Friday 24 November 2017

POLITIK KELANTAN

Ketika diperintah oleh PAS dari tahun 1959 hingga 1978, Kelantan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Kadar kemiskinan dan tahap pembangunan yang rendah mewarnai setiap ruang kehidupan rakyat Kelantan. Negeri Kelantan menjadi negeri termiskin di Malaysia ketika era pemerintahan PAS.

Namun setelah Barisan Nasional (BN) diberi kepercayaan memerintah Kelantan selepas pilihan raya umum (PRU) 1978, Kelantan mula mendapat sinar kemajuan dan rakyat mengalami perubahan nasib.   

Pembangunan fizikal negeri amat ketara berubah seperti pembinaan jalan raya di seluruh genap ceruk negeri, pembukaan tapak perindustrian, pembangunan bandar baru, pembinaan sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan sebagainya.

Hasil usaha gigih kerajaan BN memajukan Kelantan agar rakyat mendapat taraf kahidupan lebih selesa dan maju berjaya meletakkan Kelantan di atas landasan yang betul. Pada tahun 80an, Kelantan mula menikmati segala kemajuan sepertimana dinikmati di negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN. 

Selain itu tidak ketinggalan soal pembangunan kerohanian. Kerajaan BN mendirikan lebih banyak masjid dan membaik pulih yang sudah rosak. Rakyat dapat melakukan ibadat dan aktiviti keagamaan dengan lebih selesa. 

Selain itu Kompleks Balai Islam di Lundang yang menempatkan bangunan Jabatan Agama Islam Kelantan (JAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta sebuah dewan serba indah dan canggih menjadi bukti kesungguhan kerajaan BN meningkatkan syiar Islam di Kelantan sesuai dengan gelaran Serambi Mekah yang diberikan kepada Kelantan.

Namun rakyat Kelantan tidak menghargai segala apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sepanjang 12 tahun apabila rakyat Kelantan kembali memilih PAS pada tahun 1990.   

Sekiranya Kelantan terus diperintah oleh BN, sudah pasti Kelantan sekarang telah menikmati kemajuan lebih baik. Perancangan jangka panjang kerajaan BN memajukan Kelantan terhenti sekerat jalan setelah rakyat lupa dan menolak jasa-jasa BN.

Sekarang sudah 27 (2017) tahun PAS memerintah, namun tiada satupun yang boleh dibanggakan seperti telah dilakukan semasa pemerintahan BN. Janji pilihan raya pada tahun 1990 yang membawa kejayaan PAS memerintah tidak mampu dilaksanakan hingga sekarang.

Apa yang berjaya dilakukan oleh PAS selama memerintah Kelantan? Negeri Kelantan kini semakin mengalami masalah pentadbiran dan kewangan sehingga kepincangannya ketara kelihatan di mana-mana.

Masalah air di Kelantan terus diperkatakan. Bekalan air untuk kegunaan domestik tidak dapat memenuhi keperluan semasa penduduk. Selepas diperintah PAS, bakalan air yang mampu disalurkan ke rumah-rumah berkurangan dan mutu air yang dirawat juga tidak memuaskan. Masalah air paip kelodak, berkarat dan tidak mencukupi sudah perkara biasa di Kelantan.

Setelah bosan dengan mutu perkhidmatan Air Kelantan, ramai penduduk mengambil keputusan menggali telaga di rumah masing-masing. Bagi penduduk di kampung, amalan itu satu kebiasaan, tetapi tentulah janggal dan menyalahi peraturan bagi penduduk mendiami taman perumahan. 

Masalah kebersihan di bandar-bandar utama di Kelantan amat memalukan. Sebagai negeri yang mendakwa diperintah berdasarkan syariat Islam, tetapi gagal merealisasikan ajaran agama menjadi satu perkara amat memalukan. Islam mengajar umatnya menjaga kebersihan, tetapi kerajaan PAS Kelantan gagal menterjemahkan kehendak agama itu.

Kekotoran di Kelantan berpunca kerana kekurangan bilangan tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa. Jika ada tong sampah, masalahnya pula sampah yang dibuang di dalam tong sampah tidak dipunggut sehingga berbau busuk dan tidak dapat dibuang di dalam tong sampah lagi kerana sudah dipenuhi sampah. 

Keadaan ini terjadi kerana pihak berkuasa tempatan tidak mampu menyediakan lori pengangkut sampah secukupnya mengikut keperluan. 

Kota Bharu yang diiystiharkan sebagai Bandar Raya Islam tidak mencerminkan namanya. Tahap kebersihan bandar Kota Bharu tidak terjaga. Maksiat masih berleluasa.

Kejayaan PAS hanya menelanjang dan memusnahkan kawasan balak di Kelantan tanpa mengikuti kaedah pembalakan yang sistematik. Pokok yang masih muda dan kawasan hutan yang sepatutnya dijaga musnah akibat kerakusan pemimpin PAS. Mereka lebih berminat meninjau kawasan balak daripada menemui rakyat yang memerlukan bantuan.

Ratusan ribu rakyat Kelantan terpaksa merantau mencari peluang pekerjaan di negeri-negeri lain, khususnya di Lembah Kelang, Johor dan Pulau Pinang. Kerajaan PAS sekadar meletakkan poster atau papan iklan menyambut ketibaan atau kepulangan perantau, kononnya satu sikap prihatin kepada nasib rakyat Kelantan.  

PAS lebih banyak menghabiskan masa menyalahkan orang lain daripada menghisab diri sendiri.  Kesalahan dan kelemahan pemimpin PAS disembunyikan dalam lipatan serban dan jubah. Mereka berselindung di sebalik perjuangan agama yang dipesongkan mengikut acuan politik sempit mereka.

Selama ini PAS berselindung di sebalik topeng agama bagi mengelirukan rakyat. Namun kini rakyat telah mula sedar wajah dan niat sebenar PAS. Apa yang dilakukan tidak lebih daripada untuk kepentingan individu dan kumpulan tertentu sahaja.

PAS bukan sahaja gagal menunaikan tanggungjawab terhadap seluruh rakyat, bahkan kepada penyokong setia PAS sendiri.

Sunday 12 February 2017

CINA AMBIL 250 ANAK ANGKAT MELAYU


Isu kaum dan agama menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam di negara kita yang mempunyai pelbagai kaum serta berlainan agama anutan.  Namun perkara itu tidak bagi usahawan Datuk Seri Sunny Ung yang melihat berlainan kaum dan agama menjadi rencah kehidupan memberi kebaikan dan kekuatan tersendiri.

Sunny berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Membesar dan bersekolah dalam lingkungan masyarakat Melayu yang secara tidak langsung budaya dan cara hidup Melayu meresap dalam hidupnya, tanpa memisahkan identitinya sebagai bangsa Cina. 

Lebih menarik, Sunny turut mengambil mata pelajaran Pengajian Islam dan mendapat keputusan A. 

"Masa kecil dulu pergaulan dengan kaum Melayu amat unik.  Biarpun berlainan kaum, namun tidak ada apa yang sensitif atau boleh menyebabkan pergaduhan," ucap Sunny.

Malah katanya, kalau setakat ucapan 'celakamu Cina', 'bila mu nak mapuh', 'gila mu Melayu' atau ' menate Melayu' tidak sedikitpun mengguris perasaan.  Sebaliknya, itulah tanda hubungan akrab dan persahabatan sejati.

Nilai-nilai hidup harmoni dan saling menghormati yang dipupuk sejak kecil itu menjadi amalan berterusan Sunny hingga kini.  Beliau selesa berurusan dengan Melayu dalam semua perkara.  Bahkan dalam situasi tertentu beliau dilihat seperti mengutamakan kaum Melayu dalam menghulurkan bantuan. 

Maka, bagi yang mengenali beliau secara dekat, tidak berasa pelik jika beliau banyak membantu orang Melayu berbanding orang Cina sendiri.  Bahkan, beliau turut membantu institusi pendidikan Islam tanpa prejudis.

Pasca Banjir Kuning 2014, Sunny menjadi antara insan pertama tampil menghulurkan bantuan kepada pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM yang beroperasi di Desa Rahmat, Kota Bharu. 

Sunny membantu di segi keperluan asas seperti barangan dapur, keperluan peralatan belajar, baikpulih asrama dan menggantikan buku serta kitab agama yang rosak akibat banjir. 

Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu.

“Saya rasa tanggungjawab membantu anak yatim yang bersemangat untuk belajar.  Mereka perlu diberi peluang untuk berjaya seperti anak-anak lain. Jika dibantu dan diberi peluang, pastinya anak yatim juga ada masa depan yang cerah," ucap Sunny.

Tambah Sunny, tanpa melihat kaum dan agama, anak-anak yatim perlu dibantu.  Jangan anggap sebagai beban.  Sebaliknya, mereka adalah permata yang memberi sinar kehidupan kepada kita semua. Jika kita ingin kehidupan ini lebih baik, bawalah mereka bersama dalam kehidupan kita yang akan turut membawa sinar menerangi kehidupan seluruh masyarakat.   

"Saya akan bantu mereka sehingga berjaya ke pusat pengajian tinggi. Bukan pelajar PEKAYATIM  ini saja, tetapi juga lebih 250 orang anak angkat saya yang lain," ujar Sunny.

Anak angkat tersebut terdiri anak yatim, yang tidak tahu asal usul dan golongan miskin. Ada anak angkat yang diambil ketika usia sehari.

Terdapat individu yang dipertanggungjawab untuk mengurus anak-anak angkatnya, terutama dari segi menjaga kebajikan dan keperluan pendidikan.
  
Menurut Sunny, jika kita ingin melihat masyarakat yang harmoni dan cemerlang pada masa depan, bantulah golongan muda yang memerlukan bantuan, tanpa mengira kaum dan agama.

"Mereka ini aset negara yang perlu dibina potensi diri dan masa depan yang lebih cemerlang.  Kemiskinan dan keadaan serba kekurangan yang mereka alami hari ini tidak seharusnya menjadi penamat kepada peluang untuk kehidupan lebih baik pada masa hadapan," tambah Sunny.

Sunday 8 January 2017

TERPAKSA PINJAM ISTERI KAWAN

Akibat kongsi atau pinjam isteri kawan memang buruk. Jadi, jangan lakukan perbuatan pelik yang tidak mendatangkan kebaikan langsung.   

Kisah filem Anak Bapa memang penuh pengajaran. Walaupun ia lebih kepada cerita komidi, hakikatnya sarat dengan pengajaran dan yang tersirat. Kisah Harun, Salleh, Datuk Mahfis, Halimah, Normah dan Idah diolak dengan baik sekali.

Rasa cinta Normah yang tidak dibalas oleh Harun dipaparkan dengan mendatar dan lawak. Normah yang sebenarnya tertarik dengan Hurun disebabkan kekayaan atau jawatannya, telah ditolak permintaannya untuk bersuamikan Harun.

Harun yang berhutang dengan Normah dan ceti menghadapi masalah untuk membayarnya. Maka, dicari ikhtiar meminta wang dengan bapanya, Datuk Mahfis dengan alasan untuk berkahwin.  

Hakikatnya, wang yang diterima itu digunakan untuk membayar hutang. Alasan bohong sunat dan harta bapanya sendiri. 

Datuk Mahfis yang tinggal di Johor Bharu, datang ke Kuala Lumpur di mana tempat Harun tinggal dengan alasan untuk bertemu menantu dan melihat perniagaan diuruskan Harun.  

Maka, Harun terpaksa mencari seseorang yang boleh berlakon sebagai isterinya. Idah, isteri Salleh terpaksa menjadi isteri olok-olok Harun. Salleh adalah pemandu merangkap kawan karib kepada Harun. Atas dasar kawan, Salleh terpaksa merelakan isterinya dipinjamkan kepada Harun.

Rahsia Harun terbongkar apabila Normah yang diupah seribu ringgit mendedahkan perkara sebenar, apabila cek yang diterima dari Harun adalah cek kosong.  

Untuk mencari kebenaran, Datuk Mahfis mengadakan mahkamah. Dalam kenyataan, pembelaan Harun menyatakan gaji seribu ringgit sebulan yang diterima tidak cukup kerana setiap kali pergi kelab malam dia membelanjakan sebanyak 50 ringgit.

Harun didapati tidak bersalah, dan kesalahan ditujukan pula kepada Normah. Sebagai denda, Normah dikehendaki kahwin dengan Datuk Mahfis.

Pengajaran dari Anak Bapa amat jelas. Pertamanya, cinta Normah kepada Harun lebih kepada kebendaan. Sebab itu, dia tidak membantah, bahkan bergembira apabila dijatuhkan 'hukuman' berkahwin dengan Datuk Mahfis.  

Walaupun telah tua, tentunya harta Datuk Mahfis lebih bermakna. Datuk Mahfis yang miang ambil kesempatan atau sikap Normah yang pentingkan kebendaan. 

Sikap Harun yang suka ke kelab malam, tentunya melibatkan minum arak dan perempuan. Belanja untuk kedua-duanya mahal. Gaji yang banyak dihabiskan begitu saja.  

Banyak golongan muda kaya dan pegawai ekslusif jatuh bankrap disebabkan arak dan hiburan dengan perempuan. Arak, judi dan seks banyak merosakkan kehidupan manusia yang inginkan kepuasan.

Tindakan berhutang memang banyak menimbulkan masalah. Disebabkan hendak menjelaskan hutang, banyak orang terpaksa menipu dan melakukan perbuatan salah lain, termasuk melakukan rasuah semata-mata untuk mendapatkan duit untuk membayar hutang. 

Elak berhutang kepada perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Jauhkan diri daripada amalan berhutang kerana kita akan menjadi hamba kepada hutang.

Tindakan Salleh yang sanggup meminjamkan isterinya Idah atas dasar menyelamatkan kawan yang juga menjadi bosnya termasuk dalam perbuatan dayus.  

Isteri tidak boleh dikongsi walaupun sekadar olok-olok. Isteri hak mutlak suami. Suami pula perlu mempertahankan kesucian isteri dalam apa cara sekalipun.