Sunday, 14 August 2022

PENJINAK GAJAH DIPANGGIL MAHOUT

 
Penjinak gajah atau penjaga gajah dipanggil mahout. Ia satu jawatan atau kerjaya di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Jawatan mahout penting dalam tugas-tugas di pusat konservasi gajah. Kerajaan menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor.

Penjagaan gajah menjadi keutamaan Perhilitan untuk menyelamatkan gajar dari pemburu haram dan konflik gajah dengan manusia. Justeru, tugas mahout dianggap sangat penting.

Gajah jenis haiwan liar, namun jika dilatih dan disayangi, ia akan membalas kebaikan yang diberikan kepadanya dengan setia dan mematuhi arahan mahout. Gajah dianggap binatang bijak dan manja yang memerlukan perhatian berterusan daripada mahout. Gajah yang jinak dan terlatih digunakan sebagai denak untuk memujuk gajah liar dalam proses memindahkan gajah dari satu tempat ke tempat lain. 

Populasi gajah di Malaysia ketika ini dianggarkan antara 1,220 hingga 1,680 ekor. Taburan populasi haiwan liar yang terancam itu direkodkan di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Di Malaysia, gajah Asia atau nama saintifiknya Elephas maximus mempunyai dua sub-spesis iaitu Elephas maximus indicus yang terdapat di Semenanjung Malaysia manakala Elephas maximus borneensis (gajah Pygmy) di Sabah.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia serius dalam melaksanakan tindakan di bawah National Ivory Action Plan (NIAP) sebagai komitmen untuk membanteras rangkaian perdagangan haram gading gajah.

Hari Gajah Sedunia disambut pada 12 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesis gajah di samping ancaman yang dihadapi.

Gajah merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Semenanjung Malaysia dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 di Sabah, di samping tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo.

Perhilitan memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup gajah sekali gus komited dalam mempergiatkan usaha konservasi gajah dan habitatnya. 

Antara tindakan yang diambil termasuk mengukuhkan keberkesanan perundangan dengan meminda Akta 716 dan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta perburuan hidupan liar.

Gajah memerlukan kawasan keliaran yang luas antara 10 kilometer persegi sehingga 250 kilometer persegi bergantung kepada sumber makanan serta komposisi kumpulan gajah terbabit.

Keperluan makanan seekor gajah pula antara 150 kilogram hingga 200 kilogram sehari yang memerlukan gajah terus bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari makanan.

Justeru adalah penting untuk melindungi dan memulihara habitat dan kawasan keliaran gajah.

Gambar: Dari media internet

No comments:

Post a Comment