Dua
tahun kemudian, beliau menjadi guru di Masjid Besar (kemudian dikenali Masjid Muhammadi),
Kota Bharu yang waktu itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di Kelantan,
malahan juga dikenali di Semenanjung sebagai Serambi Mekkah.
Murid-murid
dari seluruh Kelantan telah membanjiri pondok-pondok yang terletak
berderet-deret di sepanjang jalan di kawasan masjid dan di kawasan Kubang Pasu.
Selain
itu, bukan sedikit murid-murid dan pelajar-pelajar dari luar negeri datang yang
menceduk pengetahuan agama daripada guru-guru yang terkenal. Selain daripada
Tok Kenali, mereka belajar pada Tuan Guru Hj. Nik Abdullah, Tuan Guru Hj. Idris
(yang kemudiannya berjawatan Mufti kelantan) dan lain-lain.
Memandang
hak-hak kemasyarakatan di kampung sendiri perlu pula dititik beratkan, maka Tok
Kenali terpaksa pula menetap di kampungnya sendiri iaitu sesudah lima tahun
mengajar di Masjid Besar.
Beliau
menghidupkan kembali Pondok Kenali yang telah ditubuhkan beberapa tahun sebelum
itu. Kepulangan beliau membangunkan Pondok Kenali menyebabkan ia kembali bersemarak
sehingga namanya termasyur ke serata ceruk rantau Semenanjung ini, malah sampai
ke Indonesia (terutama Sumatera) Kemboja, Patani dan lain-lain.
Jumlah
pelajar-pelajar yang menetap di asrama (pondok) meningkat 400 orang suatu
jumlah yang besar dalam pertumbuhan pengajian Islam pada masa itu.
Dalam
menjalankan tugasnya, Tok Kenali menetapkan beberapa buah kitab pelajaran
(teks) dalam berbagai-bagai jurusan, iaitu pengajian Bahasa dan
pengetahuan-pengetahuan agama Islam dalam berbagai-bagai peringkat pelajaran.
Beliau
sendiri banyak mengambil peranan dalam mengembangkan pengetahuan bahasa Arab,
manakala pelajaran-pelajaran lain diperkembangkannya selaras dengan
kehendak-kehendak masyarakat pada waktu itu.
Murid-murid
beliau yang telah matang dalam pengajiannya dilantiknya menjadi kepala telaah
(guru kumpulan) di samping itu, kitab-kitab agama dalam tulisan jawi diajarkan
juga kepada pelajar-pelajar dan orang-orang kampung.
Menerusi
pengajian-pengajian kepada orang-orang dewasa inilah lahirnya cerita-cerita
tauladan yang kadang-kadang menggelikan, sebagai suatu cara untuk menarik perhatian
murid-murid kepada pelajaran yang sedang ditumpukan.
Suatu
hal yang agak luar biasa bahawa dalam masa mengajar itu, Tok Kenali mengajar
tanpa kitab, di hadapannya tiada kitab-kitab pelajaran sedangkan muridnya
mempelajarinya dengan menggunakan kitab. Inilah menunjukkan bahawa Tok Kenali
adalah seorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat.
Kemasyuhuran
Tok Kenali telah menarik ramai pelajar Islam dari serata ceruk semenanjung.
Antara mereka ini ada yang telahpun mempunyai kematangan dalam pengetahuan agama
Islam datang untuk mengenal wajah dan mengikuti sebahagian pelajaran yang
diajar oleh Tok Kenali.
Antara
mereka ada yang datang kira-kira seminggu, sebulan, tiga atau empat tahun
seterusnya. Ini bergantung kepada keadaan masing-masing, sebab di antara mereka
ada yang sudahpun bekerja sebagai guru agama, kadi atau sebagainya.
Untuk
meminta Tok Kenali membaca kitab, cukuplah dengan meminta izin beliau di mana
si peminatnya sendiri yang akan disuruh membacanya di hadapan kumpulan
pelajar-pelajar. Sesudah itu Tok Kenali memainkan peranan memberi kefahaman dan
mensyarahkan isi kitab itu, juga memberi peluang-peluang bertanya.
Setelah
kira-kira 65 tahun menyedut udara dunia ini, maka Tok Kenali pun dipanggil
menghadap Allah, kekasihnya iaitu pada Ahad 19 November 1933, berikutan suatu
penyakit di kakinya.
Hari
wafatnya; dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan disembahyang
jenazahnya lebih daripada 1,000 orang.
Tok
Kenali dikebumikan di perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tok
Kenali, Kilometer 5 Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, tidak jauh dari Istana
negeri.
Tok
Kenali adalah di antara orang-orang yang memikul tugas dan jawatan terpenting
dalam perkembangan pengajian Islam dan pertubuhan kebudayaan timur yang
berteraskan Islam di negeri Kelantan.
Antara
jawaan atau sumbangan Tok Kenali:
-
Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan (7 Disember 1951-19 November 1933).
-
Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian llmu Agama) yang bertanggungjawab
memimpin Madrasah Muhammadiyyah dan penerbitan buku
teks.
-
Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh (lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan
dikeluarkan setiap Isnin, dijual 10 sen senaskah).
-
Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
-
Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah – kumpulan ilmiah membincangkan isu agama dan semasa.
-
Penterjemah kitab dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.
-
Guru agama di Masjid Besar (Masjid Muhammadi) Kota Bharu.
-
Penasihat agama kepada Datuk Perdana Kelantan (Menteri Besar).
Rencana berkaitan;
No comments:
Post a Comment