Manusia
hidup dalam masyarakat atau berkelompok yang mana akan ada di antara mereka
dipilih sebagai pemimpin. Kewujudan pimpinan penting sebagai tempat
rujukan dan menentukan sesuatu yang diperlukan oleh masyarakat.
Islam amat mementingkan aspek kepimpinan. Tanpa wujudnya pemimpin, kepentingan rakyat tidak akan mampu ditadbir dengan baik. Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan yang kuat akan menindas kaum yang lemah.
Justeru, urusan kepimpinan merupakan salah satu dasar utama dalam Islam. Maka itu, jika ada dua orang dalam satu kelompok atau kumpulan, maka salah satu perlu dilantik sebagai pemimpin. Dalam sebuah keluarga, suami menjadi pemimpin kepada isteri, biarpun mereka hanya berdua.
Firman Allah SWT: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa". (Surah an-Nur, ayat 55)
Lantaran itu Islam telah meletakkan beberapa dasar yang penting tentang bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin yang berkuasa demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat di sesebuah negara Islam. Tidak ada ertinya jika ada pemimpin, tetapi tidak dipatuhi atau ditaati.
Justeru, kepentingan mentaati pemimpin dijelaskan atau dirangkaikan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu". (Surah an-Nisa, ayat 59)
Namun dalam memberi ketaatan kepada pemimpin ada batasannya. Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang berunsur maksiat atau ingkar kepada perintah Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat". (Hadis riwayat Bukhari).
Namun sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, yang diingkari hanyalah perbuatan tersebut akan tetapi kesetiaan kepada pemimpin itu tetap perlu diteruskan. Ketaatan terhadap pemimpin berkenaan perlu diteruskan dalam hal-hal lain.
Sabda Rasulullah SAW: "Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)". - (Hadis riwayat Muslim)
Jelas sekali ketaatan terhadap pemimpin satu perkara penting. Ia bagi memastikan urusan kepimpinan yang melibatkan masyarakat, lebih-lebih dalam urusan keselamatan berjalan lancar.
Sekiranya pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara yang baik berbekalkan niat hanya untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif-motif yang lain.
Di dalam Musnad Ahmad telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah menyenaraikan tiga perkara yang Allah SWT redai untuk diamalkan bagi hamba-hamba-Nya yang mana salah satu darinya adalah: "Kalian menasihati orang-orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan kalian."
Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka di atas pentas-pentas, dengan kata-kata berbentuk cacian dan menghina atau dengan tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin tersebut.
Hendaklah kita sedari bahawa pemimpin adalah manusia biasa yang adakalanya melakukan kesilapan dalam menguruskan pentadbiran sesebuah negara.
Namun sekiranya seseorang pemimpin itu melakukan sesuatu kesilapan ia bukan bererti kita dibenarkan untuk mencelanya secara terbuka tetapi hendaklah kita menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara yang penuh hikmah.
Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat berpeluang menyingkir dan mengangkat seseorang pemimpin melalui pilihanraya. Itulah cara yang telah ditetapkan di Malaysia dalam urusan memilih pemimpin.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umatnya tentang cara untuk menasihati pemimpin melalui sabda Baginda: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat tersebut) maka itulah yang diharap-harapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat tersebut) telah melaksanakan tanggungjawabnya". - (Hadis riwayat Ahmad)
Menerusi prinsip itu bukan bermakna umat Islam hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin.
Terdapat saluran yang boleh digunakan untuk menghalang seseorang pemimpin daripada melakukan kesalahan. Namun, yang penting kesalahan itu biarlah benar-benar dilakukan dan bukannya hanya fitnah atau persepsi semata-mata.
Kemaksiatan serta kezaliman tersebut tetap perlu diingkari. Maka diperjelaskan secara umum kepada masyarakat bahawa perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan syarak dan terlarang.
Hanya pengingkaran terhadap kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin itu tetap perlu mengikut tatacara yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana telah diperjelaskan.
Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi telah meramalkan bahawa pada masa mendatang akan wujud pemimpin yang mentadbir dengan tidak mengikuti ajaran-ajaran baginda namun baginda tetap menyuruh umat Islam untuk taat kepada pemimpin tersebut selagi dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda-tanda yang jelas bahawa dia telah kafir.
Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia telah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Para sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (sahaja) dengan pedang? Baginda menjawab: "Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian". - (Hadis riwayat Muslim)
Mentaati pemimpin penting demi mencapai kestabilan politik dan kesatuan umat yang merupakan faktor penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni musuh. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan musuh-musuh Allah.
No comments:
Post a Comment