Tuesday, 5 October 2021

WANITA KELANTAN GIGIH BERNIAGA

 
Wanita Kelantan terkenal gigih berusaha mencari rezeki. Kira-kira 90 peratus peniaga di pusat perniagaan di Kota Bharu dan bandar-bandar lain di Kelantan adalah wanita.

Satu perkara yang menarik di kalangan peniaga wanita di Kelantan ialah melibatkan pelbagai lapisan usia. Banyak kanak-kanak perempuan bawah usia 10 tahun sudah dilatih membantu ibu menjalankan perniagaan di gerai. 

Setelah meningkat dewasa, banyak pula terus menjadikan bidang perniagaan sebagai satu kerjaya. 

Sebab itu bukan satu pemandangan luar biasa apabila gadis belasan tahun yang baru menamatkan persekolahan telah mahir menguruskan perniagaan sendiri. Mereka tidak kekok untuk melayan pelanggan dan pandai berkomunikasi menarik perhatian pelanggan.

Manakala terdapat juga di kalangan wanita yang sudah lanjut usia masih terus berniaga. Di pasar besar dan juga di pasar sehari banyak peniaga wanita yang sudah berusia melebihi usia 60 tahun masih lagi aktif berniaga. Bahkan, ada yang sudah melepasi usia 70 tahun.

Mereka sudah mula berniaga sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan masih lagi gigih mencari rezeki. Ini bukan soal tidak cukup makan. Sebaliknya, aktiviti yang telah sebati dalam diri itu sukar untuk dipisahkan lagi. 

Hasil berniaga itu telah membolehkan wanita Kelantan memiliki harta selayaknya dengan usaha yang dilakukan. 

Mereka berjaya membesarkan anak hasil titik peluh berniaga. Anak yang telah berjaya dalam hidup, setengahnya mengikut jejak mereka, mampu menyara hidup ibu bapa mereka. 

Bagi peniaga wanita Kelantan mereka tidak mengenal erti bersara daripada terus berniaga. Mereka tidak betah duduk di rumah. Selagi terdaya, mereka terus berniaga biarpun barang diniagakan tidak sebanyak dahulu. 

Kalaupun tidak berniaga setiap hari, banyak wanita Kelantan hanya berniaga pada hari tertentu seperti di pasar minggu dan pasar sehari. Ini memberi peluang untuk mereka berjumpa dengan rakan-rakan yang sejak lama dahulu bersama-sama berniaga.

Sebab itu, di pasar sehari ada peniaga wanita yang sudah lanjut usia hanya membawa beberapa ikat ulam atau sayur-sayuran yang ditanam sendiri. 

Atau, mereka hanya membawa beberapa jantung pisang dan selonggok kunyit untuk dijual. Ada juga membawa tapai ubi kayu dan tapai beras yang dibuat sendiri beberapa hari sebelum itu.   

Semua itu dilakukan bukan tuntutan kewangan semata-mata. Untung lima enam ringgit telah dirasai memadai untuk melepas gian berniaga. Mereka berasa puas dapat terus berniaga biarpun sekadar sekali seminggu dan untungnya sekadar dapat membeli sekilo ikan.

Sikap demikian membuktikan betapa peranan besar disumbang wanita Kelantan untuk kebaikan keluarga, masyarakat dan negara.  

Sekarang ini banyak wanita Kelantan bukan sahaja berniaga secara kecil-kecilan, tetapi telah menjadi usahawan berjaya.

No comments:

Post a Comment