Sesiapa memasuki usia tua sebenarnya lebih
hampir saat kematiannya kerana secara puratanya umur 60 tahun sudah dikira
memasuki ‘usia menunggu kematian’. Rasulullah telah mengingatkan usia umatnya
tidak panjang seperti usia umat nabi-nabi terdahulu yang mencecah usia ratusan
tahun. Rasulullah wafat ketika usia 63 tahun.
Pesanan agar mengingati saat kematian bukan
bertujuan untuk menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya, mengingati kematian
menyedarkan kita tujuan hidup ini dan di mana akan berakhir.
Kita pasti menghadapi saat kematian
sepertimana firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang
bernyawa pasti akan mati.”
Itu hakikat kehidupan kita. Mati sentiasa
dekat dengan kita. Tidak ada manusia kekal hidup selama-lamanya biarpun dia
hebat dari segi kekayaan, jawatan dan sihat.
Walaupun mengingati kematian, tidak pula
bermakna usaha-usaha seharian untuk kebahagian hidup dilupakan. Bekerja
memenuhi keperluan hidup juga sebahagian daripada amal soleh yang mendapat
ganjaran pahala yang besar untuk kebahagian hidup di akhirat.
Manusia diciptakan dan diturunkan ke muka
bumi sebagai khalifah dan hamba yang ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang
perlu dilakukan. Firman Allah dalam surah adz-Dzariyat ayat 56 bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan
beribadat kepada-Ku.”
Maksud menyembah dan beribadat kepada Allah
amat luas meliputi segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat khusus
seperti sembahyang, menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas
sebagai perlu dilakukan. Manakala yang lainnya dalam bentuk ibadah tidak
khusus.
Manusia yang melakukan segala apa yang
disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang dikira telah melakukan ibadah. Panduan
atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini terkandung dalam al-Quran dan
hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya pasti akan bahagia hidup di dunia dan
akhirat.
Berusahlah untuk menambah bekalan hidup di
akhirat dalam apa bentuk kebaikan sekalipun. Usia tua bukan bermakna telah berakhir
untuk melakukan perkara kebaikan, selain ibadat khusus.
Kita yang hidup ini pasti akan mati.
Bersedialah untuk mati pada bila-bila masa biarpun sekarang ini tidak mengalami
apa-apa penyakit berbahaya dan usia masih muda kerana mati tidak semestinya
kerana sakit dan pada usia apabila telah tua.
No comments:
Post a Comment