Wednesday 20 November 2019

BACHOK BANDAR PELANCONGAN ISLAM


Bachok adalah salah satu jajahan (daerah) di Kelantan. Bachok bersempadan dengan jajahan Kota Bharu dan Pasir Puteh. Keluasan Bachok kira-kira 264 kilometer persegi.

Daerah-daerah yang terletak dalam jajahan Bachok adalah Bekelam, Gunong, Mahligai, Perupok, Melawi, Telong, Tanjung Pauh dan Tawang.

Bandar pentadbiran jajahan Bachok ialah Bachok yang menempatkan pejabat kerajaan persekutuan dan negeri serta badan berkanun.

Manakala urusan ekonomi dan pernigaan lebih tertumpu di pekan Jelawat.

Bandar Bachok terkenal dengan jolokan Bandar Pelancongan Islam. Pantai Irama terletak berhampiran bandar Bachok yang menjadi sebahagian kawasan bandar.

Pantai Irama memang sudah lama terkenal di Kelantan yang menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hari cuti. Kedudukan berhampiran bandar yang dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang baik menjadikan itu tumpuan ramai.

Sunday 10 November 2019

KHASIAT BELIMBING TANAH

Khasiat belimbing tanah dalam perubatan tradisional telah lama diamalkan. Nama lain bagi belimbing tanah ialah belimbing bukit, belimbing batu, janggut adam, janggut baung, kelamoyang air, sebiak, pelemah urat, keladi murai dan beberapa lagi.

Selalunya air rebusan akar tumbuhan ini lazim digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit seperti penyakit darah tinggi, buasir dan juga sebagai air mandian bagi perawatan wanita selepas bersalin iaitu untuk membuang angin dalam badan.

Di samping ini, air rebusan ubi dan akarnya yang dicampur dengan pokok selayar hitam (Goniothalamus malayanus) dikatakan berkhasiat bagi menguatkan buah pinggang.

Pelepah daunya pula boleh digunakan untuk merawat gatal-gatal pada kulit akibat terkena ulat bulu.

Pokok belimbing buluh jenis herba yang tumbuh tegak, mempunyai ubi dalam tanah, batangnya pendek dan lembut seakan pokokk belimbing tanah.

Daunnya jenis tunggal, bersaiz besar, pangkal daun bentuk bulat, lebar di bahagian tengah ke hujung, hujungnya tirus runcing, teksturnya tebal, licin dan lembut, lamina atasnya hijau berkilat, tangkai daun panjang, daun tersusun padat mengelilingi batang.

Jambak bunga bertangkai panjang, keluar tegak dari celah daun, bunga tersusun padat di hujung atasnya, bunganya besar berwarna ungu kehitaman, mempunyai struktur seperti benang panjang yang keluar terjuntai berwarna putih keungguan.

Buahnya besar bersegi seperti belimbing, buah muda berwarna hijau bertukar hitam apabila masak.  

Tumbuhan berumpun ini agak sukar ditemui namun ia biasanya didapati tumbuh liar di kawasan yang agak redup terutamanya di kebun getah, dikawasan lembap hutan tanah pamah dan lereng bukit. .

Daunnya lebar dan panjang berukuran kira-kira 15 inci panjangnya. Ia membiak melalui rizom dan pokoknya jika dilihat sekali imbas menyerupai pokok kunyit.

Tumbuhan ini didakwa berkhasiat dan sesuai untuk mengatasi masalah masaalah seperti darah tinggi, kencing manis dan juga mengurangkan bengkak.

Batang daun sesuai untuk merawat penyakit kulit dan bahagian  daun untuk kawalan masaalah darah tinggi, diabetes, bengkak dan benjolan.

Keseluruhan tanaman memang boleh digunakan untuk rawatan diabetes, masalah buah pinggang dan hypertension.  

Bahagian akar muda boleh mengatasi masalah gatal disebabkan ulat bulu (rash caused by caterpillar poison).

Jika kita hendak gunakan bahagian daun, maka ambil daun muda yang sesuai dibersihkan kemudian direbus. Air rebusan daun muda diminum sebagai tonik kesihatan untuk megubati darah tinggi dan kencing manis.

Cara lain adalah dengan daunnya yang lebar dilayur atas api supaya panas sedikit, kemudian digunakan sebagai pembalut atau dibuat tekap pada bahagian buku lali dan lutut yang sakit untuk menghilangkan bengkak urat dan sakit sendi.

Empulur pokok belimbing tanah bagi menggawal tekanan darah tinggi dan didakwa mampu untuk menambah baik fungsi seksual.  

Monday 4 November 2019

DAKWAH NABI PENUH RANJAU

Seruan dakwah Nabi Muhammad berdepan dengan penuh ranjau. Baginda berdepan cabaran masyarakat rosak akhlak dan peradabab. Masyarakat jahiliyah Makkah bukan sekadar menyembah berhala, tetapi mengamalkan cara hidup berpuak-puak, penindasan terhadap wanita, berwatak kasar, percaya perkara karut, membunuh anak dan suka berperang.

Kelahiran Rasulullah membawa sinar mengubah kehidupan masyarakat jahiliyah Makkah. Ketika usia remaja, Rasulullah mempamerkan pekerti amat mulia. Semua penduduk mengagumi dan menyanjung pekerti Rasulullah sehingga digelar al-Amin.  

Penduduk Makkah memberi penghormatan tertinggi apabila baginda diberikan tanggungjawab menyelesaikan pertikaian siapakah paling layak meletakkan kembali Hajarul Aswad di tempatnya. Penghormatan itu bermakna Rasulullah paling dipercayai, dihormati dan adil. Ketika itu baginda belum dilantik menjadi rasul.   

Bagaimanapun, selepas Nabi Muhammad mengajak kaumnya mentauhidkan Allah, perkara sebalik berlaku. Baginda mula dimusihi oleh orang yang sebelum itu amat sayang dan menghormatinya. 

Baginda bernasib baik mendapat kekuatan hasil sokongan isteri tersayang, Khadijah binti Khuwailid. Khadijah sentiasa mengiyakan dan menyokong setiap usaha Rasulullah. Malah, Khadijah bertanggungjawab menyakinkan bahawa baginda telah dilantik menjadi Rasul akhir zaman ketika mula menerima wahyu di Gua Hira.

Keyakinan Khadijah tentang kerasulan suaminya berdasarkan kepada apa diberitahu sepupunya, Warakah bin Naufal, ulama yang berpegang kepada kitab-kitab diturunkan kepada nabi terdahulu. Dalam kitab terdahulu ada menyebut tentang kelahiran ‘Muhammad” sebagai nabi terakhir. 

Rasulullah anak yatim piatu dan tidak mempunyai adik beradik. Baginda menumpang kasih bapa saudaranya Abu Talib sejak berusia enam tahun. Abu Talib memberi sumbangan paling besar ketika Islam mula disebarkan, biarpun dirinya sendiri tidak memeluk Islam.

Abu Talib mempunyai kedudukan baik di kalangan masyarakat Makkah. Jadi, apabila mengenangkan Rasulullah dilindungi dan mendapat sokongan Abu Talib, orang ramai tidak mampu bertindak sesuka hati terhadap baginda.

Musyrikin Makkah pernah berjumpa Abu Talib agar menasihatkan Rasulullah meninggalkan tugas menyebarkan agama tauhid. Namun, nasihat Abu Talib itu dijawab Rasulullah dengan keyakinan tidak berbelah bagi.

“Demi Allah!  Wahai bapa saudaraku. Sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah tangan kananku dan bulan di sebelah tangan kiriku supaya pekerjaan ini kutinggalkan, nescaya aku tidak meninggalkannya sehingga sampai ia dimenangkan Allah atau binasa aku sebelum itu.”

Jawapan diberikan Rasulullah memberikan keyakinan kepada Abu Talib bahawa tidak ada siapapun dapat menghalang atau mengubah niat baginda. Lantas, Abu Talib memberi sepenuh sokongan dan bersedia mempertahankan apa sahaja usaha dilakukan anak saudaranya.

Rasulullah berdepan laluan sukar apabila Abu Talib dan Khadijah meninggal dunia pada tahun kesembilan selepas diangkat menjadi rasul. 

Memikirkan ancaman semakin meningkat, Rasulullah mengambil keputusan meninggalkan Makkah menuju ke Taif agar dapat menyebar agama tauhid di sana, namun tidak berjaya. 

Rasulullah kembali ke Makkah dan meneruskan seruan biarpun berdepan dengan ancaman lebih gentir. Sesiapa memeluk Islam berdepan pelbagai penderitaan berbentuk penyiksaan sehingga ada meninggal dunia. 

Ketika penentangan memuncak di kalangan penduduk Makkah, terdapat penduduk dari Madinah hadir mengerjakan ibadat haji (berdasarkan amalan tradisi) di Kaabah menerima ajaran Islam dan memeluknya. Mereka mempelawa Rasulullah agar menyebarkan Islam di Madinah yang diyakini ramai akan memeluknya.

Setelah berhijrah ke Madinah dakwah islamiah berkembang dengan pesat. Kekuatan Islam bukan sekadar bertambah dari segi bilangan penganut, tetapi memperlihatkan kuasa yang berupaya menyaingi kuasa kabilah dan puak di sekeliling Madinah.

Pembukaan Makkah pada tahun kelapan Hijrah menjadi lambang kejayaan dakwah Islam. Masyarakat Arab lebih yakin menerima syiar Islam setelah kaum Quraisy yang dianggap paling berpengaruh di tanah Arab telah menerima Islam. 

Pada tahun kesepuluh Hijrah, hampir seluruh penduduk di tanah Arab berada di bawah panji-panji Islam.  Seruan dakwah berkembang pesat. Beberapa kuasa besar mula menerima pengaruh Islam, walaupun ada pada peringkat awal menolaknya.

Perluasan Islam dakwah bukan dilakukan dengan kekejaman atau menggunakan tipu muslihat. Rasulullah menghantar wakil secara baik kepada ketua kerajaan mengajak agar memeluk Islam atau membenarkan Islam disebarkan. 

Jika ketua kerajaan tidak mahu menganut Islam, dia bebas berbuat demikian, tetapi mesti membenarkan pendakwah Islam menyebarkan Islam di kalangan rakyat, agar rakyat sendiri menentukan sama ada ingin menerima atau menolaknya. 

Islam tidak memaksa sesiapa memeluk Islam kerana tiada paksaan dalam beragama. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” - (Surah al-Baqarah, ayat 256). 

Jika ketua kerajaan menolak kehadiran pendakwah Islam ke wilayah pemerintahannya, maka baru kaedah perluasan secara ketenteraan dilakukan. Namun, rakyat ditakluk tidak dipaksa menerima Islam. Kerajaan Islam hanya ingin hak kebebasan berdakwah dan bukan memaksa orang menerimanya.    

Friday 1 November 2019

BUKIT BULOH BRICKS KILANG BATA PRESS

Bukit Buloh Bricks adalah sebuah kilang bata press milik Bumiputera yang beroperasi di Jalan Kuari, Pulai Chondong, Kelantan.

Bukit Buloh Bricks membekalkan bata press yang berkualiti dan pelbagai bahan asas lain untuk membina rumah seperti bata tanah, simen, plywood, besi dan lain-lain.