Perkara
ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Barangsiapa terpaksa melakukannya,
sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah ia
berdosa. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani.” (Surah
al-Baqarah, ayat 173).
Takrif
darurat diukur kepada keperluan semasa ketika dihadapi. Sebagai contohnya, bagi
menentukan darurat berkaitan ketiadaan sumber makanan bagi membolehkan memakan
makanan yang haram dimakan pada kebiasannya, hendaklah ditentukan berkaitan
kemampuan diri menahan dari lapar.
Selagi
diri mampu menahan lapar dan masih ada tenaga untuk menahan diri daripada
perkara haram, maka wajib menangguhkan dahulu daripada memakan makanan haram
itu. Setelah telah tidak dapat menahan lapar atau dikhuatri akan mendatangkan
mudarat jika tidak makan, maka harus pada ketika dia makam makanan diharamkan
pada kebiasannya, tetapi hendaklah sekadar hilang rasa lapar dan bukannya
sehingga rasa kenyang.
Ketika
melakukan sesuatu pada masa darurat juga hendaklah ditetapkan di dalam hati
bahawa perbuatan itu bukan perkara disukai dilakukan dan tidak pula dilakukan
melebihi apa yang diperlukan memenuhi tuntutan darurat itu.
Tidak
boleh dianggap sesuatu perkara darurat jika dalam hal berkaitan mendapat
kemewahan hidup, kesenangan, keuntungan atau pengabaian tanggungjawab yang
sepatutnya boleh dilaksanakan.
Dengan
kata lain, memilih perkara mudah bukan bermakna menggalakkan sikap malas, tidak
berusaha bersungguh-sungguh atau mempermain-mainkan hukum agama. Apabila yang
jelas tentang mudah dan sederhana dalam Islam ialah tidak memaksa melakukan
perkara tidak mampu dilakukan dan mendatangkan mudarat jika dilaksanakan.
Sesungguhnya
Islam amat mementingkan kualiti dan kuantiti sekali gus. Sebab itu setiap
perkara dilakukan mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sesiapa sengaja
melakukan perkara dengan sambil lewa atau mencuri tulang amat dikutuk.
Allah
memberi balasan terhadap manusia bergantung kepada apabila yang dilakukan. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya
bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang
melainkan (balasan) apa yang diusahakan.” (Surah an-Najm, ayat 39).
Setiap
orang hendaklah berusaha melakukan kebaikan dengan sesungguh hati dan perasaan yang
tenang, ikhlas, jujur dan mengharapkan keredaan Allah. Sesuatu amalan yang
dilakukan dengan niat mengharapkan keredaan Allah dan mendatangkan kebaikan
adalah dikategorikan sebagai ibadat.
Oleh
itu kita jangan menyukarkan keadaan dengan menokok tambah hukum tanpa melihat
dan meneliti perkara yang sebenarnya. Sekiranya umat Islam ingin maju, dan
itulah sebenarnya perintah Allah, setiap individu Muslim perlu mendalami dan
memahami Islam dengan fikiran terbuka.
Ajaran
Islam sebenarnya mudah, tetapi ada individu yang meletakkan dalam keadaan
sukar, maka sukarlah jadinya.
No comments:
Post a Comment