Monday 20 July 2020

SIFAT BERMUKA-MUKA PENYEBAB PERPECAHAN

Islam itu agama yang sesuai dengan nilai- nilai kemanusiaan sejagat. Rasulullah SAW berpesan supaya diutamakan persaudaraan sesama kita dengan berbuat amalan yang cukup mudah seperti mengucapkan salam dan memberi orang makan, dan amalan yang tersembunyi seperti solat di dalam kegelapan malam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai manusia, sebarkan salam, berilah makan dan dirikan solat di malam hari di waktu manusia sedang semuanya tidur, nescaya engkau akan memasuki syurga dengan sejahtera.“

Malang sekali, lebih banyak orang lebih suka melakukan perkara yang ditegah. Salah satu penyakit yang melanda masyarakat dalam negara pada hari ini adalah sifat bermuka-muka.

Sifat bermuka-muka atau lebih tepat disebut talam dua muka ini terjadi apabila wujudnya perasaan hasad dengki yang menebal di dalam diri. 

Orang yang bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan mengatakan perkataan atau sikap yang berbeda dengan apa yang disimpan dalam hatinya.

Sikap bermuka-muka ini adalah suatu sikap yang sangat buruk di sisi agama dan moral. Hal ini kerana Islam tidak mengajar umatnya untuk saling berhasad dengi dan menjadi ‘batu api’ dalam kalangan masyarakat hingga menyebabkan perpecahan di kalangan mereka.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya daripada seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang bermuka dua.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini sudah cukup menggambarkan bahawa Allah sangat membenci para hambaNya menjadi seorang yang bermuka-muka untuk tujuan kepentingan diri.

Ini kerana amalan sebegini akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam dan seterusnya membolehkan pihak musuh mencari jalan untuk menghancurkan lagi ikatan kepercayaan manusia terhadap agama ini.

Bagi seorang Muslim, tidak berburuk sangka terhadap saudara seagama dan berusaha menutup kelemahan orang lain kerana mereka menutup keaiban orang lain ketika di dunia, Allah SWT akan menutup keaibannya pada hari kiamat.

Sikap talam dua muka bukan kecil kesannya. Ia boleh menyebabkan putus sahabat, pergaduhan adik beradik dan keluarga, sengketa dalam masyarakat dan lebih buruk lagi membawa kepada kejatuhan satu kerajaan.

Berita yang didengar tidak perlu dihebahkan kepada orang lain kerana ia mungkin mencetuskan permusuhan antara saudara seagama. Janganlah kita terlalu cepat menghukum disebabkan berita yang kita dengar.

Oleh itu, jalan selamat ialah bersikap mendiamkan diri dan jangan mudah menerima berita yang didengar serta menyebarkannya. Marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan ke jalan yang diredai Allah SWT.

Friday 3 July 2020

KITA SELALU MELAKUKAN DOSA

Kita adalah manusia pendosa. Banyak melakukan dosa sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Dosa tetap dosa sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Sesiapa melakukan dosa akan diampun atau dihapuskan dosa itu jika kita bertaubat. Jadi, bermohon keampunan kepada Allah sepanjang masa.

Jika Rasulullah SAW yang bebas atau tidak melakukan dosa sentiasa bertaubat sehingga 100 kali sehari, mengapa kita yang banyak dosa tidak mahu bertaubat?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ”Hai sekalian manusia! Taubatlah kalian kepada Allah dan mintalah ampun kepadaNya, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali”

Tidak ada khilaf (perbedaan pendapat) di antara ulama tentang wajibnya taubat. Bahkan taubat adalah fardu ain yang harus dilakukan oleh setiap muslim dan muslimah.

Ibnu Qudamah Al Maqdisi (wafat 689 H.) berkata: ”Para ulama telah ijma tentang wajibnya taubat, kerana sesungguhnya dosa-dosa membinasakan manusia dan menjauhkan manusia dari Allah. Maka, wajib segera bertaubat.”

Allah SWT memerintahkan kita untuk bertaubat, dan perintah ini merupakan perintah wajib yang harus segera dilaksanakan sebelum ajal tiba.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung. (Surah An Nur, ayat 31).

Dalam firman lain pula bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang benar (ikhlas) …” (Surah At Tahrim, ayat 8).

Manakala dalam surah Hud ayat 3 pula firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Rabb-mu dan bertaubat kepadaNya, (jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu, hingga pada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sungguh aku takut, kamu akan ditimpa siksa hari Kiamat. (Surah Hud: 3).

Sesungguhnya taubat wajib dilakukan dengan segera, tidak boleh ditunda. Imam Ibnul Qayyim berkata: ”Sesungguhnya segera bertaubat kepada Allah dari perbuatan dosa hukumnya adalah wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh ditunda.”

Imam An Nawawi berkata: ”Para ulama telah sepakat, bahawa bertaubat dari seluruh perbuatan maksiat adalah wajib; wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh ditunda, apakah itu dosa kecil atau dosa besar.”