Definisi parodi mengikut Kamus Dewan
Edisi Keempat adalah karya sastera, seni dan lain-lain yang meniru gaya
pengarang, penciptanya dengan cara melucukan atau menyindir.
Ia bukanlah budaya masyarakat Islam,
sebaliknya berasal dari Barat sebagai salah satu cara mereka meluahkan perasaan
tanpa ada batasan akhlak seperti mana yang dianjurkan Islam.
Umat Islam sepatutnya sedar segala
perbuatan yang dilakukan ada ganjaran dan azab daripada Allah SWT.
Justeru, penting kita menepati
landasan al-Quran dan sunah termasuk dalam hal meluahkan perasaan, hatta dengan
alasan sekadar untuk berhibur.
Pandangan Islam dalam hal berjenaka
secara umum adalah harus, bagaimanapun ia menjadi haram apabila jenaka yang
dibuat itu menjatuhkan maruah seseorang.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan
kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada
mereka." (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Umat Islam perlu berhati-hati dalam
isu berkaitan parodi kerana ia bukan hanya bersangkut-paut dengan orang melakukan
aksi itu, tempias juga terkena kepada individu yang menonton serta pihak yang
menjadi mangsa.
Dosa besar bagi orang yang melakukan
lawak parodi jika ia mengaibkan dan tidak menjadi kesalahan yang menonton
sekali sahaja atau atas sebab tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi viral.
Jika ditonton berulang kali dan terus
tertawa, maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana dengan sengaja
mempersendakan. Lebih parah jika ia dikongsi pula kepada rakan lain.
Islam mengajar kita untuk tidak
memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan ajaran agama
termasuk melakukan parodi sia-sia.
Gejala menghasilkan parodi negatif ini
perlu dibendung dengan memperkenalkan kaedah lain seperti menghasilkan video
saduran lagu popular menggunakan lirik bermanfaat, selain memperbanyakkan video
tazkirah iaitu teguran kepada parodi asal secara berhikmah.
No comments:
Post a Comment