Thursday, 5 October 2023

JIN DICIPTA UNTUK MELAKUKAN IBADAT

 
Sejumlah ulama berpendapat manusia dan jin terikat dengan hukum taklif (perintah mematuhi kewajipan dan meninggalkan larangan). Oleh kerana itu, jin pun berkewajipan menjalankan segala perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah serta beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zaariyaat, ayat 56).
 
Ini bermakna, manusia dan jin yang beribadah kepada Allah SWT akan mendapatkan balasan pahala daripada Allah SWT dan yang mengerjakan larangan-Nya juga akan mendapatkan balasan yang setimpal.
 
Dalam surah ar-Rahman ada sejumlah pernyataan Allah SWT yang berulang kali mengenai kalimah ‘kamu berdua mendustakan’ (tukazziban). Yang dimaksudkan di sini ialah jin dan manusia.
 
Oleh itu, dari manakah mereka mengetahui semua perintah itu, dan bagaimana mereka mentaatinya? Adakah dalam kalangan jin juga mempunyai rasul? Namun, al-Quran menyebutkan jin dan manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT.
 
Di dalam al-Quran disebutkan setiap umat atau zaman ada seorang rasul diutus kepada mereka untuk menyeru serta mengajak manusia pada jalan kebenaran.
 
Firman Allah bermaksud: “Setiap umat mempunyai rasul. Apabila datang rasul mereka, diberikan keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak dianiaya.” (Surah Yunus, ayat 47).
 
Menurut sebahagian pendapat ulama, tidak ada jin diutus menjadi nabi dan rasul. Nabi dan rasul hanya berasal daripada golongan manusia. Setiap nabi dan rasul itu berkewajipan menyampaikan seruannya kepada umat manusia dan golongan jin.
 
Justeru, ada jin beriman dan ada pula tidak beriman. Yang beriman disebut sebagai jin Islam manakala yang ingkar atau jahat berasal daripada golongan jin kafir.
 
Al-Quran memberitahu bahawa Allah SWT menghadapkan serombongan jin kepada Nabi Muhammad SAW untuk mendengarkan bacaan al-Quran. Mereka mendengarnya dengan penuh tekun. Apabila pembacaan selesai, mereka kembali kepada kaumnya untuk memberi peringatan.
Rombongan jin ini mengatakan kepada kaumnya bahawa mereka mendengar al-Quran, kitab yang diturunkan selepas Nabi Musa yang membenarkan kitab sebelumnya (rujuk surah al-Ahqaf, ayat 29-32).

Ibnu Masud menyatakan, dirinya ikut menyaksikan malam turunnya ayat jin ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Aku didatangi pendakwah dalam kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya, dan aku bacakan al-Quran kepada mereka. Peristiwa itu terjadi di Masjid Jin, Makkah, dekat kawasan makam Mala sekarang ini.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment