Monday 7 June 2021

BUKAN KESALAHAN TIDAK KEMAS KINI MYSEJAHTERA

Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan menjadi kesalahan seperti yang disalah anggap sesetengah pihak, tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia, tidak menyatakan ia sebagai satu kesalahan yang boleh dikompaun oleh penguat kuasa.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap dan menyarankan pihak berkuasa untuk membatalkan mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas 'kesalahan' terbabit.

"Saya berharap dan menyarankan kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

"Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun bukan kesalahan namun rakyat perlu berintegriti dan mempunyai tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Justeru, katanya, penting untuk melakukan kemas kini setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan dan aktiviti.

Menurutnya, rakyat juga perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri untuk memastikan setiap maklumat diberikan tepat termasuk sekiranya mendapat gejala atau kontak rapat kes positif Covid-19.

"Aplikasi ini adalah untuk memudahkan kita khususnya dalam keutamaan memastikan keselamatan sosial untuk kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat, kontak kasual dan sebagainya dapat ditangani dengan segera.

"Segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik dan saya juga mohon pemahaman daripada semua pihak agar kita sama-sama berusaha untuk mengekang penularan Covid-19," katanya.

Penjelasan Ismail Sabri itu merungkai salah faham yang berlaku di kalangan penguatkuasa sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan ada individu dikompaun RM2000 atas ‘kesalahan’ gagal kemaskini aplikasi MySejahtera. Ia kemudian tular di media maya.

No comments:

Post a Comment