Isu kaum dan agama menjadi duri dalam daging dan api dalam
sekam di negara kita yang mempunyai pelbagai kaum serta berlainan agama
anutan. Namun perkara itu tidak bagi usahawan
Datuk Seri Sunny Ung yang melihat berlainan kaum dan agama menjadi rencah kehidupan
memberi kebaikan dan kekuatan tersendiri.
Sunny berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Membesar dan
bersekolah dalam lingkungan masyarakat Melayu yang secara tidak langsung budaya
dan cara hidup Melayu meresap dalam hidupnya, tanpa memisahkan identitinya
sebagai bangsa Cina.
Lebih menarik, Sunny turut mengambil mata pelajaran
Pengajian Islam dan mendapat keputusan A.
"Masa kecil dulu pergaulan dengan kaum Melayu amat
unik. Biarpun berlainan kaum, namun
tidak ada apa yang sensitif atau boleh menyebabkan pergaduhan," ucap
Sunny.
Malah katanya, kalau setakat ucapan 'celakamu Cina', 'bila
mu nak mapuh', 'gila mu Melayu' atau ' menate Melayu' tidak sedikitpun
mengguris perasaan. Sebaliknya, itulah
tanda hubungan akrab dan persahabatan sejati.
Nilai-nilai hidup harmoni dan saling menghormati yang
dipupuk sejak kecil itu menjadi amalan berterusan Sunny hingga kini. Beliau selesa berurusan dengan Melayu dalam
semua perkara. Bahkan dalam situasi
tertentu beliau dilihat seperti mengutamakan kaum Melayu dalam menghulurkan
bantuan.
Maka, bagi yang mengenali beliau secara dekat, tidak berasa
pelik jika beliau banyak membantu orang Melayu berbanding orang Cina
sendiri. Bahkan, beliau turut membantu
institusi pendidikan Islam tanpa prejudis.
Pasca Banjir Kuning 2014, Sunny menjadi antara insan
pertama tampil menghulurkan bantuan kepada pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM yang
beroperasi di Desa Rahmat, Kota Bharu.
Sunny membantu di segi keperluan asas seperti barangan
dapur, keperluan peralatan belajar, baikpulih asrama dan menggantikan buku
serta kitab agama yang rosak akibat banjir.
Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut
menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu.
“Saya rasa tanggungjawab membantu anak yatim yang
bersemangat untuk belajar. Mereka perlu
diberi peluang untuk berjaya seperti anak-anak lain. Jika dibantu dan diberi
peluang, pastinya anak yatim juga ada masa depan yang cerah," ucap Sunny.
Tambah Sunny, tanpa melihat kaum dan agama, anak-anak yatim
perlu dibantu. Jangan anggap sebagai
beban. Sebaliknya, mereka adalah permata
yang memberi sinar kehidupan kepada kita semua. Jika kita ingin kehidupan ini
lebih baik, bawalah mereka bersama dalam kehidupan kita yang akan turut membawa
sinar menerangi kehidupan seluruh masyarakat.
"Saya akan bantu mereka sehingga berjaya ke pusat
pengajian tinggi. Bukan pelajar PEKAYATIM
ini saja, tetapi juga lebih 250 orang anak angkat saya yang lain,"
ujar Sunny.
Anak angkat tersebut terdiri anak yatim, yang tidak tahu
asal usul dan golongan miskin. Ada anak angkat yang diambil ketika usia sehari.
Terdapat individu yang dipertanggungjawab untuk mengurus
anak-anak angkatnya, terutama dari segi menjaga kebajikan dan keperluan
pendidikan.
Menurut Sunny, jika kita ingin melihat masyarakat yang
harmoni dan cemerlang pada masa depan, bantulah golongan muda yang memerlukan
bantuan, tanpa mengira kaum dan agama.
"Mereka ini aset negara yang perlu dibina potensi diri
dan masa depan yang lebih cemerlang. Kemiskinan
dan keadaan serba kekurangan yang mereka alami hari ini tidak seharusnya menjadi
penamat kepada peluang untuk kehidupan lebih baik pada masa hadapan," tambah
Sunny.
No comments:
Post a Comment