Sunday 20 October 2024

KOTA BHARU SENTRAL BAKAL DIBINA

Kerajaan Kelantan melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 2 Oktober 2024, memutuskan untuk meluluskan pembinaan Kota Bharu Sentral (KB Sentral) kepada Syarikat Perak Transit Berhad, yang kemudiannya melantik China Communication Construction Company (CCCC) sebagai pelaksana utama bagi projek tersebut.
 
Pemilihan itu dilakukan setelah kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai kaedah untuk menjayakan projek tersebut yang telah tertangguh hampir dua tahun selepas dua syarikat Bumiputera yang dilantik menarik diri.
 
Dua buah syarikat sebelum ini menarik diri walaupun pada asalnya bersetuju untuk membina dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Syarikat yang pertama menarik diri setelah empat bulan dilantik manakala syarikat yang kedua pula menarik diri setelah sekitar setahun setengah dilantik untuk melaksanakannya.
 
Selain kaedah penswastaan, kerajaan negeri pernah putuskan untuk membinanya sendiri. Tetapi timbul persoalan siapa pula yang akan mengoperasikannya.
 
Kerajaan negeri tidak ada kepakaran membina dan mengoperasikannya mengikut standard yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
 
Pemilihan Perak Transit Berhad dan CCCC itu adalah berasaskan merit. Antara justifikasi pemilihan dua syarikat tersebut ialah Perak Transit mempunyai rekod yang cemerlang membina dan mengoperasikan beberapa stesen pengangkutan bersepadu, manakala CCCC yang terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembinaan stesen utama di Tunjong juga mencatatkan rekod yang sangat baik.
 
Tambahan, tapak projek pembinaan KB Sentral yang bersebelahan stesen ECRL akan lebih memudahkan kerja-kerja pembinaan dan teknikal projek jika diusahakan oleh CCCC yang telahpun berada di situ bagi menyiapkan projek ECRL.
 
Kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan laluan sambungan terus antara stesen utama ECRL dan KB-Sentral. Selain itu, jalan masuk ke tapak projek KB-Sentral kena melalui tapak stesen ECRL. Dalam masa yang sama jentera yang diperlukan untuk pembinaan bangunan KB-Sentral sudahpun ada di tapak bersebalahan.
 
Itulah juga alasan utama kenapa syarikat CCCC mampu berjanji untuk menyiapkan KB-Sentral dalam tempoh yang singkat tanpa perlu kepada permohonan menggunakan laluan ke tapak dan kemudahan logistik yang sudah sedia ada.
 
Selain itu, Perak Transit dan CCCC sanggup memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan berjanji menyiapkan projek KB Sentral dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Tiada meklumat tentang tempoh tersebut, bila akan bermula dan tempoh akan disiapkan. Kaedah pembiayaan dan harga projek juga tidak didedahkan.   
 
Pemilihan syarikat-syarikat ini adalah mengikut kaedah dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment