Friday 20 January 2023

PUNCA SAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

 
Buah pinggang adalah antara organ yang paling penting dalam tubuh manusia. Kerosakan buah pinggang boleh membawa kepada penyakit yang serius atau kematian. Setiap buah pinggang mempunyai struktur dan fungsi yang sangat kompleks.

Buah pinggang mempunyai dua fungsi penting iaitu: menyingkirkan sisa bahaya yang toksik dan mengekalkan keseimbangan air, cecair, mineral dan bahan kimia iaitu elektrolit seperti natrium, kalium dan sebagainya.

Fungsi utama buah pinggang adalah untuk menghasilkan air kencing dan membersihkan darah. Setiap buah pinggang membuang sisa bahan toksik, dan lain-lain bahan kimia yang tidak diperlukan oleh badan.

Dalam proses pembersihan darah, buah pinggang mengekalkan semua bahan-bahan yang diperlukan dan secara selektif mengeluarkan cecair yang berlebihan, elektrolit dan sisa toksik.

Sepertimana organ badan lain, buah pinggang juga berkumungkinan tidak dapat berfungsi dengan normal atas faktor penyakit. Banyak punca seseorang boleh mengalami penyakit buah pinggang.

Gejala penyakit buah pinggang berbeza dari orang ke orang. Banyak bergantung kepada jenis penyakit asas dan keparahannya. Gejala biasanya samar-samar dan tidak spesifik, dan oleh itu penyakit sukar didiagnosa pada peringkat awal.

Adalah penting untuk diingat bahawa masalah buah pinggang yang serius mungkin wujud secara senyap untuk jangka masa yang panjang tanpa gejala dan tanda-tanda yang ketara. Untuk mencapai ke tahap penyakit buah pinggang kronik mengambil masa yang lama.

Walaupun tidak menunjukkan sebarang tanda, pesakit yang mengalami diabetes dan darah tinggi disarankan menjalani pemeriksaan berkala bagi menentukan tahap kesihatan mereka.
 
Ini kerana sekiranya tiada kawalan pemakanan dan penjagaan kesihatan, dikhuatiri diabetes menyebabkan kegagalan buah pinggang. Selain itu, mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh yang lama turut menjadi penyumbang kepada masalah kegagalan buah pinggang kronik dan juga batu karang.
 
Oleh itu, disarankan kepada pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi supaya menjaga pemakanan dan melakukan senaman ringan.
 
Bagi yang mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit buah pinggang, mereka perlu menjalani ujian saringan bagi mengesan sebarang keganjilan pada buah pinggang mereka. Elakkan mengambil makanan tambahan atau produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia atau tanpa nasihat doktor.

No comments:

Post a Comment