Wednesday, 23 February 2022

SYARAT MEMOHON PERTOLONGAN SESAMA MANUSIA

Belajarlah mengenal akidah yang sebenar. Akidah yang bersih daripada sebarang kekarutan dan jauh daripada penyelewengan.  

Setiap hari kita baca surah al-Fatihah dalam setiap rakaat dengan berikrar bahawa hanya kepada Allah kami menyembah dan hanya kepada Allah kami memohon pertolongan.

Ya, kita perlu memohon pertolongan sesama manusia atas dasar perkara fizikal dan urusan kehidupan seharian. Itu perintah agama supaya kita tolong menolong dalam perkara kebaikan.

Kita perlu berusaha sendiri atau mintalah pertolongan sesama manusia untuk melakukan apa yang sepatunya dilakukan. 

Kita tidak mampu melakukan semua perkara dalam kehidupan ini seorang diri, melainkan perlu juga meminta pertolongan manusia lain, bahkan bantuan-bantuan lain daripada ciptaan Allah seperti haiwan, alam semula jadi dan sebagainya. Setiap ciptaan Allah adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia yang dilantik menjadi khalifah di dunia ini. 

Yang dikatakan memohon pertolongan hanya kepada Allah ada bermaksud, kita yakin bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah jua. Tiada apapun yang berlaku, melainkan dengan izin Allah. Sebab itu kita perlu memohon hanya kepada Allah.

Setiap apa yang ingin dilakukan atau diusahakan, hanya Allah yang menuntukan. Itulah dinamakan bermohon hanya kepada Allah.

Sedangkan untuk berusaha dan melakukan secara fizikal kita perlu bantuan sesama manusia, yang Allah jualah yang menentukan segala-galanya sama ada bantuan sesama manusia itu terhasil atau sebaliknya.

Allah bersedia untuk mendengar permohonan atau doa dari setiap hamba-Nya secara terus tanpa perlu melalui pengantaraan sesiapa. Namun, kita boleh minta pertolongan orang lain untuk sama-sama berdoa untuk kita, dengan syarat orang itu masih hidup.  

Meminta pertolongan daripada orang yang telah meninggal dunia bukan cara diajarkan Islam. Alam orang mati dan orang hidup adalah berbeza.

No comments:

Post a Comment