Tuesday, 30 August 2022

SEBAB WANG GAJI TIDAK CUKUP

 
Pekerja bujang bergaji RM3000 sebulan masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan. Fakta itu tentu dilihat antara lain berpunca masalah kenaikan kos sara hidup. Betulkah kerana kenaikan kos sara hidup atau gaya hidup yang tidak menepati kemampuan?

Tidak dinafikan kos sara hidup meningkat, terutama dialami warga metropolitan. Semua keperluan hidup perlu dibeli. Tidak ada percuma sehingga nak masuk tandas pun kena bayar. Tempat letak kereta kena bayar, tol memang seakan-akan tidak dapat dielak. Lalulah jalan manapun, sudahnya kena masuk tol juga.

Persoalannya, kenapa ketua keluarga yang mempunyai tiga atau lebih tanggungan mampu menyara hidup di kota yang sama? Mereka perlu menyuap mulut lebih dari seorang, menyediakan pakaian dan keperluan lain bukan hanya untuk dirinya sahaja. Syukur dia masih dapat menjalankan tanggungjawab itu.

Itulah dikatakan kos berdasarkan kepada gaya hidup. Orang bujang tidak cukup dengan pendapatan RM3000 sebulan kerana berbelanja mengikut gaya hidup yang diingini. Sedangkan bapa yang berpendapatan sama berbelaja ikut apa yang mampu.

Orang bujang yang selesa minum di Starbucks bersama kawan sebaya, makan di Tony Romas, guna telefon pintar mahal, beli pelbagai gajet dan beli-belah di Pavilion tentu tidak cukup wang jika sekadar bergaji RM3000 sebulan.

Gaji sebulan belum cukup jika ingin membeli telefon bimbit terkini di pasaran yang mencecah lebih RM5000 seunit. Sedangkan jika mereka sekadar ingin memiliki telefon bimbit yang boleh untuk melayari media sosial dan mengambil gambar selain fungsi utama membuat dan menjawab penggilan, gaji RM3000 itu cukup untuk membeli lapan atau 10 telefon bimbit.

Begitu juga dengan kenderaan, jika tidak mampu membeli kereta mewah, cukuplah dengan kereta kecil keluaran tempatan. Keluarga sendiri belum ada. Jadi tidak perlu kereta besar. Kalau sekadar memiliki motosikal lagi jimat kerana harganya murah, tidak perlu bayar tol, kos penyelenggaran murah dan kebanyakan tempat tidak perlu bayar tempat letak motor.

Kalau kita tidak mampu, jangan hendak berlagak. Berbelanja sekadar apa yang mampu. RM3000 sebulan sudah mencukupi jika berbelanja secara berhemah. Jika berbelanja sesuka hati, RM10,000 sebulan pun tidak cukup.

Sikap berbelanja tidak mengikut kemampuan memang membawa padah. Banyak yang terperangkap dengan hutang sehingga dibawa ke mahkamah dan diiystiharkan muflis.

Belajarlah menerima realiti kehidupan. Jangan salahkan pihak lain atas apa yang terjadi. Jika ingin mempunyai wang lebih dan menikmati kehidupan selesa, berusaha lebih gigih. Cari peluang menambah pendapatan mengikut kemampuan masing-masing.

No comments:

Post a Comment