Wednesday 29 January 2020

LIHAT KELEMAHAN DIRI DAHULU


Kita terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah. 

Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampAu diubah.

Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri.

Wednesday 22 January 2020

RASAI SUASANA ALAM SEMULAJADI DI KRAI PARK AND TRAINING CENTER


Krai Park And Training Centre merupakan sebuah pusat bina insan dan reakreasi di Kuala Krai, Kelantan. Berasaskan agro-tourism, team Krai Park And Training Centre lebih mementingkan aktiviti bertemakan keindahan alam dan budaya setempat tanpa meninggalkan unsur-unsur pemantapan sahsiah dan jati diri peserta yang datang.

Pelbagai kemudahan asas disediakan termasuk dewan berhawa dingin, dewan penginapan, bilik penginapan berhawa dingin, kolam mandi, halaman dan dataran untuk aktiviti outdoor dan dapur.

Krai Park And Training Centre juga merupakan sebuah kem yang menawarkan harga perkhidmatan terbaik. Disediakan fasilitator dan trainer yang terlatih dan mahir dalam bidang masing-masing.

Terletak di Taman Permata Rimba, Jalan Sungai Mas, Kampung Enggong, Kuala Krai. Penggunjung perlu melalui simpang tiga di Sungai Durian.

Friday 17 January 2020

DAPAT PAHALA BERTERUSAN HASIL MENANAM POKOK

Kalau ada tanah kosong atau masih belum diisi dengan apa-apa, elok jika ditanam dengan pokok kelapa atau pokok buah-buahan. Berbudi kepada tanah tentu ada hasilnya.

Memang kalau setakat tanam tiga empat pokok tidak boleh jadi kaya pun. Eh... memang bukan hendak menjadi kaya pun. Kalau hendak kaya kena tanam beri-ribu pokok. Itu sudah dikira ladang kelapa.

Tanam tiga empat pokok sekadar memanfaatkan tanah kosong. Pokok kelapa dan pokok buah-buahan tidak perlu penjagaan rapi. Pada permulaan perlulah siram dengan air. Masa seterusnya ia akan membesar tanpa pengawasan. Kalau hendak cepat membesar, kenalah bubuh baja yang sesuai dengannya.

Pokok terus membesar dan apabila tiba masanya kita mungkin tidak sedar ia sudah berbuah. Itulah dinamakan hasil menanam. Rezeki yang kecil ini sebenarnya cukup bermakna. Hasil dari usaha sendiri.

Pokok kelapa dan sebagainya akan mengeluarkan hasil untuk tempoh masa yang lama. Berbuah dan terus berbuah. Sekali tanam tetapi hasilnya berterusan. 

Pokok kelapa boleh mengeluarkan hasil sehingga berpuluh-puluh tahun secara berterusan. Maka berpuluh-puluh tahunlah si penanamnya mendapat pahala. Ia juga boleh dianggap sedekah kepada orang lain apabila kita meninggal dunia. Pahalanya berkekalan selagi pokok itu mengeluarkan buah dan terus dimanfaatkan oleh orang lain. 

Jangan biarkan tanah tanpa ditanam dengan apa-apa yang boleh memberikan hasil. Setiap pokok yang ditanam memberikan pahala. Kalau kita tidak makan buahnya, jika dimakan binatang pun dikira sedekah yang memberi pahala.

Gunakan sedikit tenaga dan mungkin sejumlah kecil wang untuk mendapatkan benih dan baja sebagai satu usaha menanam. Jadikan menanam sebagai satu hobi.

Wednesday 8 January 2020

BUNGA SEROJA LAMBANG SUCI AGAMA BUDDHA


Bunga seroja (Nelumbo nucifera Gaertn.) satu nama yang terkenal di negara kita. Malah ada satu nama lagu terkenal menggunakan perkataan 'seroja'.

Namun, benarkah rakyat kita benar-benar kenal bunga seroja? Kalaupun mengaku kenal bunga seroja, mereka keliru dengan teratai.

Bunga seroja tak terapung di atas air. Biasanya bunga seroja letaknya di  atas  tangkai yang agak panjang menjulang ke atas permukaan air.

Manakala teratai, bunga terapung dan mekar di atas permukaan air. 

Bunga seroja merupakan tanaman air mempunyai akar pada tanah dalam kolam dan daunnya di permukaan air serta bunganya di atas air yang terang dengan pelbagai bentuk, corak, warna dan keunikan tersendiri.

Bunganya berwarna menarik yang terang berwarna putih bersih, kuning atau merah jambu dengan ukuran diameter bunga sekitar 20 cm.

Bunga seroja atau lotus dalam bahasa Inggeris memang sangat cantik. Bungai ini dijadikan lambang suci dalam agama Buddha dan Hindu.

Di negara banyak penganut agama Buddha seperti Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos, China dan Kamboja, bunga seroja ditanam di lokasi strategik dan dihormati.

Terdapat kepercayaan yang bunga seroja tumbuh di atas tapak kaki Gauthama Buddha sehinggakan ia dikatakan bunga yang suci.

Sebahagian besar varieti seroja adalah daripada India sehingga menjadi lambang negara tersebut. Bunga seroja juga bunga kebangsaan negara Vietnam.

Di China bunga seroja yang tumbuh di atas lumpur dan permukaan air serta menghasilkan bunga yang amat cantik dan digunakan untuk nama-nama perempuan dalam masyarakat mereka.

Sunday 5 January 2020

PELBAGAI KEGUNAAN KAIN PELEKAT

Melihat gambar ini tentu ramai menyangka tulisan akan dihidangkan atau memperkatakan mengenai buah tersebut. Oh tidak... tulisan itu tiada kaitan dengan buah itu. Penulis sendiri tidak pasti jenis buah tersebut. Mungkin mempelam atau pauh, kuini dan mungkin juga buah bacang.

Tulisan ini membincangkan kegunaan kain pelekat (biasanya dieja pelikat) atau kain sarung. Kita sedia maklum kegunaan kain pelekat adalah untuk menutup aurat. Biasanya dipakai ketika menunaikan sembahayang dan ketika santai berada di rumah.

Sebenarnya kain pelekat juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Kain pelekat dihampar untuk dijadikan alas duduk, menutup sesuatu dan juga anduh untuk mengampu bahagian tangan yang patah atau bahu terkehel.

Satu lagi kegunaan kain pelekat ialah untuk dijadikan 'guni' atau bekas membawa barang, termasuk buah. Pada masa dahulu, kalau pergi mengembara, kain pelekat sering dijadikan pembungkus atau guni.

Sekarang pun, ramai yang menggunakan kain pelekat untuk dimasukkan sesuatu. Kalau pulang ke kampung atau pergi sesuatu tempat, pakaian yang telah diguna dan tidak sempat dibasuh, akan dimasukkan ke dalam kain pelekat supaya tidak bercampur dengan pakaian yang belum digunakan.

Untuk menjadi kain pelekat sebagai 'guni', satu bahagian akan diikat menggunakan tali atau dibuat simpulan. Cukup mudah.

Cara lain kain pelekat boleh digunakan membawa barang ialah dengan membuat hamparan dan kemudian diletakkan barang. Lepas itu ikat dua bucu atau keempat-empat bucu mengikut yang sepatutnya.

Selamat mencuba dan memanfaatkan kain pelekat atau kain sarung.