Thursday, 30 September 2021

PASAR NELAYAN PULAU GAJAH BEKAL IKAN SEGAR

 
Program Pasar Nelayan (PPN) memberikan peluang kepada nelayan untuk memasarkan hasil tangkapan mereka secara terus kepada pengguna.

Secara tidak langsung, Pasar Nelayan ini dapat memendekkan rantaian pemasaran dan nelayan memperolehi margin pulangan harga yang lebih baik dan menguntungkan manakala pengguna pula mendapat bekalan ikan segar pada harga yang berpatutan.

Antara PPN ialah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pulau Gajah, Pengkalan Chepa.

Kompleks ini lokasinya di muara Sungai Pengkalan Datu. Kedudukannya tidak jauh dari Masjid Ar Rahman yang terkenal dengan seni ukir kayu. Ia juga tidak jauh dari Pantai Nusuk yang cukup terkenal.

Jadi, gabungan ketiga-tiga lokasi itu menjadikan ia saling memberi manfaat. Pengunjung ke Pantai Nusuk mahupun ke Masjid Ar Rahman dapat berkunjung ke PPN Pulau Gajah untuk mendapatkan bekalan ikan segar dan lebih murah.

PPN Pulau Gajah beroperasi dari pukul 1 tengah hari sehingga bekalan ikan habis. Biasanya ia tamat kira-kira pukul 4 petang.

Untuk sampai ke PPN Pulau Gajah tidak sukar kerana ada tanda pandu arah bermula dari Pengkalan Tok Kasim.  

No comments:

Post a Comment