Saturday, 21 August 2021

MUNDUR DISEBABKAN GAGAL TERJEMAH KEHENDAK SEBENAR ISLAM

Bilangan penganut Islam melepasi 1.6 bilion di seluruh dunia. Umat Islam pernah mencipta kecemerlangan dan tamadun yang hebat. Itu buktinya Islam bukan agama mundur. 

Namun, sekarang kita perlu akui, umat Islam jauh ketinggalan berbanding umat lain.

Jadi, satu usaha pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak perlu dilakukan segera.

Banyak sebab umat Islam gagal. Pertamanya kerana gagal menterjemah kehendak sebenar ajaran Islam.

Mereka sudah hilang prioriti atau keutamaan. Perkara yang ditegah oleh agama dan wajib dijauhi sebaliknya menjadi keutama atau perkara yang disukai. 

Masalah peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan umat Islam di kebanyakan negara.

Mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Itulah yang menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni agar perkara buruk tidak berterusan.

Sebarang bentuk masalah yang bersangkutan sesama Islam perlu dilakukan dengan pendekatan persaudaraan. Jangan terlalu keras dan mendesak. 

Jika kita gagal memahami pendekatan wasatiyyah yang diajarkan oleh agama, maka syaitan akan mudah mempengaruhi perbuatan yang mendatangkan keburukan.

Syaitan berada dalam pelbagai bentuk. Pihak ketiga yang mengambil kesempatan juga menjadi sebahagian daripada syaitan. Mereka ini menjadi batu api dan mewujudkan suasana tegang sesama Islam.

No comments:

Post a Comment