Tuesday 23 May 2023

HAK BEBAS MASUK KELUAR PARTI

 
Mana-mana individu yang dipecat oleh parti yang disertai, bebas untuk memilih mana-mana parti yang disukai dan bersedia menerimanya. Tindakan tersebut dianggap normal dalam budaya politik di seluruh dunia. Itu hak kebebasan untuk individu berparti.

Parti yang memecat ahlinya tidak lagi berhak untuk memberi komen atau menyekat bekas ahlinya untuk memilih parti lain. Manakala parti baharu yang dipohon untuk disertai atau telah disertai mempunyai hak untuk menerima bekas ahli parti lain.

Tidak timbul soal kacang lupa kulit atau lupa jasa bekas parti yang pernah disertai. Parti asal telah memecat atau tidak lagi meneruskan keahliannya. Jadi tidak timbul soal seperti kacang lupa kulit.

Parti yang membuangnya tidak lagi memerlukan khidmatnya. Tidak kisahlah apa sebabnya. Perkara asas di sini ialah parti telah membuangnya.

Kebanyakan ahli dibuang oleh parti kerana tidak mematuhi peraturan parti atau mengkhianati parti. Jika dikekalkan sebagai ahli, lebih banyak keburukan akan dilakukan. Justeru, langkah terbaik ialah dibuang daripada parti.

Ada juga yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti disebabkan ingin menyertai parti lain. Keluar parti juga kes biasa. Mereka bebas memohon menjadi ahli parti dan bebas untuk meninggalkannya.

Tidak perlu salahkan bekas ahli yang tidak sayangkan parti. Bukan perkara luar biasa ahli meninggalkan parti. Presiden atau individu yang pernah menyandang jawatan tertinggi parti pun ada yang meninggalkan parti. Kalau setakat pemimpin di peringkat pertengahan meninggalkan parti, itu boleh dikirakan biasa dan tiada peliknya.

Memanglah, ahli yang setia dengan parti akan mempersoalkan tindakan mereka yang tidak setia dengan parti. Pun begitu, kita sendiri tidak pasti siapa lagi akan meninggalkan parti.

Inilah sebab mengapa parti perlu mendidik ahli menjadi setia kepada parti dan mengutamakan parti melebihi kepentingan peribadi. Jangan jadikan parti untuk meraih kepentingan peribadi.

Jati diri memperjuangkan kepentingan parti amat penting. Jika gagal dalam pemilihan atau tidak tercalon sebagai wakil parti dalam pilihan raya, kekallah sebagai ahli parti yang setia.

Pilihlah untuk berjiwa besar. Kesetiaan kepada parti perlu diutamakan. Istilah “orang parti” perlu dijulang dan diletakkan pada kedudukan tertinggi.

No comments:

Post a Comment