Abdullah Abdul Kadir Munshi atau lebih
dikenali Abdullah Munshi (1796-1854), seorang penulis
kelahiran Melaka. Beliau disegani sebagai antara pelopor dalam bidang
persuratan bahasa Melayu dan kewartawanan. Beliau diberi jolokan sebagai Bapa
Sastera Melayu Moden. Beliau diberikan gelaran “Munshi” atas
kebijaksanaannya. Perkataan munshi adalah bahasa Parsi yang bermaksud "pendidik"
atau "guru".
Karya besar Abdullah Munshi ialah Kisah
Pelayaran Abdullah. Ia menceritakan kisah pelayarannya ke Kelantan. Dalam
pelayaran itu Abdullah Munshi telah sempat juga singgah di Pahang (Pekan) dan
Terengganu (Kuala Terengganu).
Sebagai seorang etnografer dia telah
mencatatkan dengan detail apa yang dapat diperhatikan di ketiga-tiga buah
negeri di Pantai Timur ini.
Catatannya ini menarik jika kita bandingkan
perbezaan dan persamaan pandangan tersebut dengan apa yang ditulis oleh Hugh
Clifford.
Mengikut Abdullah, negeri Pahang seperti
sebuah dusun, penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Tidak terdapat
sebarang pasar, kedai atau lorong untuk orang ramai berjalan kaki.
Abdullah percaya negeri Pahang kaya dengan
hutan sebab penduduknya malas. Sekiranya hutan-hutan ini ditanam dengan
pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil usaha tersebut pasti berjaya kerana
tanah Pahang subur.
Mengikut pemerhatian Abdullah, dari 100
orang penduduknya hanya 10 orang sahaja yang nampak berkerja. Yang lainnya,
sama ada lalai, miskin atau suka berbuat jahat (mungkin maksud Abdullah,
mencuri atau menjadi samseng kampung).
Setiap lelaki Pahang ada sekurang-kurangnya
4-5 jenis senjata yang tidak bercerai dari tubuhnya. Tabiat lelaki Pahang ialah
suka melawar sahaja. Gemar memakai seluar dan kain-baju yang bagus-bagus sahaja
tetapi malas bekerja atau tidak mahu berusaha.
Kebanyakan mereka kurus kering kerana
mereka juga suka menghisap madat atau candu.
Jelasnya ramai orang Melayu Pahang yang
ketagih candu. Rumah mereka rumah atap. Bergantung kepada taraf hidup, rumah mereka
ada yang kecil dan ada yang besar.
Kesemua rumah tersebut didirikan di atas
darat. Namun demikian, kawasan keliling rumah mereka semak-samun. Kampung orang
Melayu Pahang tidak tersusun kerana rumah-rumah yang didirikan tanpa
perancangan dan peraturan. Terdapat sebuah rumah di sini dan sebuah rumah di
sana. Ada rumah yang dibina dalam hutan dan yang didirikan di tepi pantai.
Ada kawasan rumah yang dipagar dan ada yang
tidak dan dibiarkan begitu sahaja. Kawasan di bawah rumah selalunya kotor. Di
bawah rumah, biasanya di bawah rumah dapur akan terdapat kelimbahan atau lopak
air yang bertakung dan menjadi dalam apabila dicakar dan disudu oleh ayam dan
itik yang mencari sisa-sisa makanan yang dibuang ke dalamnya selepas pinggan
mangkuk makan dibasuh.
Kawasan ini dan juga rumah berbau busuk
kerana tidak terdapat longkang untuk mengalirkan air yang bertakung itu.
Di bawah rumah juga terdapat banyak sampah
sarap yang disapu dari atas rumah. Setiap malam unggun api akan dipasang di
bawah rumah untuk menghalau nyamuk. Asap sering naik ke rumah menyebabkan mata
menjadi pedih dan berair. Pakaian di atas rumah juga akan menjadi hitam
disebabkan asap dan jelaga.
Tanaman yang banyak ditanam di sekeliling
rumah ialah pokok nyiur dan pinang. Harga 8 buah nyiur ialah seringgit.
Terdapat juga sayur-sayuran seperti keladi,
ubi, keledek, tebu, pisang dijual tetapi hasil kebun ini datangnya dari kawasan
hulu negeri.
Orang Pahang juga memelihara ternakan
seperti kambing, kerbau, lembu, ayam dan itik.
Jelasnya, cara hidup orang Pahang adalah
cara hidup masyarakat tani atau masyarakat kampung yang di samping bercucuk
tanam dan berternak untuk sara diri juga menghasilkan tanaman kontan.
Oleh kerana kawasan persekitaran kampung
kotor dan tidak tersusun cara pembuangan sampahnya, maka kawasan ini menjadi
kawasan kegemaran gagak yang tertarik dengan kekotoran dan bangkai-bangkai yang
bersepah.
Hasil dagangan Pahang yang terbesar ialah
emas dan timah. Ada juga penduduk yang menghasilkan sutera. Ada juga antara
mereka yang ke hutan mencari kayu kemuning, damar dan rotan. Wang yang
digunakan di Pahang dikenali sebagai tampang. 16 tampang = 1 ringgit.
Dari segi sistem sosialnya, terdapat ramai
golongan Sayid (Syed) di Pahang. Kononnya mereka adalah keturunan nabi. Maka
cucu-cicit mereka juga memakai gelaran Syed pada awal nama mereka. Di Pahang
terdapat juga golongan yang dikenali sebagai golongan Sheikh. Gelaran ini juga
dipakai turun-temurun. Bahasa yang digunakan oleh orang ramai apabila bercakap
dengan golongan ini serupa seperti mereka bercakap dengan golongan Raja-Raja.
Mereka bertengku dan berhamba Tengku.
Pekerjaan golongan ini berniaga. Di kalangan ini lebih ramai yang kaya dari
yang miskin. Rumah-rumah mereka lebih baik dan cantik dari rumah orang Melayu.
Nampak jelas bahawa golongan ini wujud sebagai satu kelas yang nyata. Mereka
mengamalkan cara hidup dan status yang jauh lebih baik dari rakyat Pahang yang
lain. Penempatan atau perkampungan mereka jauh berbeza dari perkampungan orang
Melayu.
Mereka tinggal di tepi pantai dan di
kawasan perkampungan itu terdapat sebuah masjid. Anak-anak mereka dihantar
mengaji di masjid tersebut walaupun mereka tidak faham tentang apa yang mereka
baca. Namun demikian kebanyakan rakyat biasa tidak tahu membaca dan sekiranya
keadaan ini dibiarkan nescaya akan merosakkan generasi orang Melayu yang akan
datang.
Di Pahang, seperti di negeri-negeri Melayu
yang lain, terdapat juga golongan istana atau Raja yang merupakan pemerintah
negeri. Mengikut Abdullah, anak-anak Raja Pahang menaruh berpuluh-puluh hamba
Raja.
Hamba Raja wujud apabila orang yang
bersalah melakukan jenayah bunuh mengadap Sultan dan di samping memohon maaf di
atas perbuatannya menyerahkan juga dirinya kepada sultan untuk dijadikan hamba
Raja. Status dan kedudukan hamba raja tinggi dan ditakuti oleh orang ramai.
Di dalam kebanyakan hal mereka menjadi
tukang pungut hutang dan tukang pukul anak-anak raja. Mereka bolehlah dianggap
sebagai samsing kampung. Mereka sering digunakan oleh pihak raja dan
anak-anaknya untuk mengganggu anak-isteri orang.
Oleh kerana mereka dilindungi raja maka
ditakuti dan boleh melakukan apa-apa sewenang-wenangnya. Sekiranya mereka
dibunuh sultan akan menuntut tujuh nyawa kerabat orang yang membunuh hamba raja
tadi.
Terdapat dua cara hukuman bunuh
dilaksanakan di Pahang, iaitu cara sula dan salang. Sula dilaksanakan dengan
menikam dubur pesalah dengan pucuk nipah hingga sampat ke perutnya.
Salang pula ialah membunuh dengan
menggunakan keris panjang yang dikenali juga sebagai keris penyalang. Keris
tersebut digunakan untuk menikam jantung melalui tulang selangka, iaitu kawasan
di antara bahu dengan leher sebelah kiri. Keris akan dicabut dan kawasan luka
itu akan ditekap dengan kain untuk menghalang darah dari memancut.
Rakyat Pahang dikatakan takut hendak
mengubah cara hidup mereka, terutama taasub kepada golongan raja kerana
takutkan daulat Raja. Abdullah mengimbas semula tentang negeri Pahang. Dahulu
Pahang masyhur tetapi sekarang negeri tersebut kesunyian dan miskin.
Kemiskinannya bukanlah kerana ia diserang
dan ditawan musuh dari luar atau disebabkan oleh perompak dan penyamun yang
mengganggu dan menjejaskan perniagaannya ataupun oleh kerana tanahnya yang
tandus kerana terbukti hutannya hidup subur menghijau. Bagi Abdullah, Pahang
miskin kerana kezaliman rajanya.
Rakyat takut dan juga tidak mahu berusaha
dan menghasilkan lebihan untuk simpanan kerana akhirnya akan diminta oleh raja.
Kalau tidak diberi akan dirampasnya juga. Maka keadaan ini mematahkan semangat
rakyat untuk membuat harta, menabung dan sebagainya.
Di Terengganu (Kuala Terengganu) Abdullah
menerangkan terdapat pasar yang dibuka pada waktu petang. Raja menduduki tempat
dan hiraki yang istimewa dalam masyarakat Melayu.
Apabila melalui istana dan perkampungan
raja, rakyat biasa dilarang memakai payung sama sekali. Golongan rakyat juga
dilarang memakai baju kasa, kasut dan pakaian serba kuning.
Abdullah menganggap larangan ini sebagai
kolot dan bodoh. Dia bertanya, mengapa tidak dilarang burung terbang di atas
istana, atau nyamuk memakan darah raja atau pijat-pijat menggigit raja dan
sebagainya.
Sebaliknya mengapa tidak dilarang penjualan
dan penghisapan madat atau candu yang berleluasa bukan sahaja di kalangan
rakyat tetapi juga raja. Sepatutnya raja menjadi contoh teladan untuk rakyat
tetapi di Pahang dan Terengganu sebaliknya berlaku.
Golongan raja tidak menampakkan ciri-ciri
orang yang dianggap berbangsa, bangsawan dan berdarjat mulia. Jadi jika
golongan raja tidak berakhlak mulia bagaimanakah pula dengan rakyat biasa?
Orang yang menjadi penagih madat jarang
mementingkan kebersihan dirinya. Pakaian mereka kotor dan berdaki.
Kadang-kadang pakaian tersebut 4-5 bulan tidak dibasuh. Baju mereka penuh
dengan tuma. Kebanyakan kanak-kanak Terengganu tidak bersekolah. Mereka asyik
bermain-main sahaja sepanjang hari.
Jalan-jalan dan lorong-lorong di sekitar
pekan didapati kotor dan penuh dengan sampah sarap. Jalan dan lorong tersebut
juga sering becak. Perkampungan dan rumah mereka congkah-mangkih, iaitu tidak
tersusun dan tidak sama.
Masing-masing penghuni membina rumah ikut
suka hati. Ada rumah yang membelakangi jalan ada yang mengiring jalan dan
terdapat juga lorong-lorong yang sempit yang hanya muat untuk seorang lalu
sahaja. Rumah dipagar tetapi pagar yang dibina bengkang-bengkok. Atap rumah pula
dipasang tinggi.
Keliling rumah kotor dan di bawah rumah
terdapat banyak sampah sarap. Di bawah rumah dapur pula terdapat kelimbahan.
Kebanyakan rumah terdapat banyak sabut yang diperun pada waktu malam untuk
menghalau nyamuk. Di kawasan kampung ditanam banyak pokok kelapa. Pada
tiap-tiap kampung terdapat sebuah madrasah.
Di pasar terdapat ramai peniaga
barang-barang makanan tetapi kesemua mereka perempuan. Barangan makanan yang dijual
adalah penganan, cucur, pisang rebus, keladi rebus, penganan talan dan
sebagainya.
Terdapat perbezaan di antara rumah orang
kaya dengan orang miskin. Rumah orang kaya dibuat dari batu dan bangunan rumah
adalah seperti rumah orang Cina. Rumah tersebut diberi tembok tetapi dinding
tembok penuh dengan kesan ludah sirih dan juga lumut. Di Terengganu juga banyak
ditanam pokok limau yang dijual di pasar. Lembu, kambing dan biri-biri murah
harganya.
Harga seekor kambing seringgit. Walaupun
daging murah orang ramai tidak suka memakannya. Sebaliknya mereka lebih suka
makan makanan yang busuk-busuk seperti tempoyak, pekasam, petai, jering, ulam
dan sebagainya.
Di Terengganu juga tiada tempat atau
sekolah orang mengajar Bahasa Melayu tetapi terdapat 6/7 buah rumah tempat
kanak-kanak belajar mengaji.
Abdullah menceritakan juga tentang dialek
Terengganu di mana perkataan yang berakhir dengan n dibunyikan ng. Contohnya,
ikan = ikang,
tuan = tuang,
bulan = bulang,
makan = makang
Walau bagaimanapun apabila mereka menyurat
betul pula ejaannya.
Di Terengganu, raja dan hamba raja
bermaharajalela. Setiap orang dikatakan ada 4-5 campak buang (lembing?),
sebilah keris dan sebilah chenangkas (pedang panjang). Mereka tidak bekerja
kecuali memikul senjta-senjata ini ke hulu ke hilir.
Orang lelakinya malas tetapi orang
perempuannya rajin-rajin terutamanya di dalam bidang perniagaan. Di Terengganu
juga rakyat takut hendak mengumpulkan harta atau menghasilkan lebihan takut
nanti diminta atau dirampas atau dirompak oleh golongan raja.
Abdullah risau sekiranya kaum ibu yang
bekerja dan berniaga, anak-anak di rumah akan terbiar dan tidak terurus pakaian
dan makan minum mereka. Apa yang akan jadi pada generasi akan datang?
Di Kelantan lelakinya juga banyak memakai
senjata. Setiap orang ada 6/7 batang campak buang di samping parang lading atau
chenangkas atau pedang. Sebilah keris juga lazimnya tersisip di pinggang. Ada
juga di kalangan mereka yang membawa senapang.
Warna kulit mereka semuanya hitam. Tanah
perkampungan orang Kelantan subur dan ditanam penuh dengan nyiur, durian dan
buah-buahan tempatan yang lain. Terdapat juga binatang ternakan seperti lembu,
dan kerbau yang gemuk-gemuk. Di pasar penuh dengan perempuan yang berniaga.
Seperti di Terengganu, di pasar terdapat
juga makanan busuk-busuk yang disukai orang tempatan seperti budu, ikan asin
dan siput asin. Orang tempatan tidak banyak makan daging tetapi sebaliknya suka
makan ikan yang banyak terdapat di perairan negeri itu.
Abdullah disuruh makan timun tetapi apa yang
dipanggil oleh orang Kelantan timun itu adalah tembikai.
Kenderaan Raja Kelantan adalah gajah.
Abdullah menghadap raja, dikeluarkan tempat sirih dahulu dan dia disuruh makan
sirih sementara menunggu raja santap.
Raja Kelantan pada waktu itu berwajah rendah,
hitam manis, tubuhnya gempal, mukanya bulat dan hidungnya mancung. Rambutnya
mencecah bahu. Pada pinggangnya tersisip sebilah keris.
Keadaan kampung tidak tersusun.
Sampah-sarap berselerakan menyebabkan alam persekitaran berbau busuk. Orang
Kelantan, sama ada raja mahupun rakyat tidak memakai kasut.
Di Kelantan terdapat ramai perempuan jalang
yang dikenali sebagai orang bujang. Apabila waktu petang mereka datang
menghampiri perahu. Mereka datang berkemban dan memakai sanggul lintang. Pada
rambut mereka diletakkan bunga melor yang telah dikarang. Bagi orang Kelantan
pekerjaan ini tidak dianggap hina. Mengikut Abdullah, “adat dalam negeri tiada
menjadi hina pekerjaan itu”.
Kebanyakan orang Kelantan juga suka menyabung
dan berjudi.
Mengikut Abdullah, dari 100 orang hanya 2
sahaja yang mengikut perintah Allah seperti sembahyang.
Rakyat taat kepada sultan. Apabila sultan
berperang sama sendiri (perang saudara kerana berebut takhta) rakyat dikerah
untuk berlawan. Mereka membuat kubu dan terpaksa membawa bekalan makan sendiri
kerana raja tidak menyediakan makanan untuk mereka. Anak bini di rumah dibiar
mencari nafkah sendiri. Rakyat yang dikerah berperang juga terpaksa bawa
senjata sendiri kerana raja juga tidak membekalkan mereka dengan sebarang
senjata.
Peperangan ini biasanya memakan masa
berbulan-bulan kerana masing-masing pasukan akan hanya melepaskan beberapa das
tembakan dari kubu mereka setiap hari.
Peperangan ini menguji ketahanan mental dan
juga bekalan makanan masing-masing pasukan. Apabila makanan habis rakyat yang
dikerah akan balik ke rumahnya untuk menyediakan bekalan makanan bagi jangka
masa berikutnya.
Di Sabak (sebuah perkampungan nelayan di
tepi pantai) rakyat rata-rata miskin. Kain baju mereka compang-camping. Kepala
mereka gondol. Pekerjaan penduduk ialah memukat dan bertanam padi. Tempat
tinggal mereka merupakan pondok, atap dan dindingnya dibuat dari daun nipah.
Lantai pula jongkang-jongkit. Kawasan rumah busuk, bau ikan dan sampah sarap
yang bertimbun-timbun. Sawah mereka luas dan bersih. Di sawah terdapat
beratus-ratus ekor kerbau dan lembu.
Raja Kelantan disifatkan zalim oleh
Abdullah. Rakyat sering dianiaya. Rakyat sehari-hari mengerjakan pekerjaan raja
tetapi makan minum rakyat tersebut laki-bini tidak diberi.
Sebaliknya, perahu, tanaman dan ternakan
akan diambil (rampas) oleh raja mengikut sesuka hatinya. Begitu juga dengan
anak-anak perempuan yang cantik akan diambil oleh raja untuk menjadi gundeknya.
No comments:
Post a Comment