Masjid Lapan Kubah terletak di Kampung Lapan Kotak,
Jertih, Terengganu. Dikenali Masjid Lapan Kubah disebabkan terdapat lapan kubah dibina
pada bahagian atas masjid berkenaan. Menariknya, masjid tersebut juga mendapat
jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil
Cathedral di Moscow, Rusia.
Keunikan reka bentuk kubah tersebut menarik
perhatian orang ramai. Ia menjadi destinasi tarikan pelancong untuk melihat
sendiri keunikan dan kecantikannya, selain yang datang untuk menunaikan
sembahyang di situ.
Berdiri gah di kawasan sawah padi di
tengah-tangah kampung itu, masjid yang dicetuskan pembinaannya oleh Datuk Seri
Idris Jusoh pada tahun 2012 itu, yang ketika itu menjadi Ahli Parlimen Jerteh, kini
menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk di dalam dan luar
negeri.
Keunikan seni bina masjid yang mula
digunakan pada sempana solat sunat Aidilfitri 2017 itu dengan kombinasi warna
kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun
lepas tidak putus-putus dikunjungi.
Ada yang sanggup datang dari utara tanah
air bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid
yang menyerupai antara tempat beribadat termasyhur di negara Eropah. Kewujudan
masjid ini turut menaikkan nama kampung yang kurang dikenali sebelum ini.
Masjid yang dibina dengan kos RM4 juta
menerusi derma orang ramai itu sebenarnya bertujuan menggantikan masjid kayu
sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.
Dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus
tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah
padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.
No comments:
Post a Comment