Sunday 28 January 2024

TENGKOLOK GETAM BUDU ADA KEUNIKAN TERSENDIRI

 
Tengkolok khas Kelantan dikenali sebagai Getam Budu mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi hiasan kepala sering dikenakan lelaki pada majlis adat istiadat di Istana negeri Kelantan
 
Selain menjadi tanjak rasmi Sultan Kelantan, ia juga menjadi hiasan kepala kepada semua kerabat diraja, pembesar negeri atau pegawai tadbir negeri, kini Getam Budu mula menjadi perhatian rakyat khususnya di negeri Che Siti Wan Kembang.
 
Perbezaan Getam Budu dengan tengkolok yang lain adalah pada lipatan berbentuk bunga di hadapan tengkolok, selain mempunyai ikatan simpul pada bahagian belakang.
 
Perbezaan Getam Budu dengan tengkolok yang lain adalah pada lipatan berbentuk bunga di hadapan tengkolok, selain mempunyai ikatan simpul pada bahagian belakang.
 
Menariknya, pembuatan Getam Budu hanya menggunakan sehelai kain songket tanpa perlu dipotong atau digunting, kemudian memerlukan kemahiran teknik lipatan (solekan) bagi membentuk satu tengkolok dengan hiasan bunga di hadapan.
 
Untuk menghasilkan tengkolok, biasanya menggunakan kain songket bidang 31 atau bidang 36, bergantung kepada saiz kepala atau bentuk bunga yang mahu dihasilkan.
 
Bunga pada Getam Budu dilihat sama pada mata kasar tetapi, jika diperhatikan bentuk berbeza kerana tukang solek menggunakan teknik lipatan berlainan.
 
Kain songket perlu dilipat menjadi segi tiga sebelum membentuk 'tapak' iaitu lilitan kepala sebagaimana pembuatan songkok. Seterusnya, lilitan dijahit tangan dengan kemas, selain tukang solek memastikan kesan jahitan terlindung.
 
Teknik jahitan tangan berperanan penting termasuk pemilihan warna benang sesuai dengan warna songket agar tiada 'cacat cela' pada Getam Budu yang dihasilkan.
 
Mengikut sejarah, Getam Budu diperkenalkan semasa pemerintahan Sultan Ismail Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan pada 1920 hingga 1944.
 
Dipakai sebagai hiasan kepala rasmi dalam majlis istiadat di Istana Kelantan bersama-sama pakaian baju kebangsaan (sepasang) songket hitam bermotifkan mata kukuran dan bersamping hitam corak melintang bermotifkan bunga padi
 
Perkataan 'getam' bermaksud penutup dan bersesuaian dengan solekan getam budu kerana dihasilkan untuk menutupi seluruh kepala, manakala 'budu' ialah makanan tradisional melambangkan Kelantan.
 
Gambar - Lipatan Bunga Getam Budu oleh Wan Noorazlee Wan Daud
Kredit Johan Ariff

No comments:

Post a Comment