Tuesday 13 February 2024

Cadangan Kampung Baru Cina Tapak Warisan Dunia

 
UMNO berpendirian bahawa tiada keperluan untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti yang dicadangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

UMNO dalam kenyataan melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut. Asyraf menegaskan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Sementara itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA berkata tidak ada keperluan untuk mewujudkan Kampung Baru (Cina) sebagai tapak UNESCO.

Turut senada menentang cadangan tersebut ialah Ketua Pemudanya, Muhamad Akmal Saleh. Beliau menegaskan “tidak apa yang perlu dibincangkan lagi” apabila Kor Ming mengajak pemimpin UMNO berbincang berkaitan cadangan tersebut.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Bagaimanapun, ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang mendakwa cadangan berkenaan boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Di Malaysia mempunyai sekitar 15,000 Kampung Tradisi Melayu dan 613 Kampung Baru Cina. Sepatutnya yang dicadangkan menjadi Tapak Warisan Dunia adalah Kampung Tradisi Melayu yang penuh keunikan dan sejarah lebih panjang.

No comments:

Post a Comment