Semua pihak dan semua kaum dalam masyarakat
majmuk di negara ini menerima suasana harmoni. Inilah konsep positif yang ada
dalam masyarakat Melayu beragama Islam. Orang Melayu boleh menerima kaum lain
kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu.
Walaupun hanya satu keluarga dan mengendalikan sebuah kedai runcit,
bukan Melayu boleh hidup di tengah-tengah kampung Melayu sejak zaman berzaman.
Adapun yang menganut Islam pula dianggapnya masuk Melayu, kerana inilah
kesan ajaran Islam yang ada dalam diri mereka, walaupun Islam itu adalah agama
bukannya bangsa.
Bukan Melayu dan bukan Islam pula bergaul dan bercakap Bahasa Melayu
walaupun pelat, tetapi tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang
berbudaya Melayu walaupun dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.
Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, negeri paling tenang dan aman
adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri yang banyak pengajian
Islam dan paling padat Melayunya.
Ini menunjukkan mereka tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam
dan cara hidup bermasyarakat majmuk terhadap penganut agama lain.
Al-Quran mendidik umat Islam bahawa manusia adalah keluarga besar
walaupun berbagai-bagai agama dan bangsa. Semuanya daripada Adam dan Hawa.
Firman Allah: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf
(berkenal-kenalan dan saling berhajat antara satu dengan yang lain mengikut
konsep bermasyarakat majmuk dan madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat:
13)
Konsep hubungan kekeluargaan manusia diwujudkan bersama konsep dakwah
Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan terhadap penganut agama lain, dan
mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang sinonim dengan makna Islam itu
sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada ajarannya.
Pendekatan cara paksaan adalah membatalkan keikhlasan dan menimbulkan
ketegangan. Walaupun wajib berdakwah mengajak manusia semuanya kepada Islam,
namun Islam konsisten mewajibkan adil dan memberi hak terhadap semua kaum dan
agama dalam masyarakat majmuk dan masyarakat madani.
Adalah menjadi hak yang wajib kepada penganut Islam yang menjadi
masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara ini, menegaskan Islam menjadi
agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang
sama diberi hak yang adil kepada agama lain.
Inilah keputusan yang saksama pada awal kemerdekaan berasaskan
persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Pra Kemerdekaan pada
tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan.
Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 apabila adanya parti
yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman sehingga mencetuskan ketegangan.
No comments:
Post a Comment