Ketokohan seorang pemimpin dapat dilihat
dari segi kemampuannya memegang amanah dan disukai rakyat. Keadaan itu hanya
dapat dicapai jika pemimpin itu benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan
kehidupan rakyat dan ia penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan
rakyat.
Jika ada pemimpin yang sangat berkira untuk
menemui rakyat, apatah lagi yang berada dalam kesusahan, maka pemimpin itu
bukanlah pemimpin yang boleh memberi khidmat dengan baik kerana tidak mampu
menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup rakyat.
Perlu diingat bukan semua rakyat memerlukan
bantuan kerajaan atau pemimpin, kadangkala mereka hanya ingin melihat pemimpin
menjenguk muka dan ambil peduli. Mereka bangga dilawati pemimpin biarpun
sekadar menerima sedikit sumbangan.
Pemimpin yang menemui rakyat di peringkat
bawah tidak akan hilang wibawa atau kedudukan. Seperti kata pepatah, tidak
hilang bisa ular menyusur akar. Watak dan ketokohan pemimpin semakin dipandang
tinggi dengan sikap selalu menemui rakyat.
Melalui lawatan, pemimpin dapat mengetahui
keadaan sebenar apa yang dialami rakyat. Rakyat berkesempatan untuk
menyampaikan atau berkongsi pandangan dalam urusan yang berkaitan secara
langsung dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Tanggungjawab pemimpin ialah berkhidmat
untuk rakyat. Maka itu pemimpin perlu mendekati rakyat untuk mengetahui apa
diingini rakyat. Turun padang menemui rakyat adalah aspek penting yang perlu
diamalkan setiap pemimpin.
Sehebat manapun seorang pemimpin, yang
memilihnya adalah rakyat yang dilakukan melalui peti undi. Jadi, dampingilah
rakyat sepanjang masa, dan bukannya hanya pada masa kempen pilihan raya.
No comments:
Post a Comment