Monday, 22 January 2018

JAGA BATAS PARODI ELAK DOSA

Definisi parodi mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah karya sastera, seni dan lain-lain yang meniru gaya pengarang, penciptanya dengan cara melucukan atau menyindir.

Ia bukanlah budaya masyarakat Islam, sebaliknya berasal dari Barat sebagai salah satu cara mereka meluahkan perasaan tanpa ada batasan akhlak seperti mana yang dianjurkan Islam.

Umat Islam sepatutnya sedar segala perbuatan yang dilakukan ada ganjaran dan azab daripada Allah SWT.

Justeru, penting kita menepati landasan al-Quran dan sunah termasuk dalam hal meluahkan perasaan, hatta dengan alasan sekadar untuk berhibur.

Pandangan Islam dalam hal berjenaka secara umum adalah harus, bagaimanapun ia menjadi haram apabila jenaka yang dibuat itu menjatuhkan maruah seseorang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Umat Islam perlu berhati-hati dalam isu berkaitan parodi kerana ia bukan hanya bersangkut-paut dengan orang melakukan aksi itu, tempias juga terkena kepada individu yang menonton serta pihak yang menjadi mangsa.

Dosa besar bagi orang yang melakukan lawak parodi jika ia mengaibkan dan tidak menjadi kesalahan yang menonton sekali sahaja atau atas sebab tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi viral.

Jika ditonton berulang kali dan terus tertawa, maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana dengan sengaja mempersendakan. Lebih parah jika ia dikongsi pula kepada rakan lain.

Islam mengajar kita untuk tidak memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan ajaran agama termasuk melakukan parodi sia-sia.

Gejala menghasilkan parodi negatif ini perlu dibendung dengan memperkenalkan kaedah lain seperti menghasilkan video saduran lagu popular menggunakan lirik bermanfaat, selain memperbanyakkan video tazkirah iaitu teguran kepada parodi asal secara berhikmah.