Thursday 1 December 2016

Cara Gugur Jawatan Perdana Menteri

Kuasa Yang Dipertuan Agung pecat Perdana Menteri? Adakah Tuanku ada kuasa berdasarkan peruntukan Perlembagaan. Adakah cara untuk pecat Perdana Menteri?  

Perkara 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.

Perkara 40 pula memperuntukkan, biarpun pada menjalankan tugas Yang Dipertuan Agong  bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:
1. Melantik seorang Perdana Menteri.
2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Walaupun Yang diPertuan Agong mempunyai kuasa melantik seorang perdana menteri, tetapi Baginda tidak mempunyai kuasa untuk memecat atau melucutkan jawatan perdana menteri.

Baginda mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri yang pada pendapat Baginda boleh mendapat sokongan sekurang-kurangnya satu perdua majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pembuktian sokongan itu sama ada dinyatakan oleh parti yang mendapat majoriti lebih satu perdua, atau orang dipilih oleh gabungan parti-parti atau melalui perakuan ahli-ahli Dewan Rakyat memberi sokongan kepada individu berkenaan.  

Jawatan perdana menteri gugur melalui empat cara

Pertamanya perdana menteri sendiri meletak jawatan tersebut pada bila-bila masa yang dikehendakinya. 

Keduanya ialah apabila perdana menteri hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat disebabkan oleh hukuman mahkamah (setahun penjara atau denda RM2000 atau kedua-duanya sekali), gila atau muflis.

Ketiga ialah apabila Dewan Rakyat dibubarkan. Bagaimanapun, perdana menteri boleh mengekalkan jawatannya sehingga perdana menteri baru dilantik selepas pilihanraya umum diadakan.

Keempat, apabila mendapat undi tidak percaya sekurang-kurangnya satu perdua di kalangan ahli Dewan Rakyat agar dia diberhentikan atau meletak jawatan.  Ia juga bermaksud perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya satu perdua ahli Dewan Rakyat sepertimana membolehkan dia dilantik sebagai perdana menteri.

Berlainan pula dengan kuasa untuk memecat timbalan perdana menteri dan menteri. Perkara 43 Fasal 5 menjelaskan kuasa Yang diPertuan Agong boleh membatalkan perlantikan menteri, yang termasuk jawatan timbalan perdana menteri. 

No comments:

Post a Comment