Monday 7 March 2022

TOK KENALI BELAJAR 22 TAHUN DI MAKKAH

 
Menjelang umurnya kira-kira 18 tahun, Tok Kenali menjejak Tanah Suci Mekah untuk meninggikan pelajaran agamanya.

Pemergian Tok Kenali ke Tanah Suci Mekah adalah semata-mata atas bantuan daripada sahabat dan kenalan beliau di Kota Bharu yang berjumlah kira-kira 50.00 (wang ketika itu) dan sumbangan daripada ibunya cuma 22.00. sahaja.

Kesukaran yang di hadapi Tok Kenali di rantau orang tidak dapat digambarkan lagi. Hampir tujuh bulan beliau di sana tanpa tempat kediaman yang tetap.

Semasa itu beliau menginap di serambi Masjidil Haram, Mekah, dan hanya dapat tidur serta berehat-rehat bila menjelang sesuku malam disebabkan Masjidil Haram merupakan pusat ibadat tawaf, sa’i, sembayang dan sebagainya.

Pakaiannya sederhana, begitu juga tentang pemilihan makanannya untuk menampung kekosongan di waktu pagi dan petang. Memandangkan kedudukan ini, beliau pernah ditugaskan menjadi tukang masak sementara dalam sesuatu perkelahan di wadi (lembahan) dan di pinggir bukit nan tandus.

Sebelum beliau keluar negeri dahulu, beliau telahpun mempunyai pengetahuan-pengetahuan asas dalam pelajaran-pelajaran yang telah dipelajari ketika itu.

Beliau telah pun menguasai pengetahuan bahasa Arab (nahu dan sarafnya) bagi mengikuti setiap segi jurusan pengetahuan agama di masa itu. Perkara-perkara ini adalah melayakkan Tok Kenali untuk menerima dan mengikuti pelajarannya yang sedang berkembang dewasa ini di Tanah Suci Makkah.

Tok Kenali terpaksa belajar mendengar sahaja tanpa kitab. Di samping itu juga beliau terpaksa membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta izin tuan-tuan kedai itu untuk membaca dan menatap kitab-kitab jualannya dalam tempoh yang agak lama dengan cara yang cermat sekali.

Kitab-kitab wakaf yang ada dalam simpanan di Masjid Al-Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah gurunya. Selain itu, Tok Kenali terpaksa pula meminjam kitab-kitab gurunya sendiri. Kerana kemiskinanlah agaknya, membawa Tok Kenali mengharungi lautan ilmu dan kemajuan melebihi kawan-kawannya yang lain.

Jelaslah bahawa Tok Kenali banyak sekali membaca dan menatap kitab-kitab buah tangan ulama dan para failasuf Islam yang telah dan sedang tersebar di dunia Islam dewasa itu.

Beliau juga mempunyai sifat suka bertanya dan mengkaji pelajarannya sebelum pelajaran itu di ajar oleh gurunya dengan mengadakan perbandingan-perbandingan sendiri dan pergalaman sendiri.

Banyak membaca dan banyak membuat kajian adalah merupakan faktor-faktor besar dalam perkembangan ilmu seseorang pelajar atau siswa.

Antara guru-guru di Masjid yang namanya banyak disebut-sebut oleh Tok Kenali ialah Tuan Guru Wan Ahmad atau nama penuhnya Wan Ahmad bin Muhammad Zain yang terkenal sebagai seorang pengarang sesudah nama Syaikh Daud Patani.

Kepada guru inilah Tok Kenali mendapat bimbingan dan bantuan baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun penghidupan. Di samping itu, terdapat beberapa orang guru dari Pattani dan Indonesia yang mungkin mendapat perhatian Tok kenali di samping guru-gurunya yang terdiri daripada orang-orang Arab.

Dalam tahun 1904, Tok Kenali telah melawat Mesir bersama Tuan Guru Wan Ahmad, Nik Mahmud (yang kemudiannya bergelar Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan Ismail Pattani.

Lawatan ke Mesir adalah berbentuk lawatan sambil belajar terutama kerana mengkaji hal-hal perkembangan pelajaran yang berhubung dengan agama Islam di Universiti Al-Azhar dan lain-lain tempat pengajian di sekitar kota Khairah.

Setelah mendalaman ilmu selama 22 tahun, Tok Kenali pulang ke tanah air pada 1909.

Rencana berkaitan;

No comments:

Post a Comment