Monday, 27 June 2022

MENGAPA HARTA MENJADI BEBAN KEPADA PEMILIKNYA

 
Kekayaan yang tidak dibelanjakan ke jalan kebaikan adalah beban yang menyusahkan pemiliknya di dunia dan akhirat. Orang kaya yang bakhil menyangka kekayaan yang dimiliki mendatangkan kesenangan hidup kepadanya. 

Sebaliknya, kekayaan itu menjadikan hidup golongan kaya sentiasa tidak tenteram disebabkan perasaan takut kehilangan atau kekurangan harta. 

Orang kaya yang keberatan bersedekah bersifat bakhil kepada kebajikan. Sebaliknya, mereka sanggup berbelanja kepada perbuatan maksiat. Syaitan menyuruh membazir dalam perbelajaan tetapi kedekut jika apa dapat memberi kebaikan kepada orang lain.  

Kaitan sifat membazir dengan syaitan amat rapat kerana perbuatan itu membawa banyak keburukan. Syaitan sentiasa memperdayakan manusia melakukan perbuatan ingkar yang menimbulkan keburukan. Ini menyemai seperti sifatnya sebagai makhluk paling ingkar terhadap perintah Allah.

Syaitan menjadi kawan rapat si bakhil untuk melahirkan rasa takut membelanjakan kekayaan ke jalan Allah. Firman-Nya bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 219). 

Kisah Qarun yang menjadi kufur akibat terlalu sayangkan harta patut dijadikan iktibar. Sebenarnya, Qarun pada mulanya adalah pengikut setia Nabi Musa yang sentiasa melakukan tugas membantu menegapkan agama tauhid. Namun, selepas mendapat kekayaan, Qarun menjadi kufur, yang berpunca sikap tidak ingin mengeluarkan zakat dan sedekah.

Qarun merasakan apa yang dimiliki hasil usahanya sendiri. Dia lupa hakikat bahawa harta yang dimiliki itu hasil limpah kurnia Allah kepadanya, hasil kebijaksanaan dan ketekunannya berusaha.

Kekayaan hanya mendatangkan manfaat ketika hayat masih ada. Tidak ada orang membawa kekayaan sehingga ke alam akhirat. Kekayaan itu perlu digunakan dengan cara bersedekah atau digunakan ke jalan Allah sebagai bekalan di akhirat.

Rasulullah sentiasa menitikberatkan agar umatnya yang berkemampuan mengutamakan amalan sedekah. Al-Quran dan hadis banyak menjelaskan kelebihan amalan bersedekah. Justeru itu, para sahabat berebut-rebut melakukannya. Orang miskin juga ingin melakukannya.   

Oleh itu, Rasulullah terpaksa menjelaskan dan melarang orang miskin daripada bersedekah. Sedekah hanya dibenarkan apabila segala perbelanjaan diri sendiri dan keluarga dipenuhi. Tidak harus bersedekah sekiranya keperluan diri sendiri tidak mampu dipenuhi. 

Antara tujuan Allah mewujudkan golongan kaya dan fakir miskin supaya antara keduanya dapat hidup saling membantu, saling menggunakan kepentingan dan saling menghormati. Untuk mengekalkan hubungan baik, golongan berkemampuan perlulah membantu golongan fakir dan miskin.

Golongan fakir dan miskin yang mendapat bantuan akan sentiasa menyanjung golongan berada. Malah, mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat melakukan apa yang dikehendaki golongan kaya. 

No comments:

Post a Comment