Wednesday, 3 July 2024

DURIAN PREMIUM DIJUAL MURAH

 
Harga durian kategori premium memang dijual mahal. Ada yang sanggup membelinya demi kepuasan dan mendapat cita rasa yang diingini.
 
Namun, ada penjual durian membuat promosi durian premium dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran. Jadi, ia memberi peluang kepada lebih banyak orang mampu membeli dan dapat menikmati durian premium.
 
Persoalannya, mengapa ada penjual durian menjual durian premium dengan harga lebih murah?
 
Banyak orang sebenarnya tidak faham bahawa durian ada banyak gred. Ada gred A, B dan gred C. Nama durian sama, tetapi grednya berbeza.
 
Antara faktor menentukan gred durian ialah berapa hari buah itu telah gugur. Durian kalau betul premium harga mahal tidak boleh tahan lama. Ia berbeza dengan durian diimport dari Thailand yang dipetik ketika masih mudah dan kemudian diperam. Buah diperam memang boleh disimpan lama, tambah lagi diawet menggunakan bahan kimia.
 
Berlainan dengan durian premium tempatan. Kalau sudah dua gugur, memang kurang nikmat. Buah sudah bergas. Bagi mereka yang benar-benar inginkan cita rasa asli tentu sekali tidak berminat dengan durian sedemikian.
 
Jadi, penjual durian perlu menjualnya dengan cepat. Cara paling mudah agar cepat laku ialah membuat potongan harga. Banyak pembeli sebenarnya tidak tahu membezakan antara durian baharu gugur atau sudah dua tiga hari gugur. Kalau tahupun setelah durian menjadi merekah.
 
Pun begitu, ada pembeli tidak kisah sangat pun tentang kualiti durian asalkan dapat menikmati durian terkenal dengan harga yang jauh lebih murah.
 
Sebenarnya menjual durian ini penuh dengan risiko. Kalau durian tidak dapat dihabiskan dalam tempoh masih elok, memang harga yang dijual tidak balik modal. Jika tidak laku, boleh rugi besar.
 
Sebab itu, pada peringkat awal kenal jual mahal sikit untuk elak kerugian apabila harga telah jatuh. Kalau kebetulan durian cepat habis biarpun harga ditawarkan mahal, itu kira nasib baik.
 
Jadi, sebagai pembeli kita kena bijak membuat pilihan membeli ketika harga lebih murah. Kalau tidak sabar dan mementingkan kualiti, bayarlah harga yang lebih tinggi. Hidup ini pilihan. Kita sendiri yang tentukan. Tidak perlu marah-marah jika harga durian mahal.
 




No comments:

Post a Comment