Tuesday, 9 August 2022

PUSAT OLAH PERANG KEM SYED SIRAJUDDIN, GEMAS

 
Sejarah penubuhan Pusat Oleh Perang Tentera Darat (POP TD) bermula dengan penubuhan Tim Projek Simulasi Tentera Darat pada 15 Sep 1982 di Shah Alam, Selangor dengan menggunakan buku panduan `First Forray’ sebagai sistem permainan olah perang secara manual dan ia adalah atas pemberian Tentera Darat New Zealand. 

Pada 15 Dis 1982 telah berpindah ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur di bawah pentadbiran MK Kor TD dan pada 1 Jan 1983 telah dinamakan sebagai Tim Simulasi Peperangan Tentera Darat. 

Pada 14 Dis 1986 Tim ini telah berpindah ke Kem Segenting, Port Dickson dan dinamakan Tim Simulasi Tempur Tentera Darat (Tim Simpur TD).

Pada awal Julai 1987, Projek Simulasi Peperangan (PSP) ditubuhkan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang bertujuan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan Sistem Olah Perang Bantuan Komputer secara usaha sama dengan pihak Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.     

Pada 1 Jan 1990 Projek Simulasi Peperangan dipindahkan ke Kem Segenting, Port Dickson dan dinamakan Cawangan Penyelidikan & Pembangunan dan digabungkan dengan Tim Simpur TD. Hasil gabungan tersebut POP TD telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1990 melalui FED(M)/4060/1/90. 

Sistem Olah Perang Bantuan Komputer berpandukan model Tempur Pertama telah siap dibangunkan dinamakan Tempur Utama  dan beroperasi pada penghujung tahun 1993 hingga 1996. 

POP TD telah berpindah dari Kem Segenting, Port Dickson ke Kem Syed Sirajuddin Gemas pada 16 Dis 2008 dan menumpang di Kem 14 RAMD. Tapak Kem POP TD telah dibangunkan untuk dijadikan Kem Kolej Tentera Darat. 

Pada 22 Jul 2013 POP TD telah berpindah secara rasminya ke kem sendiri yang terletak di hadapan Hospital Tentera Darat (HTD) Gemas. 

Konsep pembinaan kem baru adalah untuk menyediakan kemudahan yang serba lengkap meliputi aspek latihan olah perang dan simulasi untuk membantu  formasi TD, ATM dalam latihan termasuk latihan bilateral serta multilateral. 

Infrastruktur baru kem POP TD di atas tanah seluas 94 ekar melibatkan kos sebanyak RM73 juta.

Pembinaan kem ini berkonsepkan lengkap sendiri (self contained) di mana ia menyediakan segala keperluan asas seperti penginapan, sajian dan tempat eksesais untuk menampung keperluan pelaku-pelaku eksesais. Pembinaan kem ini melibatkan keluasan binaan seluas 23,016.94 meter persegi.

Tentera Darat Malaysia menjadi pasukan keselamatan pertama di Asia menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM) untuk latihan peperangan.

Teknologi itu membolehkan anggota tentera darat menjalani latihan pertempuran seperti dalam situasi pertempuran sebenar.

VIRTSIM membolehkan anggota tentera berlatih dalam semua keadaan iklim, bentuk muka bumi dan kekangan logistik, sekali gus mengasah kemahiran taktikal ketenteraan serta meningkatkan kesesuaian terhadap suasana pertempuran.

Semua latihan ini dijalankan di arena realiti maya bersaiz gelanggang bola keranjang di Pusat Simulasi Visual, Pusat Olah Perang Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Anggota memakai sistem pengesahan khas (tracking system) dan Head Mointed Display (HMD) supaya mereka boleh berada dalam persekitaran latihan realiti maya simulasi tiga dimensi.

Antara kelebihan VIRTISM ialah boleh membuat senario pertempuran tanpa had dan latihan yang selamat dengan mengurangkan kecederaan kepada anggota.

Biarpun ada teknologi VIRTSIM, latihan secara realiti tetap diadakan bagi mendedahkan anggota dengan keadaan sebenar di medan tempur.

Penggunaan VIRTISM sangat bersesuaian dengan anggota yang bakal menyertai Misi Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu dan bertugas di luar negara kerana mereka boleh berlatih mengikut kesesuaian lokasi dan situasi negara terbabit.


No comments:

Post a Comment