Tuesday 31 December 2019

BELAJAR JAWI TIDAK MENJADI MUSLIM

"Saya sangat tidak bersetuju dgn pendapat yg mengatakan Jawi adalah senjata mengislamkan kaum2 lain. 

Saya bersekolah di sekolah rendah estet, masuk SM Kerajaan, dpt Sarjana Muda dan Sarjana juga menggunakan bahasa pengantar Bahasa Malaysia. Saya tidak juga jadi orang Melayu ttp masih lagi orang Cina. 

Waktu STPM, saya ambil subjek Tamadun Islam dan Sejarah Islam dan dpt Gred A. Saya tidak juga masuk Islam, tapi masih beragama Buddha. 

Selama saya berada di Malaysia nie, tidak pernah juga dipujuk ataupun dipaksa masuk Islam oleh kawan2, guru2 ataupun mana2 pihak.

Bagi saya Jawi hanyalah merupakan huruf Arab dengan tambahan 6 huruf yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. 

Kenapalah nak mempolitikkan Jawi?

Saya berasa hairan kenapakah time disuruh belajar Bahasa Melayu/Malaysia tiada bantahan. Tapi bila disuruh belajar tulisan Jawi,.bukan main byk bantahan.

Sebenarnya sesuatu Bahasa dan huruf/tulisan yg dipelajari seseorang itu tidak akan mengubah status bangsa atau agama seseorang bah.

Bila masa kamu nampak lepas seseorang itu belajar Bahasa Inggeris, terus dia jadi urang putih ataupun terus teruja nak masuk Kristian!

Begitu juga dgn Jawi. Lagipun sekarang hanya 3 mukasurat shj. Pada pendapat saya, nak dijadikan satu subjek pun tiada masalah. Apa salahnya kita mempelajari lebih huruf/tulisan?

Ilmu tu tiada batasannya bah.."

Kalau ada yg sudi mengajar saya Jawi, saya siap sedia mempelajarinya.

FB: Liew Wean Chee

Friday 20 December 2019

CINA KELANTAN GUNA NAMA MELAYU DALAM PERGAULAN


Cina Kelantan tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana dialek komunikasi percakapan harian mereka dalam loghat Kelantan di samping bahasa Hokkien. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan tidak menampakkan mereka sebenarnya kaum Cina kerana perkahwinan campur dengan keturunan Thai.

Cina Kelantan tidak pernah rasa terpinggir walaupun di sekeliling mereka adalah orang-orang Melayu beragama Islam.

Proses asimilasi kesenian dan kebudayaan tempatan mempengaruhi nama dan apa yang mereka suka. Orang kelantan lebih suka memanggil Mek kepada wanita Cina Kelantan dan mereka membahasakan diri mereka ambo.

Mereka mampu membaca dan menulis tulisan jawi yang sesetengah anak Melayu kelantan sendiri gagal memahirkan diri. Bagi Cina Peranakan yang mendapat pendidikan dalam aliran Melayu mereka menggalakkan anak-anak mereka mampu membaca jawi.

Bagi generasi terdahulu Cina Peranakan mereka tidak kekok memakai kain pelikat, kain sarung, kebaya dan serban serta memakan sireh. Bahasa Kelantan mereka pekat dan lancar. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.

Mereka suka budu dan ulam-ulaman sebagai makanan hidangan. Mereka juga makan nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang. Mereka suka tapai ubi dan ketupat.

Dari segi hiburan, mereka suka dikir barat, makyong, menora dan wayang kulit. Keterlibatan mereka bukan sekadar pengikut, bahkan ada menjadi 'pemimpin' persembahan seperti jadi tukang karut dikir dan dalang wayang kulit.

Orang Cina di Kelantan telah diasimilasikan dari segi nama-nama yang digunakan seperti Gan Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan, Che Midah, Mek Su dan nama-nama lain. Malah kalau berada di luar Kelantan, mereka lebih bangga dikenali sebagai Oghe Kelate.

Di kelantan, rata-rata kaum cina perempuan lebih selesa bersarung batik ketika berada di rumah. Namun terdapat juga golongan yang lebih berusia memakai sarung batik ketika menghadiri majlis-majlis keramaian.

Sekali pandang tiada banyak perbezaan dengan kaum Melayu kecuali baju yang berlengan pendek yang juga mempunyai identiti tersendiri. Pun begitu masih ada lagi golongan tua yang berkebaya pendek yang tentunya nampak manis sekali.

Berkemban dengan sarung batik selepas mandi bagi kaum wanita adalah pemandangan biasa bagi kami Cina Kampung. Bagi kaum lelaki berkain pelikat tanpa baju adalah 'pakaian rasmi' semasa berada di rumah.

'Semutar' ataupun kain lilit kepala merupakan eksesori yang biasa dipakai  oleh kaum lelaki semasa melakukan aktiviti harian seperti berkebun, menjaga lembu kambing dan sebagainya.

Dari segi cara makan dan makanan, orang Cina Kampung ini biasanya mengamalkan adat yang lebih kurang sama dengan orang Melayu di mana mereka tidak menggunakan sudu dan garpu semasa makan sebaliknya lebih suka terus menggunakan tangan ketika menjamu hidangan.

Kadang-kala terdapat juga keluarga yang akan bersela bersama keluarga di atas lantai dan makan seperti mana yang orang Melayu melakukan.

Kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak bermain di luar rumah pada waktu senja dengan mengadakan pelbagai mitos, antaranya hantu bagi menakutkan anak, turut menjadi amalan Cina Peranakan.

Mereka yakin kepercayaan itu bertujuan memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu berkenaan supaya semua anggota keluarga dapat makan malam bersama.

Ramai antara Cina Peranakan masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri.

Wednesday 18 December 2019

SAYUR PUCUK LABU

Pokok labu tumbuh melata dengan mengeluarkan sulur yang agak panjang. Pucuk labu boleh dimanfaat untuk dijadikan sayur atau ulam.

Khasiat utama daun pucuk labu iaitu bersifat antioksidan yang sangat baik bagi tubuh. Daun ini juga kaya akan protein, fosfor, kalsium, karbohidrat, zat besi, vitamin A dan vitamin C.

Tips  cara memilih daun pucuk labu:
- Pilihlah daun pucuk labu dengan sulur-sulur yang muda.
- Daun pucuk labu muda memiliki tekstur yang lembut bila dimasak.
- Pilih yang berwarna hijau muda.
- Daun labu mempunyak bulu. Jadi, kena gosok daun dahulu dengan kedua belah tangan untuk menghilangkannya.
- Cuci daun labu di bawah air mengalir untuk membuang bulu itu.

Pucuk labu sesuai dimasak lemak dicampur dengan keledek dan daun kunyit. Menu lain pun boleh mengikut citarasa masing-masing. Yang suka jadikan ulam pun boleh. Tetapi elok dicelur dahulu untuk melembutkan tekstur dan menghilangkan getahnya.

Ada suri rumah yang menanam labu semata-mata untuk mendapat pucuknya. Ini bermakna pucuk labu memang menjadi pilihan penggemarnya.

Friday 13 December 2019

SEJARAH BALAI POLIS GUA MUSANG DISERANG KOMUNIS

Dalam catatan sejarah, jika disorot mengenai balai polis diserang pengganas komunis, maka tergambar mengenai sejarah serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950. Serangan pengganas komunis itu telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP).

Sebenarnya, kes serangan pengganas komunis terhadap balai polis berlaku di seluruh negara. Namun, kes serangan balai polis di tempat lain tidak mendapat liputan sejarah sama seperti apa yang berlaku di Bukit Kepong disebabkan sekala korban yang tidak besar.

Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman pengganas komunis ialah Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baharu didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.

Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang balai berkenaan.

Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.

Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban.

Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.

Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.

Sunday 1 December 2019

HUBUNGAN SEKS SONGSANG PUNCA PENULARAN AIDS


Hubungan seks songsang sesama jantina menjadi antara penyebab utama penularan wabak Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS).

Aktiviti tidak sihat kaum lelaki yang melakukan hubungan seks sesama mereka memberikan kesan buruk dalam institusi keluarga dan masyarakat ketika ini.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bermula tahun 1986 hingga Disember 2018 terdapat seramai 12, 737 penghidap AIDS dalam negara ini.

Jangkitan kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV) pada tahun 2018 mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 48 peratus dalam kalangan belia dan remaja yang berusia 20 hingga 39 tahun.

Transmisi jangkitan HIV melalui hubungan seksual yang melampaui batasan penyebab utama penularan wabak berbahaya dan meruntuhkan akhlak institusi masyarakat kita.

Hubungan kekeluargaan yang erat dengan mengutamakan ajaran agama kukuh mampu mengatasi masalah yang rancak berlaku ini.

Ibu bapa perlu kenal anak masing-masing. Hubungan seks kaum lelaki sama jenis, musuh kita dalam senyap mengundang padah sekiranya tidak dibendung lebih awal.