Tuesday 1 October 2024

KATEGORI JANGKA HAYAT BATERI PALING TAHAN

 
Bateri kecil atau lebih dikenali bateri lampu suluh atau dalam dialek Kelantan dipanggil “ubat lampu” ada tiga kategori yang dikeluarkan pengilang. Tiga kategori itu ialah bateri alkeline, 'super extra heavy duty' dan 'heavy duty'.
 
Perbezaan kategori ini adalah merujuk kepada jangka hayat bateri. Bateri alkeline harganya paling mahal berbanding dua yang lain. Jangka hayatnya lebih lama dan boleh digunakan untuk peralatan yang kerap digunakan dan memerlukan banyak kuasa secara berterusan contohnya lampudenyar kamera.
 
Jenis bateri super extra heavy duty pula dianggap pertengahan yang jangka hayat lama, tetapi tidak selama jenis alkeline. Manakala jenis heavy duty pula biarpun “kuat” tetapi tidak tahan lama. Kuasanya mudah menurun dan kemudian tidak berfungsi lagi.
 
Biarpun tiga kategori berbeza dan mempunyai jangka hayat tidak sama, ketika penuh kuasa, output atau kuasa yang dikeluarkan adalah sama iaitu 1.5 voltage (V). Jadi, tidak timbul soal terlebih kuasa yang boleh menyebabkan kerosakan alatan tertentu jika menggunakan bateri alkaline.
 
Perbezaan sebenar hanyalah pada simpanan tenaga yang ada. Bateri alkaline simpan banyak tenaga, jadi ia boleh tahan lama atau jangka hayat yang lebih lama berbanding dua kategori lain.
 
Jika bateri tidak digunakan atau digunakan dalam julat yang kecil, jangka hayat kuasa disimpan oleh bateri alkaline boleh mencecah lima hingga 10 tahun, berbanding hanya tiga hingga lima tahun untuk bateri super extra heavy duty dan heavy duty.
 
Bateri yang telah tamat jangka hayat bukan sahaja hilang kuasa atau tidak berfungsi, tetapi juga akan berlaku kebocoran cecair dari bateri yang boleh merosakkan terminal peralatan. Sebab itu, penukaran bateri perlu dilakukan dalam tempoh masa tertentu mengikut jangka hayat bateri untuk mengelak kesan buruk akibat kebocoran yang ditandai ada cecair kimia keluar menyebabkan ada kesan lembab.

No comments:

Post a Comment