Tuesday 29 May 2018

GOLONGAN ASNAF LAYAK TERIMA ZAKAT

Zakat hendaklah dikeluarkan atau diserahkan kepada golongan yang telah ditetapkan. Terdapat lapan golongan layak menerima zakat atau dipanggil golongan asnaf. 

Golongan asnaf terdiri:

- Fakir - orang yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta atau pekerjaan namun tidak mampu mencukupi keperluan asasnya.

-  Miskin – orang yang mempunyai harta atau pekerjaan yang tidak mampu mencukupi keperluan diri dan orang ditanggung nafkahnya, tetapi mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada keperluan itu.

- Amil - orang-orang yang dilantik oleh pemerintah untuk menerima zakat bagi pihak kerajaan sebelum diagihkan kepada yang layak.

Syarat dilantik menjadi amil ialah, Islam, lelaki, merdeka, mukallaf, adil, boleh melihat, boleh mendengar dan memahami perkara berkaitan zakat.

- Muallaf - secara harfiyah, muallaf qulubuhum adalah orang-orang yang dipujuk hatinya. Sedangkan orang-orang yang termasuk muallaf dan berhak menerima zakat adalah:

1 - Orang yang baru masuk Islam dan Iman (niat) nya masih lemah

2 - Orang yang baru masuk Islam dan imannya sudah kuat, namun dia mempunyai kemuliaan dikalangan kaumnya. Dengan memberikan zakat kepadanya, diharapkan kaumnya yang masih kafir mau masuk Islam.

3 - Orang Islam yang melindungi kaum muslimin dari gangguan dan keburukan orang-orang kafir

4 - Orang Islam yang membela kepentingan kaum muslimin dari kaum muslim yang lain yang dari golongan anti zakat atau pemberontak dan orang-orang non Islam.

Semua orang yang tergolong muallaf di atas berhak menerima zakat dengan syarat Islam. Sedangkan memujuk non muslim dengan menggunakan harta zakat itu tidak boleh.

- Hamba – yang dijanjikan merdeka oleh tuannya apabila sudah membayar sebahagian jumlah tebusan yang ditentukan dengan cara ansuran.

- Orang berhutang

- Berjuang di jalan Allah - fisabilillah.

- Orang musafir.

Zakat yang dikeluarkan kepada golongan selain golongan asnaf adalah tidak sah. Ia dianggap sebagai sedekah. Jadi, untuk melunaskan hukum wajib zakat, maka hendaklah diberikan hanya kepada yang layak.

Saturday 26 May 2018

KEMUDAHAN DIBERIKAN APABILA DALAM KEADAAN DADURAT

Demi memberi kemudahan atau jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penganut Islam ketika darurat diberi kelonggaran melakukan perkara-perkara yang diharamkan pada kebiasannya. Hal ini perlu difahami dan diyakini dengan jelas perkara yang dikaitkan dengan darurat itu.  

Perkara ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Barangsiapa terpaksa melakukannya, sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 173).

Takrif darurat diukur kepada keperluan semasa ketika dihadapi. Sebagai contohnya, bagi menentukan darurat berkaitan ketiadaan sumber makanan bagi membolehkan memakan makanan yang haram dimakan pada kebiasannya, hendaklah ditentukan berkaitan kemampuan diri menahan dari lapar. 

Selagi diri mampu menahan lapar dan masih ada tenaga untuk menahan diri daripada perkara haram, maka wajib menangguhkan dahulu daripada memakan makanan haram itu. Setelah telah tidak dapat menahan lapar atau dikhuatri akan mendatangkan mudarat jika tidak makan, maka harus pada ketika dia makam makanan diharamkan pada kebiasannya, tetapi hendaklah sekadar hilang rasa lapar dan bukannya sehingga rasa kenyang.     

Ketika melakukan sesuatu pada masa darurat juga hendaklah ditetapkan di dalam hati bahawa perbuatan itu bukan perkara disukai dilakukan dan tidak pula dilakukan melebihi apa yang diperlukan memenuhi tuntutan darurat itu. 

Tidak boleh dianggap sesuatu perkara darurat jika dalam hal berkaitan mendapat kemewahan hidup, kesenangan, keuntungan atau pengabaian tanggungjawab yang sepatutnya boleh dilaksanakan.

Dengan kata lain, memilih perkara mudah bukan bermakna menggalakkan sikap malas, tidak berusaha bersungguh-sungguh atau mempermain-mainkan hukum agama. Apabila yang jelas tentang mudah dan sederhana dalam Islam ialah tidak memaksa melakukan perkara tidak mampu dilakukan dan mendatangkan mudarat jika dilaksanakan. 

Sesungguhnya Islam amat mementingkan kualiti dan kuantiti sekali gus. Sebab itu setiap perkara dilakukan mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sesiapa sengaja melakukan perkara dengan sambil lewa atau mencuri tulang amat dikutuk.

Allah memberi balasan terhadap manusia bergantung kepada apabila yang dilakukan.  Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan.” (Surah an-Najm, ayat 39).

Setiap orang hendaklah berusaha melakukan kebaikan dengan sesungguh hati dan perasaan yang tenang, ikhlas, jujur dan mengharapkan keredaan Allah. Sesuatu amalan yang dilakukan dengan niat mengharapkan keredaan Allah dan mendatangkan kebaikan adalah dikategorikan sebagai ibadat.

Oleh itu kita jangan menyukarkan keadaan dengan menokok tambah hukum tanpa melihat dan meneliti perkara yang sebenarnya. Sekiranya umat Islam ingin maju, dan itulah sebenarnya perintah Allah, setiap individu Muslim perlu mendalami dan memahami Islam dengan fikiran terbuka. 

Ajaran Islam sebenarnya mudah, tetapi ada individu yang meletakkan dalam keadaan sukar, maka sukarlah jadinya.