kerenah isteri adalah sebahagian daripada lambang akhlak baik suami. Suami yang berakhlak baik bukan sekadar tidak menyakiti fizikal isteri atau mengguris perasaannya, malah bersabar dengan kerenah isteri. 

Dalam keadaan di mana timbul perselisihan faham, suami hendaklah lebih bersabar dan bijak mengawal keadaan. Membetulkan sikap isteri tidak boleh dilakukan dengan kekerasan. Ketegasan keterlaluan mungkin boleh menyebabkan keadaan lebih buruk.

BERBUAT BAIK TERHADAP ISTERI

Kehidupan suami isteri penuh dengan cabaran dan halangan yang mungkin mengundang berlakunya hubungan tidak baik suami isteri. Perkara ini sukar dielakkan disebabkan dalam konteks hubungan mana-mana pihak sekalipun soal berlakunya ‘masalah’ hubungan akan berlaku.

Islam memberi garis panduan yang berguna untuk menjamin kesejahteraan hidup berkeluarga agar terhindar berlakunya perkara-perkara buruk dalam hubungan suami isteri dan keluarga. Rasulullah adalah contoh suami dan ketua keluarga yang terbaik.

Matlamat untuk kehidupan suami isteri ialah mencapai kebahagiaan dan menikmati kurniaan Allah. Allah mencipta manusia secara berpasangan yang berlainan jenis dengan tujuan mewujudkan hubungan perasaan kasih sayang dan saling bertanggungjawab di atas peranan masing-masing.

Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum yang berfikir.” - (Surah ar-Rum, ayat 21).

Kehadiran perempuan dalam kehidupan lelaki merupakan satu anugerah yang perlu dijaga dan diuruskan dengan sebaik-baiknya. Kehidupan lelaki tidak bermakna tanpa kehadiran insan bernama perempuan.

Pada mulanya Allah mencipta Adam tanpa pasangan untuk setiap tempoh yang agak lama. Kala ketika itu, kehidupan Adam dilalui dengan rasa kesunyian dan kosong. Maka, Allah menciptakan Hawa untuk dijadikan pasangan kepada Adam dan seterusnya melahirkan zuriat adanya lelaki dan perempuan yang memenuhi keperluan hidup manusia inginkan pasangan.

Sesuai dengan kejadian manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan kemanusiaan yang membezakan dengan alam haiwan, kehidupan manusia dalam konsep berpasangan dijalankan dalam ikatan perkahwinan.

Dalam institusi perkahwinan, lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadian lelaki yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding perempuan.

Penugasan lelaki sebagai ketua kepada perempuan ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Ajaran Islam mensyaratkan agar lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap perempuan. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak-anak.

Sekarang ini kes pengabaian dan penderaan terhadap isteri semakin meningkat. Perkara ini wujud antara lainnya berpunca daripada kejahilan memahami kehendak agama. Banyak pasangan mengikat tali perkahwinan bukan kerana tuntutan agama, sebaliknya semata-mata memenuhi tuntutan nafsu.

Ketika mula-mula menjadi suami isteri semua perkara indah dan menyenangkan. Sebaliknya, selepas melalui tempoh yang mana perasaan sayang telah bertukar menjadi benci, menyebabkan hidup suami isteri telah diumpamakan sebagai penjara dipenuhi penderitaan yang sukar untuk melarikan diri.

Islam melarang sama sekali dilakukan sebarang kekerasan dalam rumahtangga. Biarpun ayat 34 surah an-Nisa membenarkan suami memukul isteri, ia tidak boleh dikategorikan sebagai kebenaran menggunakan penderaan atau kekerasaan terhadap isteri.

Ayat 34 surah an-Nisa bermaksud: “Dan kepada mereka yang kamu khuatir akan kedurhakaannya, berikan nasihat dahulu, kemudian tinggalkan tempat tidurnya dan hendaklah kamu pukul.”

Keizinan memukul isteri itu jelas dalam konteks memberi pengajaran setelah cara nasihat dan memulau tidak berkesan untuk memperbaiki kesalahan isteri. Malah, pukulan itu sebenarnya hanya dalam tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar menunjukkan ketegasan suami agar isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini.

Rasulullah memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki di kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” - (Hadis riwayat Ahmad).

Sifat suami memukul isteri lebih kepada menujukkan sifat haiwan yang menunjukkan kekuasaan. Disebabkan merasakan dirinya lebih kuat dan lebih berkuasa, suami bertindak sewenang-wenangnya terhadap isteri.

Sekarang ini dalam kebanyakan kes suami melakukan penderaan terhadap isteri bukannya berpunca sikap isteri yang ingkar perintah suami sepertimana kebenaran memukul isteri seperti maksud 34 surah an-Nisa itu.

Isteri didera disebabkan cuba menegur atau memperbaiki sikap suami yang tidak bertanggungjawab. Malah didapati terdapat suami melakukan kekerasan terhadap isteri disebabkan isteri tidak mahu menyerahkan wang yang diminta.

SUAMI AMBIL KESEMPATAN KELEMAHAN ISTERI

Sesungguhnya suami yang mengambil kesempatan di atas kelemahan isteri dengan memperlakukan sesuka hati sebenarnya bersikap dayus. Mereka hanya menunjukkan kekuatan dan kuasa kepada golongan yang lemah. Suami memukul dan melakukan penderaan terhadap isteri dikategorikan sebagai lelaki jahat. 

Islam melebihkan suami pada kedudukan bukan bermakna berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hatinya. Sebaliknya kedudukan suami yang diangkat oleh Allah di atas satu ‘perjanjian’ bahawa suami perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keselamatan memberi nafkah dan membimbing ke jalan diredai.

Firman Allah dalam surah at-Tahrim, ayat 6 bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”

Sebagai pemimpin suami akan ditanya di akhirat nanti atas apa telah dilakukan berkaitan tugasnya memimpin orang di bawah pimpinannya.

Suami perlu sentiasa menjadi contoh terbaik kepada isteri dan ahli keluarga dalam menjalankan ibadah kepada Allah. Malah menjadi tanggungjawab suami membimbing isteri dan anak-anak dalam soal-soal ibadat.

Firman Allah bermaksud: “Dan perintahlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu mengerjakannya.” - (Surah Thaha, ayat 132).

Seterusnya Allah berfirman dalam surah Marim ayat 55 bermaksud: “Dan dia menyuruh ahlinya untuk bersembahyang dan menunaikan zakat dan dia adalah seseorang yang diredai di sisi Tuhannya.”

Asas kepada mendidik melakukan perbuatan baik ialah wujudnya amalan tersebut dalam kehidupan keluarga. Suami mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan perasaan ceria dan gembira dalam keluarga.

Rasulullah memberi contoh bagaimana menjadi seorang suami yang baik. Rasulullah sering menolong isterinya melakukan kerja-kerja di rumah yang mana baginda dapat melakukan sendiri seperti menjahit baju yang koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja-kerja lain.

Sifat ringan tangan suami membantu isteri melakukan kerja rumah bukan semata-mata meringankan tugas isteri, tetapi menimbulkan rasa hormat isteri.  Isteri merasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati. Amalan melakukan kerja rumah secara bersama dapat membentuk kerjasama, persefahaman, keceriaan dan menghargai apa yang dilakukan bersama-sama.

Suami yang sama-sama membersihkan rumah sudah tentu tidak akan melakukan perbuatan yang menyebabkan keadaan menjadi kotor seperti kebanyakan suami yang secara ‘sengaja’ mengotorkan kawasan rumah dengan habuk rokok dan puting rokok yang dibuang merata-rata. 

Melakukan kebaikan kepada isteri merupakan sebahagian tanda Muslim sejati. Suami yang baik sedar bahawa dirinya menanggung satu amanah yang besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” - (Hadis riwayat Tarmizi).

Sikap baik Rasulullah terhadap isteri diakui oleh isteri baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata: “Rasulullah tidak pernah sekali-kali memukul isterinya dan pembantunya.”

Sikap baik sebenarnya bukan terhad kepada isteri saja. Semua orang berhak dilayan dengan baik, terutama ahli keluarga dan sesiapa yang diamanahkan kepada kita menjaganya. Orang gaji dan sesiapa yang tinggal bersama-sama kita perlu dilayan dengan sebaik-baiknya.

Menjaga dan berbuat baik terhadap isteri juga dilakukan dengan cara menyediakan apa yang suami mampu untuk dirinya, maka itulah juga seharusnya untuk isteri. Adalah menjadi hak isteri mendapat apa-apa pemberian yang mampu disediakan oleh suaminya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu. Jangan kamu pukul isterimu di bahagian muka. Jangan kamu keluarkan perkataan-perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan yang menyakiti hati dan yang dibenci. Jangan kami tinggalkan isterimu seorang diri kecuali di dalam rumah.” - (Hadis riwayat Abu Daud).

Mengelak daripada mengatakan perkara buruk terhadap isteri juga merupakan sebahagian daripada sikap baik yang perlu diamalkan oleh suami. Didapati ramai suami yang sering dan gemar mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri disebabkan sesuatu perkara yang tidak disenangi.

Perkataan buruk yang dikeluarkan terhadap isteri juga satu penderaan, iaitu penderaan mental. Isteri yang selalu diherdik, dihina dan dimarahi akan merasa tertekan dan mudah timbul perasaan takut untuk berdamping dengan suami.

Sesiapa yang mengamalkan sikap bengis dan suka menakut-nakutkan isteri dengan perkataan kasar akan terlepas daripada rahmat Allah dan menanggung kerugian di dunia dan akhirat.

Hadis riwayat Tarmizi bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”

Bagaimanapun, sikap suami yang baik selalu pula diambil kesempatan oleh isteri dengan menjadi ‘queen control’. Kesediaan suami membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah menyebabkan ada isteri yang duduk goyang kaki.

ATASI KRISIS RUMAH TANGGA DENGAN BIJAK

Asas kebahagiaan rumah tangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumah tangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat. 

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya merupakan punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Malang sekali, muda mudi sekarang lebih menurut kata hati dan nafsu dalam soal memilih pasangan hidup. Mereka hanya menyedari pasangan yang dipilih itu tidak serasi dan banyak menimbulkan masalah setelah hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Sesudah mendirikan rumah tangga, tiada pilihan lagi bagi suami maupun isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari telah tersalah membuat pilihan pasangan. 

Kesilapan dan kekurangan boleh diperbaiki jika suami bijak mengendalikan masalah yang timbul. Suami perlu meletakkan perjalanan hidup berumah tangga pada landasan yang ditetapkan agama.  Justeru, dalam hal ini amat penting suami mempunyai pengetahuan agama yang mendalam. 

Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Serentak dengan itu suami mulalah pula hendak berpoligami sebagai jalan mencari kebahagiaan dengan isteri lain.

Sikap tersebut mendedahkan kelemahan suami sendiri sebagai pemimpin rumah tangga. Kegagalan rumah tangga banyak bergantung kepada kelemahan suami, biarpun persengketaan bermula daripada sikap isteri. 

Suami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam memastikan kerukunan rumah tangga berterusan.    

Biasanya isteri tidak sempat bertindak keterlaluan jika suami berjaya meredakan apa jua masalah yang timbul. Suami perlu berkorban apa saja demi untuk memastikan masalah yang timbul dapat diatasi segera.

Bagaimanapun, pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri. Apa yang salah perlu diperbetulkan dengan berhemah.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang merasakan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini. 

Sikap terlalu banyak bersabar dan memandam rasa akhirnya menimbulkan konflik dalam jiwa isteri. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi. 

Sebab itu ada isteri yang menduakan suami. Mereka menjalin hubungan dengan lelaki lain yang dapat mendengar rintihan hati atau sesuatu yang tidak diperdulikan oleh suami. Lebih parah, hubungan itu melarat kepada zina.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Banyak isteri mengetepikan hak apabila dikuasai rasa cinta dan pengorbanan yang membabi buta. Ini memberi peluang suami mengeksplotsi dari isteri untuk kepentingan diri sendiri. 

Memandangkan sekarang ini banyak isteri mempunyai kerjaya yang baik, bahkan lebih baik berbanding suami, suami yang tidak bertanggungjawab menyerahkan tugas menyara keluarga ke bahu isteri. 

Malah, ada suami bertindak memeras wang isteri untuk kegunaan mendatangkan mudarat seperti berjudi, menagih dadah dan melanggan pelacur. Jika isteri enggan menyerahkan wang, padah buruk akan menimpa diri. Suami seperti ini lebih layak dipanggil perompak. 

TIDAK JATUH MARUAH SUAMI MENGAKU KELEMAHAN

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

Sekiranya suami masih berkeras tidak mahu mengaku kesalahan secara terang-terang, memadai ia diakui dalam hati. Perkara yang penting ialah tidak mengulangi kesalahan itu, sama ada ia diakui secara terbuka atau hanya di dalam hati.

Sebaliknya, jika nyata kesalahan itu berpunca daripada isteri, suami perlu memainkan peranan sebagai pemimpin. Tindakan yang perlu dilakukan mesti berhemah dan bijaksana. Pilihlah tempat dan masa yang sesuai.

Setiap masalah ada jalan penyelesainanya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertama ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat tersebut harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak merasakan seperti telah dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang tentang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang telah dilakukan.

Sebaliknya, jika setelah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan. 

Antara perkara yang dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukullah dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenarkan kekerasan dilakukan dalam rumah tangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri agar tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini telah dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Memang agak sukar mencari suasana di mana suami memukul isteri dalam keadaan tenang dan waras. Jika keadaan diri tidak dapat dikawal, eloklah para suami berusaha mengelak mengambil tindakan memukul isteri biarpun dibenarkan oleh Allah kerana takut suami tidak mampu melakukan seperti mana yang dikehendaki-Nya.

Jika mula dilakukan, ditakuti tindakan memukul isteri menjadi satu tabiat dan menjadikan isteri tempat melepaskan geram. Banyak isteri terpaksa menanggung derita akibat sikap panas baram suami, biarpun kesalahan yang dilakukan oleh isteri amat kecil sekali. Malah, ada isteri dipukul tanpa diketahui apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Para suami dinasihatkan agar mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumah tangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Saturday 21 July 2018

HAK ISTERI MEMBERI PENDAPAT DALAM SOAL RUMAHTANGGA

Isteri mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Rumahtangga diumpamakan seperti sebuah negara yang perlu ditadbir secara musyawarah. Segala perkara berkaitan keluarga dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga, terutamanya isteri yang menjadi pembantu.

Sebenarnya amalan bermusyawarah yang dilakukan bukan tanda kelemahan suami, sebaliknya tanda kematangan suami dalam pengurusan keluarga. Isteri akan lebih menghormati suami yang menunjukkan tanda hormat dan mengasihinya.

Sekiranya dalam musyawarah yang diadakan, punca masalah dalam keluarga datangnya daripada suami, maka mestilah suami bersedia mengakui kesalahan itu. Banyak berlaku suami tidak sanggup mengaku kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya menyalahkan isteri sengaja mencari kesalahan itu.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

Sekiranya suami masih berkeras tidak mahu mengaku kesalahan secara terang-terang, memadai ia diakui dalam hati. Perkara yang penting ialah tidak mengulangi kesalahan itu, sama ada ia diakui secara terbuka atau hanya di dalam hati.

Sebaliknya, jika nyata kesalahan itu berpunca daripada isteri, suami perlu memainkan peranan sebagai pemimpin. Tindakan yang perlu dilakukan mesti berhemah dan bijaksana. Setiap masalah ada jalan penyelesainanya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertaman ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat tersebut harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak merasakan seperti telah dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang tentang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang telah dilakukan.

Sebaliknya, jika setelah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan. Antara perkara yang dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukullah dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenrkan kekerasan dilakukan dalam rumahtangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri agar tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini telah dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Memang agak sukar mencari suasana di mana suami memukul isteri dalam keadaan tenang dan waras. Jika keadaan diri tidak dapat dikawal, eloklah para suami berusaha mengelak mengambil tindakan memukul isteri biarpun dibenarkan oleh Allah kerana takut suami tidak mampu melakukan seperti mana yang dikehendaki-Nya.

Jika mula dilakukan, ditakuti tindakan memukul isteri menjadi satu tabiat dan menjadikan isteri tempat melepaskan geram. Ramai isteri terpaksa menanggung derita akibat sikap panas baram suami, biarpun kesalahan yang dilakukan oleh isteri amat kecil sekali. Malah, ada isteri dipukul tanpa diketahui apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Para suami dinasihatkan agar mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Selagi boleh dilakukan jalan perdamaian, adalah wajib usaha ke arah itu dilakukan. Hakam atau jururunding dari kedua-dua pihak hendaklah dipilih bagi berbincang mencari jalan penyelesaian.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga wanita. Jika  kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” - (Surah an-Nisa, ayat 35).

Jika setelah segala usaha untuk mengekalkan hubungan rumahtangga dilakukan menemui jalan buntu, Islam membenarkan agar talak dijatuhkan. Ia dilakukan sebagai jalan terakhir demi untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumahtangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).