Gunung Reng nama satu bukit batu kapur di
Kampung Gunong, Batu Melintang. Kedudukannya sekitar 300 meter dari Jalan Raya Timur
Barat. Jadi ia jelas kelihatan kepada sesiapa yang melalui jalan itu. jelas
kelihatan, tambah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu.
Gunung Reng mempunyai kisah legenda
bagaimana ia terbentuk, selain dikaitkan Puteri Saadong. Kini, ia menjadi
lokasi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri apabila ia dibangunkan
sebagai taman dan hentian rehat.
Legendanya juga masih belum terungkap
secara jelas dan hanya menjadi misteri serta tanda tanya kepada masyarakat hari
ini tentang kewujudannya dengan keunikan struktur batu-batannya. Sebagaimana
gua-gua yang terdapat di gunung-gunung lain yang ditemui dan diterokai oleh
penggemar dan pencinta alam, Gunung Reng juga mempunyai keistimewaan
tersendiri.
Berdasarkan kisah legenda, Gunung Reng yang
terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Jeli pernah menjadi penempatan
sebuah perkampungan iaitu Kampung Tala kira-kira 1,400 tahun yang lalu.
Perkampungan itu dibuka Tok Tadeh yang berketurunan Jawa. Kononnya pada satu
hari ketua Kampung Tala mengadakan kenduri selama tujuh hari tujuh malam. Dalam
kenduri itu turut diadakan pelbagai jenis permainan.
Malah, mereka juga mengadakan permainan laga anjing dan kucing atas bumbung
rumah. Ketika haiwan itu berlaga tiba-tiba berlaku ribut taufan. Pada masa sama
seorang wanita dan cucunya pulang ke rumah terletak di kampung berhampiran yang
dinamakan sebagai Kampung Gantang untuk memunggah padi yang sudah kering.
Usai memunggah padi, wanita itu kembali semula ke Kampung Tala. Namun,
kelihatan kampung berkenaan sudah diserkup sebuah batu yang besar sehingga
melenyapkan segala isi kampung.
Batu besar itu dikatakan asalnya sebuah gunung terletak di Hulu Sungai Reng yang bersempadan dengan Kelantan dan Perak. Selepas kejadian, lokasi asal gunung
itu menjadi sebuah kolam.
Menariknya, Gunung Reng sekarang ini terdapat 69 buah gua. Gunung Reng menjadi
destinasi tarikan ekopelancongan di Jeli kerana pengunjung boleh melakukan
pelbagai aktiviti lasak dan beriadah di kawasan gunung itu.
Pengunjung yang ingin melawat di dalam gua ada tangga disediakan bagi
memudahkan pengunjung masuk ke dalamnya yang agak tinggi.
Setibanya dalam gua berkenaan ternyata ia begitu luas dan ada banyak gua kecil
di sekitarnya. Malah, di bentuk-bentuk batu yang unik juga dapat dilihat dengan
jelas.
Setiap batu yang terbentuk unik itu
mempunyai hikayat tersendiri antaranya tempat bertapa pembesar terdahulu.
Di bahagian atas mempunyai kolam. Untuk menuju kawasan itu bukan sesuatu yang mudah
kerana memerlukan pendakian yang amat berhati-hati. Kawasan yang dikatakan
kolam itu mempunyai air yang tidak pernah surut dan mengalir dalam lubang yang
lain.
Di bahagian puncak di luar gua, pengunjung berpeluang melihat melihat panorama
sekeliling. Pemandangan sekeliling mudah dilihat kerana Gunung Reng adalah
bukit tungal di kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment