Thursday, 21 July 2022

SULTAN MUHAMMAD IV RAJA KELANTAN (1897 - 1920)

 
Sultan Muhammad IV ibni Sultan Muhammad III telah dilantik sebagai Raja Kelantan pada tahun 1897 semasa pemerintahan Sultan Ahmad. Nama asal Sultan Muhammad IV ialah Tuan Long Senik. Manakala nama asal Sultan Muhammad III ialah Long Kundur. Jadi, nama asal Sultan Muhammad IV ialah Long Senik bin Long Kundur.

Baginda diputerakan pada 23 Mei 1870 oleh bondanya, Tengku Ampuan Kelantan Tengku Sofia binti Raja Long Putih Pattani. Baginda dilantik menjadi Tengku Sri Indra Mahkota pada tahun 1890 dan seterusnya ke jawatan Raja Muda Kelantan pada 25 Julai 1898 oleh ayahanda saudaranya, Sultan Mansur.

Sultan Muhammad IV telah menaiki takhta pada tahun 1899 tetapi hanya mula memakai gelaran Sultan, pada tahun 1911, setelah menandatangani perjanjian dengan British untuk mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kelantan dengan syarat baginda menerima Penasihat British.

Baginda memerintah sehingga tahun 1920 (mangkat) dan digantikan olah Sultan Ismail Ibnu Sultan Muhammad IV.

Dalam zaman pemerintahan baginda, Kelantan mencapai kemajuan yang pesat dalam bidang rohani dan jasmani yang menuju ke arah permodenan, dengan sistem pemerintahan yang lebih demokrasi, kemas dan teratur dengan pembukaan pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah yang menjadi asas yang kukuh untuk Kelantan berkembang maju pada zaman-zaman berikutnya.

Semasa pemerintahan baginda, pertikaian dalaman berkaitan pewaris takhta dan jawatan dalam kerajaan yang berlarutan sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad III telah berjaya ditangani melalui beberapa langkah yang diambil baginda.

Baginda telah menyusun semula Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Anggota majlis mesyuarat itu terdiri daripada raja sebagai pengerusi dan kerabat diraja dan orang-orang berpengaruh.

Pertikaian dalaman yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III dan Sultan Mansur telah memberi ruang pada Kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan. 

Langkah Tuan Long Senik yang meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur meningkatkan lagi pengaruh Siam. Siam telah membantu Tuan Long Senik dengan menghantar seorang pesuruhjaya, sebuah kapal perang dan askar ke Kota Bhsru. 

Selain Siam, pihak British juga berusaha untuk meluaskan pengaruh di Kelantan dengan campur tangan di dalam peralihan kuasa Sultan sejak kemangkatan Sultan Ahmad. 

Walaubagaimanapun, usaha tersebut dilakukan secara halus kerana British masih terikat dengan Perjanjian Burney 1826 yang ditandatangani dengan Siam.

Pada tahun 1902, Siam dan British telah menandatangani perjanjian baharu yang dikenali sebagai Perjanjian Siam-British 1902. Berikutan perjanjian ini, Kelantan telah dipaksa untuk mendatangani Perjanjian Siam-Kelantan 1902 yang membolehkan Siam melantik seorang penasihat berbangsa British di Kelantan.

Pada 25 Julai 1903, W. A. Graham, Penasihat Siam untuk kerajaan Kelantan, H W Thomson, Penolong Penasihat dan Mom Chao Charoon, Timbalan Pesuruhjaya Monthon Nakorn Sri Tammarat, tiba di Kelantan bagi menandakan bermulanya sistem penasihat.

Semasa Zaman Penasihat Siam (1903-1909)
- 1904: Pasukan polis Kelantan dibesarkan dengan anggota berjumlah kira-kira 200 orang yang separuh daripadanya dilengkapi dengan senjata moden iaitu rifel. Mereka ditempatkan di Balai Polis Pusat di Kota Bahru dan 5 balai kecil.
- 1904: Sebuah bangunan sekolah Melayu telah dibina di Padang Bank (Padang Merdeka), Kota Bharu. Ianya dikendalikan oleh Datuk Mohd Ghazali bin Mohd Ariffin yang kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Pertama Kelantan (1922-1930).
- 1905: Beberapa buah bangunan mahkamah telah ditubuhkan di Kota Bharu, iaitu Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Balai bertempat di Istana Balai Besar. Mahkamah Tengah dan Rendah di MAIK, Kelantan di Jalan Sultan dan sebuah Mahkamah Rendah telah didirikan di Batu Mengkebang, Ulu Kelantan.
- 1906: Kerajaan Negeri Kelantan dengan persetujuan Sultan Muhammad IV telah mengeluarkan wang pitis sendiri untuk kegunaan orang ramai. Pitis ini diperbuat daripada timah berbentuk bulat berkeping dan berlubang, bernilai 5 keping bersamaan 1 sen.
- 1907: Sebuah pasar telah dibina di kawasan Jalan Post Office Lama (sekitar Hotel Diamond Puteri) di tepi Sungai Kelantan. Pasar ini telah dirobohkan pada tahun 1930-an setelah pasar baru di Jalan Temenggong dan Dato Pati dibina.

Semasa Zaman Penasihat British (1909-1920)
- 1909: Akibat Perjanjian British dan Siam tahun 1909, sempadan Kelantan dianjakkan dari Bukit Menara ke Sungai Golok. Akibatnya Sungai Padi dan Tabal diserah kepada Siam manakala Jeli iaitu bekas jajahan kerajaan Legeh diserah kepada Kelantan.
- 16 Julai 1910: Kerajaan Kelantan telah siap membina sebuah Jambatan merentangi Sungai Keladi menghubungkan Bandar Kota Bharu dengan kawasan-kawasan tepi pantai dikenali dengan Gertak Mason mengambil sempena nama Penasihat British.
- 1913: Jalan Kereta api menghubungkan Tumpat dengan Bukit Remah di Tanah Merah, Kelantan siap dibina. Pembinaan jalan kereta api ini adalah hasil rundingan Sultan Muhammad Ke IV dengan Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu
- 1914: Sebuah jalan kereta api dari Tumpat ke Thailand telah dibina.
- 24 Disember 1915: Sultan Muhammad IV telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, sebuah institusi keagamaan yang tertua di negara ini. Tujuan utamanya ditubuhkan ialah untuk mengembangkan syiar Islam dengan lebih teratur.
- Julai 1916: Sultan Muhammad IV telah bersetuju dan berkenan menggunakan gelaran Darulnaim untuk negeri Kelantan dengan sebutan Kelantan Darulnaim.

No comments:

Post a Comment