Monday 28 October 2019

BAHAYA MAKAN JERING

Jangan banyak makan jering kerana boleh menyebabkan pelbagai masalah. Jering dikelaskan sebagai racun sederhana kerana di dalamnya terkandung asid djenkolic dan asid amino yang menyebabkan keracunan jering.

Untuk mengurang kesan sampingan ini, pemakan jering dinasihat meminum air kosong dengan banyak bagi mengurangkan pengumpulan asid djengkolic dalam badan atau melawaskan kencing.

Jering juga dipanggil kenuak, jengkol atau ongkol. Jering sangat digemari oleh masyarakat Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Jering mengeluarkan bau agak busuk apabila dimakan, namun enak rasanya dan sangat digemari sama ada dimakan segar, direbus dan dimakan bersama kelapa parut, dijeruk atau dimasak.

Buah dan pucuknya berasa lemak-lemak pahit dan pedar. Sesiapa yang memakan buah jering akan mengeluarkan air kencing yang berbau hancing kuat.

Mengapa jering berbau busuk?, kandungan asid amino yang terdapat dalam biji jering mengandungi unsur sulfur yang mengeluarkan bau apabila terdegradasi atau terpecah menjadi kecil, asid amino akan menghasilkan gas H2S yang terkenal berbau.

Bau jering mungkin kurang disenangi oleh orang yang tidak memakannya tetapi bagi orang yang mengemari memakannya, baunya tidak menjadi masalah kerana rasanya yang enak.

Pokok jering mudah dibiakkan menggunakan semaian biji benih. Pokoknya sederhana besar setinggi 15-25 m, berkanopi bulat atau tiada bentuk.

Pokok jering akan berbuah setelah 4-6 tahun ditanam. Bunga berbentu dibahagian hujung dahan dan sesuai dipetik selepas warna bertukar coklat gelap dan berisi. 

Buahnya sederhana besar dengan kulit tebal, kulit perang keungguan gelap, terdapat jerutan kulit di antara biji-biji. Biji besar, kulit biji hijau ketika muda, bertukar coklat tua setelah tua.

Dari segi perubatan, biji jering mengandungi sejenis bahan alkaloid yang boleh merangsang pembuang air kencing, dan bagi pesakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan jika diambil berterusan dengan kadar yang sedikit.

Ini disebabkan kandungan sebatian alkaloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan. Jering juga boleh mengurangkan tekanan darah tinggi serta melawaskan pembuangan air kecil serta besar.

Biji jering mengandungi air, protein, karbohidrat, abu, lemak, gentian, asid jenkolik, serat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C, minyak (mengandungi belerang, alkaloid yang melawaskan buang air kecil). Manakala pucuk jering mengandungi karbohidrat, alkaloid, serat, air, mineral dan vitamin.

Thursday 24 October 2019

APA HUKUM KANAK-KANAK MENJADI IMAM SOLAT ORANG DEWASA

Apakah hukum kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh (umur lebih kurang 7 tahun) menjadi imam?

Para ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Ada ulama berpendapat ia adalah harus untuk sembahyang fardu dan sunat. Pendapat kedua ialah hanya harus untuk sembahyang sunat dan tidak bagi sembahyang fardu. Manakala pendapat ketiga ialah tidak sah untuk kedua-dua jenis sembahyang.

Pendapat pertama yang menghukum harus kanak-kanak yang sudah mumayyiz menjadi imam sama ada untuk solat fardu atau solat sunat. Ini adalah pendapat mazhab Syafie.

Ia berdasarkan dalil daripada Amru bin Salamah (yang berumur enam tahun) berkata “ Apabila kaumku balik daripada Nabi SAW, mereka berkata “Hendaklah menjadi imam orang yang paling membaca Quran di kalangan kamu.” Lalu mereka memanggilku dan mengajarku solat, lalu aku menjadi imam kepada mereka.”

Ini adalah hadis sahih riwayat Imam Bukhari (4302), Abu Daud (585) dan Nasaie (767). Imam Ibnu Hajar berkata dalam kitab Fathul Bari bahawa hadis ini menjadi hujah kepada ulama Syafie pada harusnya budak yang mumayyiz menjadi imam dalam solat fardu.

Ini bermakna kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dijadikan imam berjemaah.  

Imam Khatib al-Syarbini menyatakan: “Sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti mereka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)

Pendapat mengatakan kanak-kanak diharuskan menjadi imam pada solat sunat sahaja dan tidak boleh untuk solat fardu berdasarkan kepada hadis didiriwayatkan dari Ibnu Abbas: "Budak kecil tidak boleh menjadi imam sehinggalah dia baligh."

Pendapat ini berpegang dengan hadis ini dan menyatakan hadis Amru Salamah menjadi imam pada solat sunat.

Ibnu Hajar mengatakan ini adalah hadis yang lemah.

Manakala pendapat ketiga mengatakan tidak sah budak yang belum baligh menjadi imam. Ini pendapat mazhab Hanafi.

Dalil pendapat ini ialah hadis Ibnu Abbas menyatakan hadis Amru bin Salamah menjadi imam adalah semata-mata ijtihad sahabat dan tidak boleh jadi dalil.

Secara kesimpulannya, pendapat pertama yang mengatakan sah imam budak yang mumayyiz lebih kuat berdasarkan hadis Amru bin Salamah.

Friday 18 October 2019

MANFAAT KHASIAT KUNYIT


Kunyit digunakan dalam menu masakan rakyat Malaysia sebagai perisa dan pewarna. Kebaikan kunyit juga digunakan sebagai ramuan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Kunyit juga boleh dijadikan jus untuk mendapat khasiat secara langsung. Selain itu kunyit muda juga dimakan sebagai ulam. 

Kandungan vitamin dan mineral yang terdapat di dalam kunyit adalah sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang untuk keperluan manusia.

Kelebihan dan kebaikan kunyit:
- Agen antibakteria semula jadi, berguna dalam pembasmian luka dan kesan terbakar.
- Menghalang kanser payudara daripada merebak ke paru-paru.
- Mengurangkan risiko leukemia terhadap kanak-kanak.
- Boleh menghalang dan memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer. 
- Boleh mencegah daripada berlaku dalam pelbagai bentuk kanser yang berbeza.
- Anti-radang yang bekerja tanpa kesan sampingan.
- Boleh membantu dalam metabolisme lemak dan membantu dalam pengurusan berat badan.
- Menghentikan pertumbuhan saluran darah baru di dalam tumor barah.
- Sangat pantas dalam penyembuhan luka.
- Membantu dalam pembentukan semula kulit yang rosak.
- Boleh membantu dalam rawatan psoriasis.
- Merawat keadaan kulit radang.