Thursday, 1 December 2016

Dosa di media sosial

Islam menggalakkan penggunaan teknologi, termasuk media sosial. Banyak manfaat boleh diperoleh melalui penggunaan media sosial, terutama mendapat maklumat dan merapatkan hubungan. Namun, pengguna media sosial perlu mengikut adab dan akhlak Islam. Melakukan perkara yang baik dan menjauhkan perbuatan buruk. 

Biarpun di media sosial dan dunia maya, apa saja perbuatan kita dianggap seperti dilakukan di alam nyata atau bersemuka. Contohnya perbuatan mengumpat, berbohong, memfitnah dalam media sosial dianggap sama kesalahnnya perbuatan itu dilakukan secara nyata. 

Oleh itu berhati-hati dalam berkongsi maklumat di alam maya. Jika perbuatan nyata dilakukan menggunakan suara dan tindakan fizikal, di alam maya kita menggunakan kemudahan papan kekunci dan tetikus komputer dan gajet. 

Kita perlu berhati-hati kerana kecanggihan alam maya membolehkan fitnah, mengumbat, menipu dan perbuatan lain boleh dilakukan di mana-mana saja dan bila-bila masa. Kita boleh lakukan ketika berseorangan dan beramai-ramai. 

Perbuatan tidak elok yang diposkan atau status di media sosial tersebar lebih pantas dan meluas dengan memberi kesan yang maksimum. Dahulu, kesan atau implikasi orang mengumpat mungkin setakat mereka yang berada di sekeliling sahaja dan sebarannya agak perlahan.  

Hari ini, sekali kita poskan kenyataan fitnah, umpat dan pembohongan, semua pengikut dapat membacanya dan kemudian dikongsi dengan orang lain. Kemudaratannya besar sekali. 

Mengguna media sosial dari segi prinsipnya harus kerana sifatnya tertakluk kepada penggunanya bukan kerana zatnya. 

Namun jika digunakan ke arah keburukan, maka hukumnya menjadi haram. Kaedah fikah ini sama juga kepada hal-hal lain. Ini kerana haram dan harusnya bukan tertakluk kepada sifatnya.  

Berlainan dengan daging atau unsur babi yang diharamkan kerana sifatnya. Jadi, haram mutlak untuk menggunakan sumber babi walaupun untuk mendapat manfaat daripadanya. 

Pada asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga hukumnya menulis. Jika mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu haram hukumnya dengan lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel, WhatsApp, telegram dan sebagainya juga haram hukumnya. 

Kita tidak perlu ada ilmu fikah yang berbeza untuk menetapkan hukum itu kerana apa sahaja yang haram dibicarakan dengan lidah, maka hukumnya haram juga disebarkan melalui penulisan atau di internet. 

Kita perlu ingat dan berhati-hati ada kala apa yang dituturkan atau ditulis yang disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi Allah SWT ia amat besar sama ada diredai atau dimurkai. 

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda SAW bersabda: "Seorang yang menuturkan satu perkataan yang diredai oleh Allah SWT dengan menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia suatu yang amat diredai-Nya, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam syurga; manakala seorang lain menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun menimbulkan kemurkaan Allah SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam neraka." (Riwayat Bukhari) 

Media sosial sepatutnya digunakan sebagai media dakwah kerana ia medium paling ampuh untuk menerangkan mengenai Islam, mendekatkan masyarakat kepada ajaran Islam serta memperbetulkan salah faham berkaitan Islam.

Pengguna internet di Malaysia dianggarkan kira-kira 20 juta orang dengan 62 peratus mengguna media sosial. 

Hampir lima jam daripada masa mereka mengguna telefon pintar untuk tujuan mencapai internet. Bayangkan jika kita guna kesempatan itu untuk mengakses begitu ramai pengguna.

Apa juga berita yang dibaca di media sosial, anggaplah ia maklumat mentah yang perlu diproses untuk disahkan terlebih dahulu.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita menyiasat terlebih dahulu maklumat yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya.

Ini selaras Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6) 

Hari ini seolah menjadi aliran masyarakat untuk berkongsi atau memanjangkan apa sahaja maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu menyiasat kebenarannya.

Jika apa yang dikongsikan itu adalah fitnah, maka kita yang turut memanjangkan maklumat itu turut bersekongkol memfitnah dan terjerumus dalam dosa. 

Ramai yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan berita (breaking news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan palsu.

Gambar bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka cipta bagi menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta. 

Hanya kekuatan iman dan keinsafan bahawa akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT sahajalah yang akan menjadi benteng berakhlak mulia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tiadalah seseorang itu mengucapkan apa-apa pun melainkan di sisinya ada yang menulis." (Surah Qaf, ayat 18) 

No comments:

Post a Comment