Monday, 16 June 2025

KEM BAHA, TRANSIT KE PUCAK GUNUNG

 
Taman Negeri Gunung Stong, Kelantan. terkenal dengan tiga puncak gunung iaitu Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong dengan ketinggian masing-masing 1450 meter, 1550 meter dan 1422 meter dari aras laut. 

Namun, di Taman Negeri Gunung Stong, nama Kem Baha lebih terkenal kerana ia lebih kerap dikunjungi. Dengan ketinggian 463 meter ia merupakan kem transit untuk pendaki ke puncak Gunung Stong, Gunung Baha dan Gunung Ayam.
 
Pendakian ke Kem Baha sejauh 3.5 kilometer mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit sehingga dua jam. Namun ada juga pendaki mengambil masa sehingga tiga jam, terutama jika hujan di mana keadaan trek licin. 
 
Bagi kebanyakan kumpulan pendaki hanya akan terhenti di Kem Baha. Jika tidak ingin bermalam, mereka akan terus turun pada hari yang sama. Namun, alang-alang sampai di Kem Baha mereka akan bermalan di situ. 

Selain, menikmati suasana malam di puncak gunung, mereka menantikan detik indah melihat sinar mentari pada waktu pagi. Suasana sungguh menarik dengan kepulan awan yang membentuk hamparan awan atau dipanggil karpet awan.
 
Kawasan Kem Baha cukup luas untuk menampung lebih 100 orang pada satu-satu masa. Terdapat bekalan air dan keperluan lain untuk keselesaan mereka yang berkhemah di situ.
 
Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Kem Baha seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
 
Gua ini dinamakan Gua Rantai kerana dipasang rantai di dalamnya bagi memudahkan pengunjung melalui gua ini. Walaupun tidak begitu jauh perjalanan di dalam gua ini, pengalaman itu  tetap memberi keseronokkan kepada pengunjung.
 
Air Terjun Kolam Puteri agak tinggi dan mempunyai kolam yang besar, dalam dan tenang. Seronok bermain air di sini sama ada mengelunsur di air terjun mahupun berenang.
 
Manakala Telaga Tujuh adalah telaga semula jadi yang berada di tengah-tengah sungai di atas Air Terjun Kolam Puteri. Masuk ke dalam telaga ini menjanjikan satu pengalaman menarik.
 

No comments:

Post a Comment