Zakat yang dikeluarkan oleh individu mesti diserahkan kepada golongan
asnaf. Jika zakat
dikeluarkan kepada selain daripada golongan asnaf, maka ia tidak dianggap
zakat.
Sebaliknya, ia dipanggil sedekah atau hadiah. Jika perkara itu berlaku, sedangkan ia
sebenarnya diniatkan untuk melunaskan zakat, maka jumlah yang tertentu itu
mesti dikeluarkan sekali lagi dan diserahkan kepada asnaf.
Adapun yang termasuk golongan asnaf terdapat lapan iaitu fakir, miskin,
amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir.
Golongan yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan perubatan pada asasnya
tidak termasuk dalam asnaf yang dinyatakan di atas.
Namun, para ulama telah memasukkan golongan yang memerlukan bantuan untuk kos
rawatan perubatan dalam kumpulan asnaf al-gharimi iaitu orang yang berhutang.
Contohnya, perkara ini dapat dilihat dalam senarai dikeluarkan Unit Zakat,
Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang mana dalam asnaf al-gharimi
menyenaraikan golongan yang memerlukan bantuan kos rawatan perubatan, selain
golongan memerlukan bantuan yuran pengajian dan bayaran keperluan darurah.
Terdapat tiga keperluan mengapa golongan memerlukan bantuan kos perubatan
termasuk dalam golongan orang yang berhutang atau al-gharimi.
Pertamanya, kos rawatan sekarang ini telah meningkat, terutama yang
melibatkan penyakit kronik. Sekarang
tidak lagi menjadi perkara mengejutkan apabila kos perubatan sesetengah
penyakit meningkat hingga ratusan ribu ringgit.
Manakala kos rawatan perubatan sekitar puluhan ribu ringgit sudah menjadi
perkara lumrah. Ini apabila
melibatkan rawatan yang memerlukan pembedahan melibatkan pakar dan teknologi
yang tinggi.
Contohnya kos rawatan perubatan untuk penyakit jantung kini mencecah
puluhan ribu ringgit. Itu kos rawatan di dalam negeri dan mendapat subsidi
kerajaan. Jumlah lebih
tinggi jika diadakan pembedahan di luar negara.
Jumlah puluhan ribu ini tentu tidak mampu ditanggung oleh golongan
miskin. Namun, dasar
hospital kerajaan memberi peluang rawatan dilakukan dahulu, kemudian baru
bayar.
Ini bermakna kos rawatan itu dikira hutang yang perlu mereka jelaskan
selepas membuat rawatan.
Maka sebab itu, golongan itu dikira golongan berhutang dan layak mendapat
bantuan zakat.
Keduanya, ia masih berkisar kepada kos rawatan yang tinggi, tetapi rawatan
belum dilakukan lagi. Ini
bermakna secara konsepnya pesakit masih dikira belum berhutang kerana belum mendapat
rawatan.
Namun, pihak hospital telah menyatakan jumlah kos yang akan dikenakan jika
rawatan itu dilakukan. Pihak
hospital (biasanya hospital swasta) tidak akan melakukan rawatan selagi jumlah
yang ditetapkan tidak dijelaskan, sekurang-kurangnya jumlah minima yang
ditetapkan.
Jadi, mengambil kira kepada keadaan tersebut, pesakit itu sudah boleh
dikira 'berhutang' dengan pihak hospital. Maka berdasarkan kepada keadaan
tersebut, mereka dikira layak dikategorikan sebagai penghutang.
Justeru itu, golongan ini layak untuk mendapat bantuan wang zakat untuk
tujuan membiayai kos rawatan perubatan.
Situasi ketiga pula ialah golongan yang layak menerima zakat di bawah
kategori orang berhutang untuk tujuan rawatan ialah keadaan miskin yang mana
dalam keadaan biasa mereka sudah berada dalam keadaan berhutang.
Jadi, dalam keadaan sakit, tentulah lebih banyak wang diperlukan untuk
tujuan rawatan. Maka mereka
layak mendapat sumbangan wang zakat untuk tujuan menampung kos rawatan
perubatan.
Keadaan sakit juga menyebabkan mereka yang sepetutnya mencari rezeki tidak
mampu untuk bekerja. Ini
berdasarkan kepada dua situasi, pertamanya jika yang mengalami penyakit itu
sendiri adalah pencari rezeki.
Keadaan penyakit yang kronik menyebabkan mereka tidak mampu melakukan tugas
rutin. Keadaan kedua, ialah
di mana pencari rezeki tidak dapat meneruskan tugas rutin mencari rezeki kerana
terpaksa mengurus atau menjaga pesakit.
Tugas ini biasanya dilakukan oleh ibu yang terpaksa menjaga anak yang
mengalami penyakit kronik.
Dengan kata lain, dalam keadaan miskin dan ditambah pula sukar untuk
bekerja atau terpaksa berhenti kerja, hingga terpaksa menanggung hutang, maka
selayaknya golongan ini mendapat bantuan zakat untuk menampung kos rawatan.
No comments:
Post a Comment