Thursday, 5 July 2018

KENAPA HALANG PASANGAN MUDA HENDAK KAHWIN

Berapa usia paling sesuai untuk berkahwin? Persoalan ini sering menerjah minda terutama apabila ada kes kahwin muda, kedua-duanya muda atau salah seorang sahaja. Sebenarnya, tiada garis panduan khusus mengenai umur sesuai untuk berkahwin.

Tidak ada satu ayat Quran dengan jelas menjelaskan umur minima lelaki mahupun perempuan untuk berkahwin. Dalam ayat al-Quran hanya disebut ‘balagh an nikah’ atau ‘cukup umur untuk berkahwin’ seperti dalam surah an Nisa ayat 6 yang bermaksud: “Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.
tetap untuk Sebab itu kita perlu sentiasa merebut peluang. 

Dalam undang-undang keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia, umur minima kelayakan untuk berkahwin bagi pasangan Islam ialah 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Jika, di bawah umur yang dinyatakan itu, pasangan perlu membuat permohonan khusus untuk membolehkan perkahwinan dilangsungkan.

Pernikahan pada usia muda, bawah usia 20 tahun, dianggap pelik pada masa sekarang, kerana pada usia itu biasanya remaja masih di alam persekolahan. 

Namun, jika dilihat masa dulu, perkahwinan muda sudah menjadi perkara biasa.  Rata-rata lelaki sudah menjadi suami pada usia awal 20-an, manakala perempuan pula sudah bergelar ibu pada usia bawah 20-an. Gadis dulu biasanya berkahwin ketika umur sekitar 16 – 18 tahun.

Dengan kata lain, berkahwin muda bukan satu yang pelik dalam masyarakat dulu. Namun, sekarang ini, jika berkahwin muda, maka akan menjadi berita ‘gempar’ dan mendapat liputan meluas di media massa. 

Perkahwinan pada usia muda dikaitkan dengan sikap tidak matang pasangan. Selain itu, soal kewangan juga dijadikan alasan menyokong mengapa tidak sesuai berkahwin pada usia muda. Perkahwinan pada usia muda dikaitkan dengan nafsu semata-mata.

Malah, perkahwinan muda dikatakan merosakkan masa depan pasangan berkenaan kerana meninggalkan alam persekolahan atau tidak meneruskan pengajian peringkat tinggi. Kemungkinan berlaku perceraian di kalangan pasangan muda juga dikatakan tinggi.

Alasan tidak menyokong perkahwinan pada usia muda memang ada benarnya. Persoalannya, adakah alasan itu perkara mutlak yang 100 peratus benar? Islam tidak menetapkan umur minima perkahwinan sudah pasti ada sebabnya.

Adakah masih tidak disokong perkahwinan pada usia muda sedangkan pasangan berkenaan sukar untuk dikawal dalam perhubungan? Berapa banyak pasangan melakukan perbuatan terlarang sehingga melahirkan anak luar nikah disebabkan hasrat mereka ingin berkahwin terhalang.

Perkahwinan menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan. Jadi, jika wujud keperluan untuk kahwin muda, perkara ini tidak perlu dihalang, melainkan ibu bapa penuh yakin dapat menasihatkan dan mengawal tingkahlaku anak mereka agar terhindar perbuatan zina.

Namun, yang banyak berlaku ialah ibu bapa dan masyarakat hanya bertegas melarang atau mencemuh perkahwinan pada usia muda, tetapi tidak mengambil langkah tegas untuk mengelak kemungkinan berlaku perkara tidak baik dalam hubungan lelaki dan perempuan.

Jangan fikir soal matang atau tidak, dan tidak perlu memikirkan soal kemungkinan pasangan berkahwian muda akan bercerai, sebaliknya fikirkan apa akan berlaku jika hasrat pasangan muda untuk berkahwin dihalang. Rasanya lebih baik mereka berkahwin dan mempunyai anak, kemudian bercerai, berbanding mereka melakukan zina, melahirkan anak dan kemudian anak itu dibuang atau dibunuh.

No comments:

Post a Comment