Monday, 14 March 2022

JANGAN PANDANG ATAS UNTUK KATA KAMU DI BAWAH

Rezeki kita terbeza. Ada yang dilebihkan dari segi kekayaan, pangkat, keluarga, kesihatan, rakan-rakan yang baik dan sebagainya. Dan sesungguhnya, Allah SWT telah menyediakan rezeki setiap makhluk yang bernyawa.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tidak ada suatu binatang melata (makhluk yang bernyawa) pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya, semuanya tertulis di dalam Kitab yang nyata (Luh mahfuz)". - (Surah Hud, ayat 6 )

Jadi, janganlah kita berasa sedih dengan rezeki yang diperoleh. Bersyukurlah apa yang diterima.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis Ini bukanlah membawa maksud agar kita tidak berusaha hanya duduk dan berserah sahaja, sebaliknya lebih kepada memotivasikan diri kita agar mengikat diri ini dengan taqdir dan tawakkal kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang sentiasa bersyukur di atas nikmat Allah, agar diri tidak bersedih dan kecewa takkala segala usaha dan penat lelah tidak berjaya.

Teruskan perjalanan kerana di bawah sana ramai lagi orang sedang berusaha.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga mereka sendiri mengubahnya." (Surah ar-Rad, ayat 11).

Islam begitu menggalakkan usaha mencari rezeki dan ada diceritakan Sayidina Umar al-Khattab pernah memarahi seorang pemuda sehingga beliau menghentakkan tongkatnya.

Puncanya kerana lelaki itu duduk sahaja di masjid pada waktu bekerja. Kata Umar, “Ini waktu bekerja. Mengapa kamu duduk-duduk di masjid? Jangan sangka langit akan menurunkan hujan emas!” 

No comments:

Post a Comment