Kalau hendak berkahwin dengan anaknya, maka
terimalah juga bapa mentua dan seluruh ahli keluarga menjadi sebagai ahli keluarga baharu. Bahkan, bapa itu
menjadi wali untuk melangsungkan perkahwinan. Amat biadap dan tidak diterima
dalam budaya murni jika ingin berkahwin dengan anak tetapi tidak mahu menerima
bapa yang menjadi teras kepada keluarga.
Inilah analogi tepat bagi mengulas mengenai
kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersedia untuk menjalin
semula kerjasama dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada sidang media sempena Muktamar PAS
Ke-70, 14 Sept 2024, yang berlangsung di Kerdau, Temerloh, Hadi mengakui partinya
masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan
mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan
Pas serta UMNO sebelum ini yang dirintis tanpa membabitkan Zahid.
Kenyataan Hadi itu tidak ikhlas serta hanya
mementingkan parti mereka sahaja dan tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat
atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
Jika Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden
UMNO?. Adakah Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh.
UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas
berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang
dan berunding dengan presidennya.
Ini kerana ahli UMNO meletakkan institusi presiden
yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
Sesungguhnya, Presiden UMNO berpijak tidak
berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan
taat tahan dilipat.
Kalau Pas benar-benar hendak kembali untuk
bekerjasama dengan UMNO, buatlah rundingan dengan ikhlas. Hormati institusi
UMNO yang ada presiden dan saf kepimpinannya.
No comments:
Post a Comment