Prosedur pembahagian harta sepencarian tidak dinyatakan secara
tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah
syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan
setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga
anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat
menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh
perkahwinan mereka.
Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah
suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.
Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003
(EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz
talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya
aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan
antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan
dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana
aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.
Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang
diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:
- Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk
wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
- Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi
manfaat bersama mereka,
- Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.
Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat
pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset
itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak
sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).
Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah
hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang
diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):
- Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu,
kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
- Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.
Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan
kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa
kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang
memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih
besar.
Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian
harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris.
Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka,
pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan
kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka
melalui hubungan perkahwinan.
Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam
al-Quran dan sunnah serta ijmak ulama.

No comments:
Post a Comment