Al-Sulh di dalam bahasa Arab bererti `putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi manakala pengertian syarak membawa maksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam.
Di dalam amalan perundangan sivil, sulh disebut mediation.
Para ulama fiqh mentakrifkan al-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham atau bertikai.
Amalan sulh juga telah diamalkan di dalam bidang muamalat Islam.
Dari sudut perundangan Islam, Al-Sulh antara sesama manusia adalah sunat.
Dengan
demikian, tidaklah ditegah bagi seorang hakim menganjurkan sulh kepada
pihak-pihak yang terlibat.
Hakim boleh menggalakkan mereka supaya melakukan sulh sekiranya ada dari pihak-pihak terlibat belum mengetahui perkara atau hak sebenar.
Sulh merupakan suatu anjuran yang telah diperundangkan melalui Al-Qur’an, Al-Sunnah dan Ijmak.
Di dalam Al-Quran di dalam ayat 128 Surah An-Nisa yang membawa maksud: “Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenarnya dan perdamaian itu adalah baik.” (Surah an-Nisa, ayat 128).
Manakala di dalam al-Sunnah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perdamaian
(sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali
sulh untuk menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal.“ (Hadis riwayat
Ibn Hibban).
Dalam Ijmak, para ulama sepakat memperundangkan sulh ini memandangkan kebanyakan kontrak ada faedahnya termasuklah menyelesaikan perselisihan dan pertelingkahan suami isteri.
Tatacara pelaksanaan sulh di Mahkamah Syariah bermula apabila mahkamah menerima setiap permohonan di bawah bidangkuasa mal seperti permohonan cerai atau sesuatu tuntutan akibat perceraian seperti nafkah eddah, nafkah anak dan hak jagaan anak di antara pihak suami dan isteri atau golongan yang mempunyai pertalian sekitarnya.
No comments:
Post a Comment